Tafsir Surah Maryam Ayat 46 – 51 (Dihalau ayah)

Ayat 46: Sekarang lihatlah bagaimana balasan kata dari ayahnya. Selepas baginda bercakap dengan baik kepada ayahnya, inilah balasan dari ayahnya.

Inilah yang sangat-sangat menyedihkan hati Nabi Ibrahim. Kita tidak perasan ayat ini selalunya. Kita selalu membaca tentang kisah baginda dengan Nabi Ismail, kisahnya dengan Hajar dan lain-lain lagi. Kita tidak perasan bahawa ini adalah dugaan yang amat berat kepada Nabi Ibrahim. Bagaimana ayah yang dia sayang, telah menolaknya mentah-mentah.

قالَ أَراغِبٌ أَنتَ عَن آلِهَتي يا إِبراهيمُ ۖ لَئِن لَم تَنتَهِ لَأَرجُمَنَّكَ ۖ وَاهجُرني مَلِيًّا

Sahih International

[His father] said, “Have you no desire for my gods, O Abraham? If you do not desist, I will surely stone you, so avoid me a prolonged time.”

Malay

(Bapanya) menjawab: “Adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti (daripada menyeru dan menasihati daku) sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa”.

قَالَ أَرَاغِبٌ أَنتَ عَنْ آلِهَتِي يَا إِبْرَاهِيمُ

(Bapanya) menjawab: “adakah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim?

Perkataan أَرَاغِبٌ adalah satu perkataan yang menarik. Kalau digunakan kata رغب في, itu bermaksud ‘suka kepada sesuatu’ dan ‘mengharap kepada sesuatu’. Tapi apabila digunakan perkataan رغب عن dimana perkataan عن digunakan seperti dalam ayat ini, ianya bermaksud amat benci kepada sesuatu. Ia juga bermaksud ‘meninggalkan sesuatu’.

Ayah Nabi Ibrahim menempelak Nabi Ibrahim kerana benci kepada berhala-berhala sembahannya. Macam ayah kita, kalau ada benda yang dia suka, tentulah dia tidak suka kalau anaknya membenci apa yang dia suka itu.

Lihatlah bagaimana dia memanggil anaknya dengan namanya: يَا إِبْرَاهِيمُ. Dia tidak memanggil baginda dengan panggilan manja: wahai anakku يا بنيّ. Padahal Nabi Ibrahim menggunakan panggilan yang manja kepadanya. Ini menunjukkan marahnya ayah baginda kepada baginda.

لَئِن لَّمْ تَنتَهِ لَأَرْجُمَنَّكَ

Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu;

Bapanya suruh berhenti dari apa? Berhenti dari menyeru dan menasihatinya. Atau berhenti dari mencela tuhan-tuhannya. Ayahnya tak mahu langsung mendengar nasihat dari anaknya itu.

Bapanya marah sangat telah memberi kata dua kepada Nabi Ibrahim. Dia hendak merejam kalau Nabi Ibrahim tidak berhenti. Huruf ل dalam perkataan لَأَرْجُمَنَّكَ itu adalah satu penekanan yang menunjukkan memang dia akan buat. Begitu juga apabila ada sabdu pada huruf ن dalam perkataan itu juga sebagai penekanan.

Maknanya, dia sungguh-sungguh akan buat. Ini memang marah sungguh. Mungkin dia memang maksudkan benar-benar hendak merejam Nabi Ibrahim anaknya itu, atau sebagai kata-kata marah seorang ayah kepada anak.

وَاهْجُرْنِي مَلِيًّا

dan berambuslah kamu dari aku untuk tempoh yang sangat lama”.

Bapanya sampai tidak mahu tengok lagi muka Nabi Ibrahim. Walaupun Nabi Ibrahim itu adalah anaknya sendiri. Selalunya ibubapa sayang sangat kepada anak dan mahu lihat anaknya sentiasa. Tapi begini punya marah, sampai halau pergi.

Ayah Nabi Ibrahim telah menghalau baginda. Bukan sekejap-sekejap atau waktu yang pendek tapi perkataan مَلِيًّا bermaksud satu jangka masa yang amat lama.

Atau jauh dari segi jarak – “jauhkan diri dari aku jauh-jauh”. Nampak marah betul dia dengan anaknya itu. Maknanya, Nabi Ibrahim sudah mati padanya. Dia telah membuang anaknya sendiri. Dia sudah tak mahu mengaku Nabi Ibrahim sebagai anaknya lagi.

Adakah kita juga pernah mengalami keadaan sebegini? Tentu ada. Kita selalu dengar ada orang yang baru masuk Islam dan mengajak ibubapanya juga masuk Islam. Tapi mereka dimarahi oleh ibubapa dan keluarga mereka. Sampaikan mereka kena mencari tempat tinggal yang lain. Ada yang takut nak beritahu bahawa mereka telah masuk Islam sampaikan mereka menyembunyikan keislaman mereka sekian lama.

Atau ada juga orang yang sudah belajar jalan sunnah dan mengajak ibubapa mereka. Ada yang tidak ditegur oleh ibubapa mereka lagi. Ada yang mengatakan anak mereka sudah sesat. Ada juga yang kecil hati dengan anak mereka. Padahal anak-anak mereka hendak menyampaikan jalan yang benar kepada mereka, bukannya hendak merendahkan pengetahuan agama ibubapa mereka.

Mari kembali kepada kisah Nabi Ibrahim: Bayangkan kesedihan yang dialami oleh baginda selepas ayahnya berkata begitu. Dia memberi nasihat dan dakwah kepada ayahnya kerana dia sayang kepada ayahnya. Dan baginda telah menggunakan kata-kata yang lembut dan baik kepada ayahnya.

Tapi ayahnya masih tak mahu terima. Ayahnya marah sungguh dengan apa yang dikatakan oleh anaknya Nabi Ibrahim sampai mengancam untuk rejam dan telah menghalau bagina. Tentulah Nabi Ibrahim kesedihan yang amat sangat. Tapi lihatlah apakah balasan kata dari Nabi Ibrahim.


Ayat 47:

قالَ سَلامٌ عَلَيكَ ۖ سَأَستَغفِرُ لَكَ رَبّي ۖ إِنَّهُ كانَ بي حَفِيًّا

Sahih International

[Abraham] said, “Peace be upon you. I will ask forgiveness for you of my Lord. Indeed, He is ever gracious to me.

Malay

Nabi Ibrahim berkata: “Selamat tinggallah ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

قَالَ سَلَامٌ عَلَيْكَ

Nabi Ibrahim berkata: ” Selamat tinggallah ayah;

Pemahaman pertama yang kita boleh ambil dari ayat ini adalah dia akan tinggalkan ayahnya kerana ayahnya yang hendak dia pergi. Maka dia akan pergi kerana mengikut kehendak ayahnya. Dan dia beri salam sebelum dia pergi. Macam kita juga kalau meninggalkan sesiapa, kita akan beri salam.

Lihatlah bagaimana berkali-kali Nabi Ibrahim menasihati ayahnya. Dia hanya berhenti memberi nasihat apabila ayahnya menghalaunya.

Atau maksud kedua adalah dari segi bahasa, dimana kita faham maksudnya adalah baginda mendoakan kebaikan kepada ayahnya. Walaupun ayahnya tidak menerima dakwah baginda dan telah menghalaunya, baginda masih lagi mendoakan kebaikan kepada ayahnya itu.

Atau baginda mendoakan supaya ayahnya itu masuk Islam. Kerana dalam salam kita juga ada bermaksud begitu – doa supaya orang yang kita beri salam itu masuk Islam.

Itulah sifat orang yang beriman. Apabila orang cakap kasar dengan kita, kita balas dengan baik sahaja. Seperti disebut dalam Furqan:63

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang baik;

سَأَسْتَغْفِرُ لَكَ رَبِّي

aku akan memohon kepada Tuhanku untuk mengampuni dosamu;

Nabi Ibrahim mengunakan bahasa yang bermaksud dalam masa hadapan. Kerana ada huruf سَ dalam perkataan سَأَسْتَغْفِرُ itu. Bermaksud dia akan memohon keampunan untuk ayahnya.

Ada dua persoalan yang timbul dalam ayat ini:
1. Bolehkah memberi salam kepada orang kafir?
2. Bolehkah mendoakan kebaikan untuk orang kafir?

Bolehkah seorang Islam meminta ampun untuk orang kafir? Sedangkan dalam ayat Tawbah:113 jelas menyatakan bahawa perbuatan itu terlarang.

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَىٰ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

Tapi kenapa Nabi Ibrahim buat begitu? Itu adalah kerana dia tidak tahu perkara itu tidak boleh dilakukan. Kerana dia sayang kepada bapanya dan dia tidak tahu perbuatan itu adalah salah. Perkara ini dinyatakan lagi dalam Tawbah:114 seterusnya, bahawa Nabi Ibrahim memang memohon keampunan untuk ayahnya kerana dia telah berjanji untuk berbuat demikian seperti yang disebut dalam surah Maryam ini.

Dia telah memohon keampunan untuk ayahnya untuk tempoh yang lama. Dan di awal Islam, memang umat Islam meminta keampunan untuk ibubapa mereka yang tidak masuk Islam kerana meneladani perbuatan Nabi Ibrahim ini. Tapi setelah jelas bahawa ayahnya tidak mahu menerima Islam dan terus menentangnya, maka Nabi Ibrahim telah berhenti dari meminta ampun untuk ayahnya. Dan para sahabat pun berhenti dari meminta keampunan untuk ibubapa mereka. Iaitu setelah Allah menerangkan kedudukan yang sebenar.

وَمَا كَانَ اسْتِغْفَارُ إِبْرَاهِيمَ لِأَبِيهِ إِلَّا عَنْ مَوْعِدَةٍ وَعَدَهَا إِيَّاهُ فَلَمَّا تَبَيَّنَ لَهُ أَنَّهُ عَدُوٌّ لِلَّهِ تَبَرَّأَ مِنْهُ ۚ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ لَأَوَّاهٌ حَلِيمٌ
Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, dia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

Oleh itu, walaupun dalam ayat 47 Surah Maryam ini, Nabi Ibrahim telah menyatakan bahawa baginda akan memohon keampunan untuk ayahnya, tapi itu bukanlah perbuatan yang boleh kita ikuti kerana Allah telah menegur baginda. Itu adalah permohonan seorang anak untuk ayahnya kerana dia belum tahu bahawa tidak boleh memohon ampun untuk orang kafir.

Yang sebaiknya, kita mendoakan semoga Allah memberi hidayah kepada mereka. Iaitu semasa mereka masih hidup lagi. Apabila mereka telah mati, maka kita tidak boleh minta ampun bagi pihak mereka.

Tentang memberi salam kepada orang kafir, ada perbezaan pendapat tentangnya. Kerana ada hadis yang Nabi melarang memberi salam kepada orang kafir. Tapi ada juga hadis dimana Nabi pernah pergi ke satu majlis dan dalam majlis itu ada orang kafir tapi Nabi tetap memberi salam.

Maka ulama menyatakan kita tidak boleh memberi salam kepada kafir yang menentang kita tapi kalau mereka tidak menentang kita, dibolehkan memberi salam kepada mereka. Allahu a’lam.

إِنَّهُ كَانَ بِي حَفِيًّا

sesungguhnya Dia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.

Kalimah حَفِيًّا bermaksud ‘sentiasa menjaga’. Menjaga dengan cara lembut. Dari segi bahasa juga ia bermaksud berkali-kali menjaga.

Nabi Ibrahim mengatakan bahawa Allah sentiasa menjaga dirinya, maka dia akan memohon perkara yang sama kepada ayahnya. Sambil dia berkata begitu, dia sebenarnya sedang mengingatkan ayahnya bahawa Allahlah yang sentiasa menjaga dan melimpahkan kurniaNya kepada kita semua selama hari ini. Jadi kenapa tidak mahu menyembah Allah yang telah berbuat kebaikan kepada kita selama ini?

Dia juga bermaksud hendak memberitahu kepada ayahnya, bahawa tidak perlu risau tentang dirinya, kerana Allah akan menjaga dirinya.


Ayat 48:

وَأَعتَزِلُكُم وَما تَدعونَ مِن دونِ اللَّهِ وَأَدعو رَبّي عَسىٰ أَلّا أَكونَ بِدُعاءِ رَبّي شَقِيًّا

Sahih International

And I will leave you all and those you invoke other than Allah and will invoke my Lord. I hope that I will not be in invocation to my Lord unhappy.”

Malay

Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; dan aku akan beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas; mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan derhaka seperti kamu)”.

وَأَعْتَزِلُكُمْ

Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua

Dia sekarang cakap kepada semua orang (kerana ada كم dalam ayat ini). Maknanya dia bukan bercakap dengan ayahnya sahaja. Bermakna, dia sedang meninggalkan tempat itu dan melalui orang ramai yang ada di situ. أَعْتَزِلُ bermaksud memutuskan diri dari sesuatu.

Bermaksud, Nabi Ibrahim memutuskan dirinya dari kaumnya itu yang menyembah selain dari Allah. Dia sanggup meninggalkan kaumnya dan tempat tumpah darahnya kerana agama. Ini sama seperti Nabi Muhammad dan para sahabat yang sanggup berhijrah meninggalkan Mekah kerana menjaga agama.

وَمَا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

serta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;

Bermakna, dia menolak segala apa yang dilakukan oleh kaumnya itu. Keseluruhan kaumnya mengamalkan syirik dan baginda tidak mahu kena mengena dengan mereka.

وَأَدْعُو رَبِّي

dan aku akan hanya menyeru Tuhanku sahaja;

Seumpama dia bercakap dengan mereka: “Kamu doa kepada tuhan kamu. Dan aku akan berdoa kepada Tuhanku. Adakah kamu boleh berharap dengan tuhan kamu itu? Sebagaimana aku berharap penuh dengan Tuhanku?”

عَسَىٰ أَلَّا أَكُونَ بِدُعَاءِ رَبِّي شَقِيًّا

mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa”.

Kalimah عَسَىٰ bermaksud ‘mengharap’. Dia berharap semoga Allah tidak menghampakannya. Kenapa baginda menggunakan perkataan ‘mengharap’ dan macam tidak yakin? Inilah tawaaduk (Merendah diri). Kerana baginda tidak pasti baginda akan dapat apa yang baginda harapkan. Ikutlah kepada Allah apa yang Allah hendak beri.

Begitu juga kita, kita tidak boleh yakin dengan pasti bahawa Allah akan beri kepada kita atau tidak. Tetapi kita dalam berdoa itu mengharap sungguh-sungguh. Sebab kita tahu, kalau bukan Allah yang beri kepada kita, siapa lagi yang akan beri kepada kita? Kalau bukan kita berdoa kepadanya, mana lagi tempat untuk kita berdoa?

Dia menyebut bagaimana hubungannya dengan Allah. Allah telah memberinya segala keperluannya selama ini. Maka kerana itu dia boleh berharap dengan Allah. Tapi bagaimana dengan mereka? Adakah mereka boleh berharap dengan tuhan berhala sembahan mereka?

Begitu juga kepada orang-orang sekarang. Yang beribadat kepada selain dari Allah. Bolehkah mereka berharap yang mereka seru itu memberi apa yang mereka minta?


Ayat 49:

فَلَمَّا اعتَزَلَهُم وَما يَعبُدونَ مِن دونِ اللَّهِ وَهَبنا لَهُ إِسحاقَ وَيَعقوبَ ۖ وَكُلًّا جَعَلنا نَبِيًّا

Sahih International

So when he had left them and those they worshipped other than Allah, We gave him Isaac and Jacob, and each [of them] We made a prophet.

Malay

Maka apabila dia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.

فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ

Maka apabila dia menjauhkan diri meninggalkan mereka

Kita hendaklah meninggalkan mereka yang tidak menyembah Allah. Kita tidak boleh bersekongkol dengan mereka. Kita kena tunjukkan ketidaksukaan kita kepada perbuatan sesat mereka itu. Allah mengulang perkataan أَعْتَزِلُ dalam ayat ini kerana ianya adalah penting.

وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّهِ

dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah;

Ini bermakna Nabi Ibrahim telah meninggalkan negara Babylon. Baginda telah pergi ke Baitulmaqdis. Dia pergi dengan isterinya dan anak saudaranya Nabi Luth sahaja. Kerana yang lain tidak mahu menerimanya.

وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ

Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya);

Setelah Nabi Ibrahim menjauhkan diri dari bapa dan kaumnya yang sesat itu, Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik dari mereka, iaitu dengan menganugerahkan Ishak dan Ya’kub, iaitu anaknya dan cucunya.

Kalimah وَهَبْ adalah bermaksud ‘hadiah’ dari segi bahasa. Selalu digunakan dalam Qur’an untuk merujuk kepada pemberian anak. Kenapa Allah menyebut tentang anak cucu Nabi Ibrahim dalam ayat ini? Ini adalah memberi nasihat kepada kita bagaimana menjadi ayah. Jangan jadi seperti ayah Nabi Ibrahim tapi jadilah ayah yang seperti Nabi Ibrahim.

Lihatlah apa yang Allah beri kepada Ibrahim. Anak dan cucu. Iaitu keluarga yang besar. Allah boleh beri rahmat yang tidak terhingga kepada mereka yang taat kepadaNya.

Dalam ayat ini hanya disebutkan seorang sahaja anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ishak. Nabi Ismail tidak disebut dalam ayat ini kerana dia akan disebut kemudian nanti dalam bahagian apabila hendak memperkatakan tentang orang-orang Musyrik.

وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا

dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi.

Bukan sahaja Nabi Ibrahim telah diberi anak tapi anak itu dijadikan Nabi pula. Itu adalah satu pemberian yang besar sekali. Kerana kita mengharapkan supaya anak-anak keturunan kita jadi orang yang baik-baik. Sekarang, Allah telah memastikan bahawa ada anak dan cucunya yang menjadi Nabi. Itu adalah satu kebanggaan yang teramat tinggi bagi seorang bapa.


Ayat 50:

وَوَهَبنا لَهُم مِن رَحمَتِنا وَجَعَلنا لَهُم لِسانَ صِدقٍ عَلِيًّا

Sahih International

And We gave them of Our mercy, and we made for them a reputation of high honor.

Malay

Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia.

وَوَهَبْنَا لَهُم مِّن رَّحْمَتِنَا

Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami,

Kalimah مِّن bermaksud ‘sebahagian’. Menunjukkan bahawa rahmat Allah itu amat luas dan yang diberikan kepada mereka itu sebahagian sahaja. Ada banyak lagi rahmat Allah.

Banyak sekali rahmat yang diberikan kepada keluarga Nabi Ibrahim. Apabila Nabi Ibrahim dibuang ke dalam api, api itu disejukkan oleh Allah. Apabila Nabi Ismail hendak disembelih, Allah telah menggantinya dengan kibas. Apabila Nabi Ibrahim meninggalkan anaknya di Mekah yang tandus waktu itu, mereka telah diberikan dengan air zam-zam.

Malah banyak lagi rahmat yang telah diberikan kepada mereka. Tapi itu pun masih sikit lagi kalau dibandingkan dengan seluruh rahmat Allah. Tak sampai setitik pun dari lautan rahmat Allah.

وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا

dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia;

Semua pengikut agama samawi menerima mereka dengan baik. Dan menerima mereka sebagai Nabi. Nama mereka disebut-sebut sepanjang zaman. Mereka dipandang tinggi di kalangan manusia. Mereka juga dijadikan contoh sepanjang zaman. Nama mereka digunakan untuk nama anak-anak manusia dari dulu sampai sekarang.

Perkataan لِسَانَ صِدْقٍ juga boleh bermaksud, mereka diberikan apa yang telah diberikan kepada Nabi Ibrahim, iaitu sentiasa mengatakan perkara yang benar. Iaitu mengatakan perkara yang tinggi, iaitu tentang Allah dan tentang agama.

Mereka mendapat kelebihan kerana mereka mendapat ilmu agama. Kehidupan mereka baik dunia dan juga akhirat. Jadi jangan takut kalau anak suka kepada agama. Jangan sabotaj kehendak dan minat mereka. Ada yang sabotaj keinginan anak untuk belajar agama dengan kata kalau belajar agama, susah nak dapat kerja dan sebagainya.

Itu terjadi kalau tidak ada kepercayaan dan pegangan yang tinggi dengan agama. Itu bermaksud mereka hanya memandang kepada kepentingan dunia sahaja tanpa memikirkan hujung kehidupan di akhirat nanti.

Kisah Nabi Ibrahim ini menekankan tentang akhlak Nabi Ibrahim. Sampaikan baginda diberikan gelaran Khalilullah (Kekasih Allah).


Ayat 51: Sekarang kita masuk ke dalam kisah Nabi Musa pula. Dari ayat ini sehingga ke ayat 63 adalah Perenggan Makro Keempat. Dalam perenggan ini, akan disebut Nabi-nabi yang lain pula.

Bermula dengan kisah Musa yang hanya disebutkan dengan ringkas sahaja. Dalam Surah Taha selepas ini nanti akan disebutkan dengan panjang lebar kisah Nabi Musa.

وَاذكُر فِي الكِتابِ موسىٰ ۚ إِنَّهُ كانَ مُخلَصًا وَكانَ رَسولًا نَبِيًّا

Sahih International

And mention in the Book, Moses. Indeed, he was chosen, and he was a messenger and a prophet.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan, dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مُوسَىٰ

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa;

Ambillah pengajaran dari kisah Nabi Musa a.s. Banyak pengajaran yang boleh diambil. Kisah Nabi Musa memang banyak dalam Qur’an kerana perjuangan baginda ada banyak persamaan dengan perjuangan Nabi Muhammad.

Pengajaran tentang Nabi Musa bukan untuk diri Nabi Muhammad sahaja, tapi baginda kena sampaikan kisah Nabi Musa kepada seluruh manusia. Kerana ada persamaan antara mesej yang disampaikan oleh Nabi Musa dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Ingatkan kepada manusia bahawa semua Nabi membawakan perkara yang sama. Dari segi tauhid, sama sahaja.

Dan kisah Nabi Musa itu hendaklah diambil dari Qur’an sahaja. Jangan ambil dari sumber-sumber lain yang tidak sahih. Banyak kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Kadang-kadang kisah itu boleh merendahkan martabat para Nabi. Ini adalah kerana banyak yang bersumberkan kisah-kisah israiliyat. Dan malangnya kisah-kisah itu telah masuk ke dalam kitab-kitab karangan manusia.

Maka, berhati-hatilah kalau kita memperkatakan tentang para Nabi. Mereka adalah manusia mulia yang menjadi ikutan kita. Kalau ada kisah-kisah mereka yang boleh menyebabkan kita musykil dengan agama, rasa merendahkan dan menghina mereka, maka itu adalah satu perkara yang bahaya.

إِنَّهُ كَانَ مُخْلَصًا

sesungguhnya dia adalah orang pilihan,

Dari segi bahasa, مُخْلَصًا bermaksud sesuatu yang tulus, yang telah disucikan, yang taat. Perkataan ini khas digunakan untuk para Nabi. Ertinya seorang yang ikhlas di dalam beribadah dan Allah membersihkan dirinya dari hal-hal yang kotor. Tapi kalau diikutkan, semua Nabi mendapat kelebihan yang sama, jadi kenapa dalam ayat ini, ianya disebutkan secara spesifik kepada Nabi Musa? Apakah kelebihan Nabi Musa kalau dibandingkan dengan Nabi-nabi yang lain?

Nabi Musa mendapat satu kelebihan yang tidak ada pada para Nabi yang lain – baginda bercakap secara terus dengan Allah. Dalam Nisa:134, telah diberitahu kepada kita tentang perkara ini. Maksud ayat itu, memang benar-benar Allah bercakap terus dengan Nabi Musa. Ia bukan secara isyarat tapi secara benarnya.

Dalam Shura:51, Allah telah menyebut tentang bagaimana Allah berkomunikasi dengan makhluk dan cara komunikasi dengan Nabi Musa ini adalah lebih lagi. Jadi, itu adalah satu kelebihan yang amat tinggi yang telah diberikan kepada Nabi Musa yang tidak diberikan kepada orang lain.

Dan kisah Nabi Musa penuh dengan ranjau, tapi Allah telah menyelamatkan baginda setiap kali. Dari masa Nabi Musa masih bayi lagi, Firaun telah mengarahkan supaya dibunuh semua bayi lelaki tapi Allah telah memberi ilham kepada ibu baginda untuk menyelamatkan baginda; apabila baginda telah membunuh seorang lelaki Qibti secara tidak sengaja dan baginda telah dikenakan hukuman bunuh, Allah telah menghantar seorang lelaki untuk menasihatkan baginda untuk melarikan diri; baginda telah berlawan dengan ahli sihir terkemuka dan hebat dalam negara Mesir dan Allah telah beri kemenangan kepada baginda; baginda telah dikejar semasa melarikan diri bersama Bani Israil yang bersama baginda di Laut Merah dan Allah telah menyelamatkan baginda dengan membelah lautan.

Semua itu adalah nikmat-nikmat yang Allah telah berikan baginda.

وَكَانَ رَسُولًا نَّبِيًّا

dan adalah dia seorang Rasul, lagi Nabi.

Dalam ayat lain, kita telah sebut apakah makna Nabi. Kali ini disebut bahawa Nabi Musa juga adalah seorang Rasul. Apakah makna Rasul?

Makna Rasul adalah seorang yang membawa risalah dari pihak yang tinggi. Dalam Islam, para Rasul membawa risalah dari Allah yang Maha Tinggi.

Apabila dua perkataan ini diletakkan bersama, bermakna ada perbezaan antara Rasul dan Nabi. Persoalan yang selalu timbul adalah: apakah perbezaan antara seorang Nabi dan Rasul? Jawapan yang kita selalu dengar adalah Rasul adalah Nabi yang membawa risalah. Oleh itu, setiap Rasul adalah Nabi setiap Nabi tidak semestinya seorang Rasul. Itu adalah jawapan amat rendah sekali.

Pendapat yang lebih tinggi adalah seorang Nabi dihantar kepada kaumnya tapi seorang Rasul membawa syariat baru. Itu pun masih ada khilaf di kalangan ulama. Ada juga yang kata bahawa seorang Nabi diberikan wahyu untuk dirinya tapi seorang Rasul kena menyampaikan dakwah kepada kaum.

Dari segi penggunaan dalam Qur’an, Nabi Muhammad kadang-kadang disebut dengan pangkatnya sebagai seorang Nabi dan kadangkala sebagai seorang Rasul. Apabila diperhatikan, apabila baginda berurusan dengan manusia, pangkat Nabi disebut. Tapi apabila dalam ayat itu menyebut tentang baginda menerima risalah dari Allah, pangkat baginda sebagai Rasul yang disebut.

Jadi, apakah kaitannya dengan ayat ini? Kalau kita lihat penerangan tentang Nabi Ibrahim, baginda disebut صِدِّيقًا نَّبِيًّا – seorang yang amat benar dan seorang Nabi. Tapi, apabila disebut tentang Nabi Musa, baginda dikatakan: رَسُولًا نَّبِيًّا seorang Rasul dan Nabi. Kenapa ada perbezaan?

Ini adalah kerana ada kriteria tertentu yang hendak ditekankan tentang mereka berdua yang berbeza antara satu sama lain. Dalam kes Nabi Musa, baginda mempunyai masalah dengan kaumnya yang susah untuk menerima baginda sebagai seorang Rasul yang mendapat risalah dari Allah. Maka, status kerasulan baginda ditekankan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 1 Mei 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Shaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s