Tafsir Surah Maryam Ayat 59 – 64 (Taubat itu U-Turn)

Ayat 59: Ini adalah satu ayat yang menakutkan sangat kalau kita faham apakah yang disampaikan.

۞ فَخَلَفَ مِن بَعدِهِم خَلفٌ أَضاعُوا الصَّلاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَواتِ ۖ فَسَوفَ يَلقَونَ غَيًّا

Sahih International

But there came after them successors who neglected prayer and pursued desires; so they are going to meet evil –

Malay

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ

Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan selepas mereka

Perkataan خَلْفٌ bermaksud pengganti, dan dari katadasar yang sama, kita selalu dengar perkataan ‘khalifah’. Tapi bukanlah khalifah itu pengganti Nabi, kerana Nabi tidak boleh diganti. Tapi pengganti keturunan. Selepas Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, selepas Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Ismail dan seterusnya. Mereka semua itu mengganti kepada Nabi-Nabi yang sebelum mereka. Begitu juga, selepas kita tiada, akan ada golongan lain yang akan mengganti kita.

Dari segi bahasa, خَلْفٌ bermaksud keturunan itu adalah dari jenis manusia yang jahat. Kalau خَلَفٌ pula, mereka itu dari golongan manusia yang baik. Bezanya adalah tanda mati/sukun pada huruf ل. Begitulah kehebatan bahasa Arab. Ubah sikit sahaja sudah jadi makna lain.

Ayat ini penting kerana ayat sebelum ini menceritakan tentang kebaikan-kebaikan para Nabi dan pengikut mereka. Tapi semasa ayat ini diturunkan, Nabi tengok di sekeliling baginda, tidaklah begitu keadaan kaum-kaum yang ada bersama baginda. Masyarakat yang ada pada zaman Nabi itu adalah sangat jauh dari kebenaran sampaikan mereka dipanggil ‘Musyrikin Mekah’.

Maka Allah jelaskan dalam ayat ini, selepas Nabi-Nabi itu, umat yang selepas mereka adalah umat yang buruk. Mereka itu yang teruk, bukan kerana salah Nabi-Nabi itu. Oleh itu, jangan salahkan Nabi-nabi itu, kerana mereka tidak bersalah.

Kenapa mereka boleh sampai jadi begitu? Sebabnya akan disebutkan dalam potongan ayat berikut.

أَضَاعُوا الصَّلَاةَ

yang mencuaikan sembahyang

Cuai bermaksud tidak mengambil peluang dari solat itu. Setiap solat ada kelebihannya dan mereka tidak mengendahkannya.

Ini bukan bermaksud mereka langsung tak solat. Tapi ianya juga boleh bermaksud bukannya mereka tidak solat langsung tapi mereka tak menjaga waktu solat. Mereka lalai dalam menjaganya. Sebagai contoh, mereka solat di hujung waktu dan kadang-kadang terlajak masuk dalam waktu solat lain.

Atau solat mereka solat apabila sudah termasuk dalam waktu makruh. Contohnya, mereka solat Asar tapi sudah nak masuk waktu Maghrib. Itu adalah waktu yang makruh. Memang sah solat itu kerana dalam waktu lagi, tapi waktu yang makruh. Begitu juga dengan solat Isyak, sepatutnya dilakukan sebelum tengah malam. Kalau selepas tengah malam, masih lagi dalam waktu tapi sidah termasuk dalam waktu yang makruh.

Ada mufassir yang kata maksud ayat ini mereka tidak khusyuk dalam solat. Iaitu mereka tidak jaga kualiti solat mereka. Mereka solat tapi sambil lewa sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak menitikberatkan tentang kepentingan solat itu. Dan kerana mereka tidak faham falsafah solat, jadi mereka buat solat itu secara mekanikal sahaja (ikut pergerakan sahaja, tapi tidak ada ‘roh’).

Saidina Umar pula berkata ayat ini bermaksud mereka yang tinggalkan solat berjemaah di masjid kerana sibuk dengan dunia. Kalau sekarang memang kita tengok manusia sangat sibuk dengan kerja dan benda lain sampai tak sempat solat di di masjid. Yang dimaksudkan adalah golongan lelaki kerana mereka sahaja yang wajib solat berjemaah di masjid.

Begitu juga, kita boleh kata mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang memasukkan perkara-perkara bidaah yang ditambah dalam solat. Amat banyak kalau hendak disebut di sini. Sebagai contoh, sekarang ini, apabila selepas solat berjemaah, masyarakat kita akan ramai-ramai salam keliling. Mereka beratur buat bulatan sambil bersalaman antara satu sama lain.

Itu adalah bidaah yang paling baru. Tidak pernah diajar dalam Islam. Para sahabat tidak pun perkara ini. Yang ada dalam hadis, kalau baru berjumpa barulah para sahabat berjabat salam. Tidaklah ada mana-mana hadis anjuran berjabat salam selepas solat.

Tapi perkara ini ramai masyarakat kita yang buat. Sekarang bukan hanya salam sahaja, sudah mula baca selawat. Maknanya, semakin ditambah dengan amalan-amalan khusus pula. Nanti akan ada selawat khas direka untuk salam keliling ini. Tak lama nanti akan ada doa khas pula dan entah apa lagi bidaah yang akan direka dalam agama.

Anak cucu kita nanti akan lihat perbuatan ini dan mereka akan sangka ini adalah perkara baik dalam agama atau sebahagian dari agama. Padahal ianya budak dari syariat agama tapi rekaan manusia sahaja. Kita takut jadi lebih teruk lagi kalau ada yang kata ada pahala kalau buat begini. Dan kalau ada orang yang tidak buat, orang itu akan dikutuk kerana mereka kata meninggalkan sesuatu dalam agama. Padahal, ini bukanlah ajaran dalam agama Islam pun.

Ayat ini adalah tentang manusia yang engkar kerana lalai dalam solat. Jangan sangka kita sekarang ini tidak boleh jadi macam mereka. Kalau kita pun lalai dalam solat macam mereka, maka kita pun boleh jatuh seperti mereka. Sekarang lihatlah bagaimana keadaan solat kita. Lambat, tidak khusyuk dan hanya buat di ceruk-ceruk rumah sahaja.

Kalau kita lalai dalam solat, kita pun akan lalai dalam perkara-perkara lain. Kalau kita lalai dalam menjaga hak Allah, kita pun tidak akan menjaga hak makhluk lain.

Maka, hendaklah kita solat dalam waktu yang afdhal. Zaman sekarang senang nak pakai alat-alat canggih untuk mengingatkan kita tentang waktu solat. Maka, kita kena set reminder untuk diri kita sebelum waktu solat masuk supaya kita boleh bersedia untuk mendirikan solat. Supaya kita bersedia untuk pergi ke masjid untuk solat.

Kita kena tunjukkan tauladan menjaga waktu solat kepada anak-anak kita. Oleh itu kena sekali sekala solat bersama keluarga kita. Buatkan satu ruang dalam rumah kita untuk didirikan solat di situ. Mereka akan melihat solat sebagai sesuatu yang penting dan menjadi satu aktiviti keluarga yang merapatkan antara keluarga.

Kalau mereka menyia-nyiakan salat, tentulah mereka akan menyia-nyiakan kewajipan-kewajipan lain kerana salat adalah tiang agama dan sebaik-baik amal seorang hamba.

Bukan itu sahaja yang menyebabkan mereka jatuh, ada lagi:

وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ

serta menurut nafsu;

Mula-mula mereka ikut nafsu. Lama-lama mereka jadikan nafsu mereka sebagai tuhan. Itulah bahayanya apabila kita ikut sahaja nafsu kita. Lihatlah ayat Furqan:43

أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?

Allah memberitahu bahawa mereka itu rosak kerana mereka tidak menjaga solat dan mereka mengikut nafsu mereka sahaja.

Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah suruh Nabi Isa dan Nabi Ismail jaga solat dan zakat. Berkenaan solat ada disebut dalam ayat ini, tapi mana tentang zakat? Yang disebut adalah tentang nafsu pula.

Maknanya ada kaitan antara zakat dan nafsu. Apakah kaitan antara nafsu dan zakat? Kalau kita ikut nafsu kita dan membazir, tentulah kita tidak ada duit nak beri zakat dan sedekah lagi.

فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),

Kalimah غَيًّا dari segi bahasa adalah ‘sesat kerana kepercayaan salah’. Sudah tidak tahu mana salah mana betul.

Ada juga pendapat yang mengatakan غَيًّا adalah nama gua atau lembah dalam neraka yang di dalamnya paling teruk seksaan yang diberikan. Teruk sangat sampai neraka sendiri pun minta lindung darinya. Dalam riwayat dikatakan neraka berdoa sebanyak lapan kali sehari supaya dilindung dari غَيًّا kerana neraka pun takut.

Dalam lembah itu ada sebanyak 70 ribu ekor ular. Setiap satu lubang adalah untuk seorang manusia. Seekor ular itu panjangnya boleh lilit bumi. Satu titik dari bisanya boleh mematikan segala kehidupan di dunia. Tapi mereka yang kena patuk di neraka nanti, tidak akan mati-mati. Inilah yang dijanjikan kepada mereka yang melalaikan solat.

Maknanya, bukan kecil dosa yang dikaitkan dengan melalaikan solat. Tidakkah ini menakutkan? Kita sangka dengan kita solat sudah cukup, sudah terlepas dari azab, tapi lihatlah apa balasan yang dijanjikan Allah kepada mereka yang lalai dalam solatnya. Kerana pentingnya menjaga solat, Allah menakutkan kita dengan balasan yang berat.

Tapi Allah Maha Pemurah dan Maha Mengasihani. Dia tidak biarkan kita begitu sahaja. Selepas Allah takutkan kita, Allah beri jalan keluar. Lihat ayat seterusnya.


Ayat 60:

إِلّا مَن تابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صالِحًا فَأُولٰئِكَ يَدخُلونَ الجَنَّةَ وَلا يُظلَمونَ شَيئًا

Sahih International

Except those who repent, believe and do righteousness; for those will enter Paradise and will not be wronged at all.

Malay

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikit pun, –

إِلَّا مَن تَابَ

Kecuali orang-orang yang bertaubat

Iaitu orang yang ‘pusing balik’ kepada Allah. Yang kembali kepada Allah setelah sedar mereka telah tersilap. Untuk senang memahami apakah maksud ‘taubat’, bayangkan kita sedang memandu kereta. Tiba-tiba kita perasan yang kita sudah tersilap jalan. Kita terlepas simpang yang sepatutnya kita masuk. Tentulah kita kena buat U-Turn, bukan?

Maka, taubat itu adalah ‘u-turn’ kepada Allah. Cuma, bezanya semasa kita memandu, tentulah kita kena cari tempat yang sesuai untuk u-turn sebab bukan boleh terus pusing sahaja. Tapi, dalam kita taubat kepada Allah, bila-bila masa sahaja kita boleh lakukan. Tidak perlu tunggu waktu yang sesuai.

Cara untuk bertaubat adalah menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat, istighfar minta ampun dan berazam untuk tidak buat lagi. Tidak perlu Solat Taubat seperti yang selalu dibuat oleh masyarakat kita. Kita boleh sahaja bertaubat pada bila-bila masa tanpa tunggu solat dahulu. Tapi benar, lebih baik kalau solat sunat dahulu sebelum bertaubat (untuk dosa-dosa yang besar).

Apabila kita bertaubat dan Allah mengampunkan dosa kita, ianya adalah seperti kita tidak pernah buat dosa. Ini disebut dalam satu hadis:

“Orang yang bertaubat dan dari dosa seperti orang yang tidak memiliki dosa.”

وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا

dan beriman serta beramal soleh,

Kena beriman kembali kepada Allah. Apakah maksudnya? Berhenti dari buat syirik kepada Allah. Tapi sebelum itu kena faham dahulu apakah yang dimaksudkan dengan syirik itu. Banyak disebut dalam penulisan ini tentang apakah syirik-syirik yang dilakukan oleh kita sama ada kita sedar atau tidak.

Dalam ayat ini, Qur’an sebut ‘bertaubat’ dahulu, kemudian baru beriman. Bukankah sepatutnya beriman dahulu baru bertaubat? Dan bukankah yang melakukan taubat itu adalah orang yang beriman? Kalau kita baca ayat ini, ada sesuatu yang hendak disampaikan. Iaitu kena mulakan dengan taubat dahulu. Dan kemudian kena perbaharui iman mereka.

Dan selepas itu kenalah berbuat amal kebaikan apabila kita sudah bertaubat. Bukan hanya cakap bertaubat sahaja tapi tak ubah cara hidup kita. Kenalah ikhlas dalam taubat itu. Jangan kata taubat tapi bila masuk waktu solat, tak solat juga. Masih lagi lengah-lengah dalam solat. Itu bermakna, dia tidak ikhlas dalam bertaubat.

Amal soleh adalah amal yang ada nas dari Nabi. Ianya mesti berdasarkan dari dalil yang sahih. Bukannya amal bidaah. Sekarang ini banyak sangat amalan-amalan yang bukan amalan yang soleh kerana ianya datang bukan dari ajaran Nabi tapi dari ajaran-ajaran tambahan manusia.

Hadis yang dijadikan sumber amalan itu mestilah hadis yang sahih, tidak boleh hadis dhaif. Hadis dhaif tidak boleh dijadikan sebagai amalan. Ini pun banyak masyarakat kita yang keliru. Mereka banyak berpegang dengan amalan-amalan yang didapati dari hadis dhaif. Maknanya ramai yang sedang melakukan kesalahan sama ada mereka sedar ataupun tidak.

Padahal, ulama hadis telah sepakat mengatakan bahawa tidak boleh berpegang amalan dari hadis dhaif. Bermakna, kalau hadis dhaif pun tidak boleh dipakai, bagaimana pula boleh pakai amalan dari pendapat manusia? Itu lagi lah tidak boleh.

Kalau hadis dhaif itu, adalah kemungkinan ianya dari kata-kata Nabi. Tapi kerana ianya tidak dapat dipastikan, ulama mengambil jalan selamat untuk tidak beramal dengannya. Tapi masyarakat kita, jangankan hadis dhaif, kata-kata manusia pun mereka pakai juga. Itu memang sudah jauh lari dari ilmu yang sahih. Mereka pakai ‘tangkap muat’ sahaja.

Itu semua adalah hasil dari tipuan syaitan. Syaitan lah yang mengajar manusia untuk melakukan amalan-amalan itu. Ingatlah bahawa banyak lagi amalan yang sahih yang kita tak buat, kenapa nak pakai lagi hadis dhaif, tambahan pula amalan dari rekaan manusia?

Apabila kita beramal bukan dari hadis yang sahih, bermakna kita telah melakukan amalan bidaah. Amalan bidaah adalah ditolak. Bukan itu sahaja, ianya berdosa. Kerana reka amalan yang bukan dari nas sahih adalah mereka-reka agama dan mengambil tugas Nabi. Nabi yang patut mengajar kita buat amalan, tapi kita pula ambil tugas baginda dan buat amalan baru pula.

Dalam ayat sebelum ini, digunakan kata-kata dalam bentuk jamak. Tapi dalam ayat ini, ada iltifad (perubahan ayat) ke dalam bentuk mufrad – seorang. Ini kerana hendak menekankan bahawa usaha taubat dan beriman ini kena buat sendiri. Tak boleh nak kata kawan-kawan dan keluarga tak bertaubat dan beriman, jadi kita pun tidak beriman juga dan bertaubat juga. Itu bukan alasan yang akan diterima. Juga bermaksud tidak boleh berharap orang lain minta taubat bagi pihak kita.

فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

maka mereka itu akan masuk Syurga,

Tadi dalam bentuk mufrad, sekarang perkataan فَأُولَٰئِكَ adalah dalam bentuk jamak, kenapa pula? Ini adalah kerana kalau kita masuk syurga, kita tidak akan berseorangan. Akan ada ahli keluarga atau kawan-kawan kita atau orang mukmin yang lain.

Ada ulama yang menggunakan ayat ini untuk berdalil bahawa, taman-taman syurga itu adalah tempat awam. Kita akan bersama dengan orang lain iaitu ada tempat berkumpul dan boleh bergaul mesra dengan ahli syurga yang lain. Kerana kita sebagai manusia memang suka berkawan dan bersosial dengan orang lain. Kemudian, selain dari taman-taman itu, ahli syurga ada tempat kediaman dia yang menjadi milik dia seorang sahaja.

Sebelum ini telah dijanjikan neraka kepada mereka yang lalai dalam solat. Sekarang dijanjikan syurga pula. Jadi, mana satu kita nak pilih?

وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا

dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikit pun, –

Dalam apa hal pun ahli syurga itu tidak akan dizalimi. Tidak akan kurang dari apa yang sepatutnya mereka dapat. Allah tidak lalai dan tidak lupa dengan apa yang sepatutnya seorang manusia itu dapat dari amalannya.

Setiap amalan baik akan dibalas sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda dari perbuatan. Dan setiap amalan buruk akan dibalas sama dengan perbuatannya, tidak lebih, kalau tidak pun akan diampun.


Ayat 61: Ada satu ayat sahaja ancaman, tapi sudah ada dua ayat sebagai motivasi kepada kita untuk menjaga agama kita. Maknanya, Allah banyak beri motivasi dan berita baik kalau dibandingkan dengan ancaman. Allah jelaskan lagi apakah yang mereka akan dapat.

جَنّاتِ عَدنٍ الَّتي وَعَدَ الرَّحمٰنُ عِبادَهُ بِالغَيبِ ۚ إِنَّهُ كانَ وَعدُهُ مَأتِيًّا

Sahih International

[Therein are] gardens of perpetual residence which the Most Merciful has promised His servants in the unseen. Indeed, His promise has ever been coming.

Malay

(Iaitu) Syurga “Adn” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

جَنَّاتِ عَدْنٍ

(Iaitu) Syurga ” Adn “

Kalimah جَنَّاتِ bermaksud ‘banyak syurga’, bukan satu sahaja. Ingatlah bahawa orang terakhir yang masuk syurga nanti, akan mendapat sepuluh kali ganda dari saiz dunia sekarang ini. Kalau dia pun dapat banyak itu, apatah lagi mereka yang masuk lagi awal.

Kalimah عَدْنٍ bermaksud ‘kekal abadi’ dari segi bahasa. Maknanya ahli syurga itu akan kekal dalam syurga selama-lamanya. Mereka tidak perlu risau kena halau dari syurga. Mereka tidak perlu nak bayar sewa.

Nota: potongan ayat ini dan selepasnya adalah termasuk dalam hukum tajwid ‘Iltiqa’ Sakinain’ dan jarang diketahui oleh kita. Boleh rujuk di sini untuk maklumat lanjut.

الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ عِبَادَهُ

yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya

Sifat Rahman Allah diingatkan sekali lagi di sini. Maka, kita hendaklah menjadikan janji Allah dalam ayat ini sebagai pemangkin kita untuk berbuat kebaikan. Berapa banyak kenikmatan dunia yang kita tinggalkan kerana kita hendak mendapatkan kenikmatan yang kekal abadi? Allah akan menggantinya dengan yang lebih baik lagi dari yang kita tinggalkan. Maka jangan ralat kalau terpaksa tinggalkan keindahan dunia terutama sekali yang melibatkan dosa.

بِالْغَيْبِ

disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib;

Allah janjikan sesuatu yang ghaib, yang mata kita tak pernah tengok. Memang kita tidak pernah tengok syurga, dan kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa syurga itu. Tapi, Allah berkali-kali sebut dalam Qur’an, maka kita boleh tahu serba sedikit.

Atau maksudnya, Allah berikan balasan kerana mereka beriman kepada perkara ghaib. Kita tidak nampak Allah, malaikat, Nabi dan sebagainya. Tapi kita tetap beriman dengannya dan kerana kita percaya kepada semua itu, maka kita dijanjikan syurga.

Dua-dua makna ini boleh digunakan. Tak perlu kita pilih mana satukah yang lebih kuat pendapatnya.

إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا

sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.

Kalimah كَانَ apabila ditambah, bermaksud sentiasa.

Kalimah مَأْتِيًّا pula dari katadasar أ ت ي yang bermaksud ‘datang’. Jadi kalimah مَأْتِيًّا bermaksud ianya pasti akan datang, pasti terjadi. Maka janji Allah itu pasti akan datang berkali-kali.


Ayat 62: Ayat ketiga yang memberikan motivasi kepada kita lagi.

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا إِلّا سَلامًا ۖ وَلَهُم رِزقُهُم فيها بُكرَةً وَعَشِيًّا

Sahih International

They will not hear therein any ill speech – only [greetings of] peace – and they will have their provision therein, morning and afternoon.

Malay

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa).

لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا

Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia

Yang dimaksudkan ‘dalamnya’ itu adalah ‘syurga’. Tidak ada perkataan sia-sia yang ahli syurga terpaksa tahan telinga untuk dengar. Perkataan di dalam syurga itu adalah percakapan yang bermakna baik belaka. Bagaimana boleh jadi begini? Kerana Allah akan hilangkan perkataan yang tidak molek.

Dari susunan ayat ini, menunjukkan bahawa hanya di syurga sahaja kita tidak mendengar perkara yang sia-sia. Tiada bunyi yang menjelekkan di syurga. Keadaan ini tidak sama dengan dunia. Di dunia ini macam-macam benda tak elok yang kita dengar. Dengan bisingnya, dengan kata-kata orang yang kita tidak suka dan sebagainya. Dengan kata-kata mereka yang menyakitkan hati kita. Semua itu tidak ada di syurga nanti.

Maka kena tahan lah sekejap kata-kata nista semasa di dunia ini. Kalau ada orang kutuk kita dan tuduh kita Wahabi dan sebagainya, maka kenanglah ayat ini, ingatkan diri kita yang kita sebenarnya mengharap kepada syurga nanti di mana kita tidak perlu nak dengar tuduhan-tuduhan sebegitu lagi. Sekejap sahaja nak kena tahan telinga semasa di dunia.

إِلَّا سَلَامًا

tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik;

Kata-kata ‘salam’ yang dimaksudkan adalah kata-kata penghormatan. Kata-kata yang menggembirakan hati kita sahaja. Di dalam syurga itu nanti ahli syurga akan bersembang dengan nikmat-nikmat mereka sahaja.

وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا

dan rezeki untuk mereka disediakan di dalamnya,

‘Rizq’ bukan sahaja bermaksud makanan. Ia boleh bermaksud segala benda yang kita suka. Maksudnya ahli syurga itu akan dapat apa sahaja yang mereka suka. Mereka akan dapat apa sahaja yang mereka mahukan. Sama ada perkara yang mereka hendak di dunia tapi tak mampu dapat. Atau perkara-perkara yang mereka tak pernah lihat pun semasa di dunia. Mereka tak tahu pun perkara itu wujud.

Sebagai contoh, orang dulu-dulu tak pernah pun lihat televisyen warna, kerana belum ada lagi zaman mereka, tapi kalau mereka nampak, mereka pun hendak juga. Begitulah nanti di syurga, mereka akan ditunjukkan dengan makanan-makanan dan benda-benda kenikmatan yang tak pernah dilihat. Apabila ditunjukkan, mereka amat suka sekali dan tentu mereka mahu.

بُكْرَةً وَعَشِيًّا

pagi dan petang (sepanjang masa).

Bukan hanya dua waktu itu sahaja mereka dapat makan atau dapat rezeki. Itu sudah macam penjara pula – makan dua kali sahaja sehari. Tidaklah bermaksud begitu. Mereka boleh makan sepanjang waktu. Mereka boleh makan apa sahaja yang mereka hendak. Makanan tak perlu mereka usahakan lagi untuk mendapatkannya seperti semasa di dunia. Teringat sahaja nak makan apa, makanan itu akan tersedia. Nampak burung terbang, terfikir sedap juga kalau makan burung panggang, burung itu akan terpanggang.

Tapi ayat ini menyebut ‘setiap pagi dan petang’ kerana akan ada jamuan besar-besaran pada setiap pagi dan setiap petang. Memang sifat manusia suka berjamuan dan suka berpesta dan bersosial dengan orang lain. Waktu jamuan itu, semua penghuni syurga akan datang.

Tidak tahulah bagaimana waktu pagi dan petang itu di syurga kerana di syurga, tidak ada matahari. Maknanya, bukanlah pagi dan petang itu sama macam kita di dunia sekarang. Kena tunggu dan lihat semasa di syurga nanti.


Ayat 63: Ayat keempat sebagai motivasi kepada kita. Lihatlah berapa banyak ayat diberikan untuk memberi semangat untuk kita. Padahal satu sahaja tentang ancaman. Ini kerana Allah memang hendak sangat kita berjaya di akhirat nanti.

تِلكَ الجَنَّةُ الَّتي نورِثُ مِن عِبادِنا مَن كانَ تَقِيًّا

Sahih International

That is Paradise, which We give as inheritance to those of Our servants who were fearing of Allah .

Malay

Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.

تِلْكَ الْجَنَّةُ

Itulah taman Syurga

‘Lihatlah kepada syurga yang dijanjikan itu’. Ayat ini dibaca dalam nada bersemangat sekali. Allah suruh kita cuba bayangkan begitu hebatnya kalau kita dapat masuk ke dalam syurga.

الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا

yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada mereka dari hamba-hamba Kami.

Kenapa digunakan perkataan ‘warisi’ dan tak guna kata ‘beri’ sahaja? Kita selalu dengar bagaimana anak akan mewarisi harta pesaka dari ayahnya. Bagaimana kalau harta itu tidak diberikan kepadanya? Hak pewaris kalau tidak diberikan, adalah satu kezaliman.

Allah nak kata bahawa Dia akan beri syurga itu kepada yang layak kerana Dia tidak zalim. Ini sebagai satu penguat semangat untuk mengatakan memang Allah akan beri.

Kata مِنْ bermaksud bukan semua hamba akan dapat. Siapakah yang akan dapat?

مَن كَانَ تَقِيًّا

dari orang-orang yang bertaqwa

Iatu mereka yang sentiasa bertaqwa. Taqwa itu bermaksud sedar tentang Allah dalam setiap masa. Muttaqeen akan sentiasa memikirkan sama ada Allah suka atau tidak dalam perbuatannya. Dia akan sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati dalam setiap perbuatannya, sama ada dalam hal ibadah atau tidak. Dia tidak buat sesuatu itu ikut nafsunya sahaja tapi dia akan fikirkan apakah yang sepatutnya dilakukan dalam Islam.


Ayat 64: Dari ayat ini sehingga ke ayat 83 adalah Perenggan Makro Kelima. Perenggan ini mengandungi seruan tauhid menolak syirik. Berulang kali akan disebut ayat yang menegaskan ALLAH TAK PERLU ATAU TAK PATUT MEMPUNYAI ANAK.

Juga peringatan tentang banyaknya kaum yang pernah dibinasakan. Khabar tentang ganjaran syurga, amaran tentang hari manusia dibangkitkan, azab jahannam.

Latar belakang ayat ini: Nabi Muhammad amat suka berjumpa dengan Jibrail. Satu waktu, Jibril lama tak datang. Oleh itu, apabila Nabi berjumpa dengan Jibril, Nabi tanya kepada Jibril kenapa tak datang lebih banyak? Nabi berharap semoga Jibril lebih banyak dapat menurunkan ayat Qur’an lagi kerana Nabi suka dapat wahyu.

Waktu itu Nabi menghadapi banyak tentangan dan dengan diturunkan wahyu, penurunan wahyu itu memberi semangat kepada baginda. Walaupun sebenarnya, datangnya wahyu itu adalah berat kepada baginda. Berpeluh-peluh kalau baginda terima wahyu itu. Tapi baginda tetap suka bertemu dengan Jibrail dan dari soalan baginda itulah diturunkan ayat ini sebagai jawapan dari Jibrail.

وَما نَتَنَزَّلُ إِلّا بِأَمرِ رَبِّكَ ۖ لَهُ ما بَينَ أَيدينا وَما خَلفَنا وَما بَينَ ذٰلِكَ ۚ وَما كانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

Sahih International

[Gabriel said], “And we [angels] descend not except by the order of your Lord. To Him belongs that before us and that behind us and what is in between. And never is your Lord forgetful –

Malay

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad); Dia lah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ

Dan (berkatalah malaikat): “Kami tidak turun melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad);

Jibril berkata sebagai mewakili malaikat-malaikat yang lain. Itulah sebabnya Jibrail menggunakan perkataan ‘kami’ dalam ayat ini. Kerana apabila Jibrail turun, dia tidak turun seorang diri. Kerana ada bersamanya malaikat-malaikat yang menjaga Qur’an itu.

Kenapa ayat ini digunakan dalam bentuk kata-kata malaikat? Kenapa tidak terus dari Allah? Ini adalah kerana memberi penghormatan kepada Nabi. Seperti para malaikat itu memohon maaf kepada Nabi. Mereka mohon maaf kerana tidak dapat turun selalu seperti yang baginda harapkan. Bukan mereka tidak mahu tapi kerana ianya adalah arahan dari Allah. Mereka hanya boleh turun kalau Allah arahkan.

Ini juga menolak pendapat musyrik yang mengatakan bahawa malaikat adalah anak-anak Allah dan mereka akan membela puak-puak musyrik itu. Kerana puak musyrikin Mekah memuja malaikat. Apabila Nabi menceritakan tentang malaikat, mereka kata memang mereka memuja malaikat-malaikat itu dan mereka baik dengan malaikat.

Kononnya mereka sangka mereka akan selamat. Jadi ayat ini mengatakan bahawa fahaman mereka itu salah. Malaikat tertakluk kepada arahan Allah bukannya kepada mereka. Malaikat hanya menjalankan perintah Allah dan tidak boleh buat lebih dari itu. Dan mereka tidak dapat menolong puak musyrik itu.

Perkataan نَتَنَزَّلُ itu ada elemen ‘usaha’ dan ‘cuba’ di dalamnya. Maknanya, kalau malaikat pandai-pandai cuba nak turun sendiri pun tidak mampu. Kenapa?

لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا

Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang di hadapan kita

Malaikat tidak mampu nak melawan Allah dan turun ikut kehendak mereka kerana Allah yang menguasai segalanya.

Allah menguasai segalanya. Ibn Abbas mengatakan bahawa apa yang di hadapan kita adalah perkara akhirat yang akan berlaku nanti.

وَمَا خَلْفَنَا

dan apa yang di belakang kita

Yang di belakang kita adalah perkara dunia yang telah berlalu.

وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ

serta apa yang di antara itu;

Ini adalah perkara antara dunia dan akhirat.

Allah menguasai segala-galanya, tidak kira apa sahaja.

وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا

dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, –

Allah bukan lupa tentang Nabi sampaikan tidak turunkan Qur’an itu. Kerana Qur’an itu turun pada waktu yang telah ditetapkan oleh Allah. Ianya akan diturunkan apabila sampai masa yang sesuai.

Apabila dikatakan Allah tiada lupa adalah untuk memberitahu bahawa Allah tidak lupa kepada ujian dan kesusahan yang sedang dihadapi oleh Nabi waktu itu. Malaikat nak beritahu bahawa Allah tidak lupa tentang Nabi. Allah telah menjaga baginda dan akan tetap menjaga baginda.

Ini mengingatkan juga kepada kita yang sedang menghadapi masalah. Allah tidak lupa tentang kita. Allah nak lihat sahaja apa kita buat dengan masalah yang menimpa kita. Segala ujian yang kita dapat dan kita bersabar dengannya akan mendapat balasan dari Allah.

Jadi kita lihat bagaimana Nabi Muhammad pun tidak boleh menyuruh malaikat turun. Lalu bagaimana dengan guru-guru di malaysia yang mengajar anak murid mereka doa-doa untuk memanggil malaikat untuk menjaga mereka? Ada doa: “Jibrail di hadapanku, Mikail di belakangku…” dan seterusnya. Siap sekarang ada lagu macam doa itu pula.

Ini adalah kerana kejahilan agama yang telah lama berleluasa dalam masyarakat kita. Dan tidak dapat dinafikan ajaran-ajaran sesat amat banyak di Malaysia. Mereka tak sedar bahawa yang mereka panggil itu adalah jin sebenarnya. Kerana malaikat memang tak turun kalau manusia yang panggil.

Malaikat yang berada bersama dengan kita menulis segala perbuatan kita ini pun kalau kita tegur pun mereka tak menyahut, apatah lagi malaikat-malaikat yang lain. Ayat ini adalah sebagai dalil untuk menolak fahaman karut mereka.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s