Tafsir Surah Maryam Ayat 12 – 18 (Siapakah Nabi Yahya?)

Ayat 12:

يا يَحيىٰ خُذِ الكِتابَ بِقُوَّةٍ ۖ وَآتَيناهُ الحُكمَ صَبِيًّا

Sahih International

[ Allah ] said, “O John, take the Scripture with determination.” And We gave him judgement [while yet] a boy

Malay

“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa dia masih kanak-kanak.

يَا يَحْيَىٰ

Hai Yahya!

Dalam ayat ini, Allah berkomunikasi terus dengan Nabi Yahya. Tidak diceritakan tentang apakah yang terjadi selepas Allah memperkenankan doa Nabi Zakaria sebelum ini (ayat 11). Kita boleh agak bahawa isteri baginda telah mengandung (Tafsir Jalalain mengatakan 2 tahun kemudiannya) dan telah selamat melahirkan Nabi Yahya. Dan sekarang Allah sedang berkomunikasi dengannya. Sekarang, Nabi Yahya sudah menjadi Nabi.

Qur’an bukanlah seperti novel yang memasukkan semua kisah-kisah satu persatu. Kisah-kisah yang tidak perlu, tidak dimasukkan di dalam Qur’an. Macam juga kalau kita lihat kepada filem-filem sekarang, kadang-kadang permulaan filem itu tentang bagaimana seseorang dalam kisah itu lahir, kemudian tiba-tiba dalam babak yang seterusnya, terus dia telah membesar. 

Perkara yang tidak penting tidak dimasukkan dalam Qur’an. Ini bermaksud, apa sahaja yang dimasukkan dalam Qur’an adalah perkara-perkara penting kerana Allah telah memasukkan kisah itu. Allah tidak memasukkan perkara yang tidak penting. Maka, apabila kita membaca ayat-ayat Qur’an, kita tahu bahawa Allah masukkan ayat itu dalam Qur’an bukan bersahaja sahaja.

Ada pengajaran dalam setiap ayat. Kerana kadang-kadang, kita nampak macam maklumat yang diberikan tidak penting. Tapi apabila kita faham bahawa apa yang ada dalam Qur’an adalah penting, kita akan melihatnya dalam perasaan yang lain. Kita sudah tahu bahawa ada pengajaran yang hendak disampaikan dalam ayat itu. Maka kajian perlu dijalankan pada setiap ayat sepatutnya.

خُذِ الْكِتَابَ

Peganglah Kitab ini;

Ulama sepakat mengatakan bahawa kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa. Itu adalah Kalam Allah zaman itu. Taurat itu telah menerangkan tentang kedatangan Nabi Isa dan Nabi Yahya akan menjadi orang kanan Nabi Isa a.s.

Untuk baginda membantu Nabi Isa, kenalah baginda menjadi orang yang layak untuk membantu Nabi Isa dan untuk itu, kenalah dia memegang Kitab Taurat itu dengan kemas.

Kepada kita, Qur’an lah yang menjadi pegangan kita sekarang. Kalau Nabi Yahya disuruh memegang Taurat, kita pula disuruh memegang Qur’an pula. Arahan kepada Nabi Yahya ini juga terpakai untuk kita juga. Cuma bezanya kita kena memegang Qur’an.

‘Memegang’ itu bukanlah bermaksud pegang dengan tangan, tapi berpegang kepada ajaran-ajaran dan hukum-hukum yang ada dalam Qur’an itu. Nabi Yahya disuruh belajar isi kandung Kitab Taurat dan mempraktikkannya dalam kehidupan baginda.

Begitulah kita disuruh untuk melakukan sedemikian dengan Qur’an. Tapi malangnya, masyarakat kita buat tak endah sahaja Qur’an. Kalau habis kuat pun, mereka akan baca hari-hari dan kalau ada yang lebih sikit, mereka akan hafal Qur’an. Tapi mereka tak faham pun apa yang ada dalam Qur’an itu. Ini amat malang sekali dan diharap dengan penulisan ini, semakin menarik minat masyarakat kita untuk belajar tafsir Qur’an.

بِقُوَّةٍ

dengan kuat-kuat;

Maknanya, dengan sungguh-sungguh. Ibn Abbas mengatakan maksud ayat ini adalah menghalalkan apa yang Allah halalkan dalam kitab, mengharamkan apa yang Allah haramkan dalam kitabNya dan percaya kepada kitab itu sama ada dia faham atau tidak dan membacanya sepertimana yang sepatutnya dibaca.

Kerana kadang-kadang ada perkara yang kita tidak faham penerangan dalam kitab sebab akal kita tak sampai. Tapi walau bagaimanapun, kita kena pegang dan taat walaupun kita tak faham. Begitulah, kadang-kadang kita tidak belajar tafsir lagi, jadi kita tidak faham apakah maksud yang hendak disampaikan dalam ayat-ayat itu.

Tapi walaupun kita masih tidak belajar, kita tetap juga kena ikut apakah yang telah diarahkan dalam Qur’an. Sama ada kita faham atau tidak. Sekurang-kurangnya sudah ada niat dalam hati untuk ikut taat kepada ajaran dalam Qur’an.

Begitu juga, ayat ini mendorong kita apabila kita belajar agama, jangan main-main, tapi belajar dengan sungguh-sungguh. Jangan senang-senang tinggal ponteng kelas. Kadang-kadang kita ambil lewa dengan kelas pengajian. Ada sahaja perkara lain yang lebih penting dari kelas pengajian. Kalau tertinggal kelas, macam tidak ada apa-apa, sebab kita sangka kita akan dapat pergi kelas lain.

Tapi itu sudah bermakna, kita tertinggal satu ilmu yang telah diajar dalam kelas itu. Kalau kita sudah mula tidak pergi kelas, lama-lama kita akan rasa malas untuk pergi kelas. Akan ada sahaja alasan kita untuk tidak dapat pergi di lain kali. Akan ada sahaja perkara yang lebih penting dari belajar agama.

Kita akan rasa tidak mengapa kalau tinggalkan kelas. Syaitan akan menari kegembiraan kerana dia berjaya mengalihkan perhatian kita. Syaitan akan suka kalau kita tidak berilmu. Kerana apabila kita tidak berilmu, kita akan senang ditipu. Maka kena kuatkan diri untuk bawa diri kita ke kelas pengajian dan jangan ponteng kelas. Hanya kalau terpaksa sahaja, baru tidak pergi. Pada hari-hari lain, walaupun rasa malas, rasa berat sahaja kaki nak melangkah keluar ke kelas, paksa juga diri itu.

وَآتَيْنَاهُ الْحُكْمَ

Dan Kami berikan kepadanya ‘hikmah’;

Yang dimaksudkan adalah ‘kefahaman agama’. Nabi Yahya telah diberi pengetahuan dan pemahaman agama yang mendalam. Amat beruntung sekali mereka yang diberikan kefahaman agama yang mendalam. Kalau kita faham agama, kita akan selamat di dunia dan akhirat. Kita akan selamat kerana kita tidak melakukan perkara yang syirik dan perkara bidaah.

Satu lagi makna الْحُكْمَ adalah ‘hukum’ – iaitu kepandaian untuk membezakan manakah yang betul dan manakah yang salah. Iaitu tahu tentang hukum-hakam agama. Iaitu hukum hakam yang berdasarkan kepada kitabullah. Kalau kita zaman sekarang, kita wajib menghukum dengan menggunakan Qur’an dan hadis. Kerana hadis juga dari Allah tapi disampaikan melalui bahasa Nabi.

Tapi, apabila kita tidak berilmu dan tidak faham konsep ilmu yang sepatutnya, kita akan rasa senang sahaja untuk meninggalkan Qur’an dan hadis tapi berpegang dengan pendapat manusia dan kitab karangan manusia.

Dalam ayat ini, Allah suruh pegang dulu dengan kitab itu. Apabila kita telah memegang Qur’an dengan kuat, barulah diberikan hikmah dan kefahaman agama. Ini menunjukkan kita kena kenalkan anak-anak kita dengan Qur’an dari kecil lagi. Kena jinakkan mereka dengan Qur’an dari mula lagi.

Ini menunjukkan kepentingan Qur’an itu. Tapi malangnya, bukan begitu keadaan sekarang. Masyarakat kita hanya banyak membaca sahaja Qur’an tanpa memahami apakah yang mereka baca itu. Kalau yang menghafal pun tidak tahu apa yang mereka hafal. Tidak ada bezanya dengan orang-orang Yahudi yang ditegur dalam Qur’an. Kerana mereka juga membaca Taurat dan mereka juga menghafal Taurat, tapi mereka tak faham apa yang mereka baca dan hafal dan apabila jadi begitu, mereka tidak berhukum dengan Kalam Allah.

Di negara ini, kita memang mengambil berat tentang pembacaan Qur’an dari kecil lagi. Tapi seperti tidak ada langsung pengajaran kepada makna yang hendak disampaikan oleh Qur’an itu. Tidak diajar kepada anak-anak kita apakah yang Allah hendak kita buat. Tidak diajar tentang agama melalui pemahaman Qur’an.

Maka, umat kita membesar dengan Qur’an di rumah dan dinding-dinding rumah mereka, tapi ajaran Qur’an mereka langgar. Padahal mereka tahu baca Qur’an siap dengan tajwid sekali. Tapi langsung tak faham apakah yang mereka baca. Alangkah baiknya kalau mereka diajar tafsir Quran itu dari muda lagi.

Maka kalau dibuat begitu, mereka akan kenal agama dari muda lagi dan mereka tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Sebab kalau sudah terjerumus, susah nak keluar. Mereka akan terjerumus kepada fahaman yang salah tentang agama. Contohnya, mereka akan sangka bahawa agama itu susah dan hanya boleh difahami oleh ustaz-ustaz yang telah menjadikan agama sebagai profesi mereka.

Kerana salah ini, ramai dari kalangan masyarakat kita yang outsource hal-hal agama kepada ustaz-ustaz dan guru-guru agama itu. Kalau nak buat majlis, panggil ustaz, nak kenduri kahwin, nikah, panggil ustaz. Dan ustaz-ustaz itu pula mengajar agama dari ajaran-ajaran manusia, bukan dari ajaran Qur’an dan Hadis Nabi. Kerana mereka pun diajar sebegitu dari kecil lagi.

صَبِيًّا

Semasa dia masih kanak-kanak;

Nabi Yahya telah mendapat kefahaman agama dari baginda kecil lagi. Baginda telah faham agama dan menjaga akhlaknya dari kecil lagi. Padahal, selalunya kefahaman sebegitu selalunya hanya ada pada orang dewasa dan orang yang tua-tua sahaja.

Oleh itu, kehidupannya lain dari orang lain. Pernah ada riwayat yang mengisahkan bagaimana semasa Nabi Yahya diajak oleh kawan-kawan yang sebaya dengannya untuk bermain, dia tidak mahu. Baginda jawab: “kita tidak dijadikan untuk bermain”.

Bermakna, dari kecil lagi dia sudah ada kefahaman agama yang diberikan oleh Allah. Waktu itu dikatakan baginda belum lagi berumur 10 tahun – itulah makna صَبِيًّا. Iaitu kanak-kanak yang belum pun mencapai umur 10 tahu. Dalam Tafsir Jalalain disebut Nabi Yahya telah diberi dengan pangkat kenabian ketika berumur 3 tahun lagi.

Ini bermakna, Nabi Yahya telah mendapat ilmu agama dari mula lagi. Ini adalah sesuatu yang amat hebat. Kefahaman agama itu diberi terus oleh Allah kepada baginda. Kalau Nabi Muhammad, apabila baginda berumur 40 tahun, baru baginda dilantik menjadi Nabi.

Nabi Yahya tidak pernah berbuat dosa, tidak pernah ada keinginan untuk berbuat dosa pun. Ada dikatakan bahawa dia hanya makan daun-daun sahaja. Kerana dia tidak mahu hidup dalam kemewahan. Dia selalu menangis kerana Allah, sampaikan ada kesan pada pipinya dari sebab dia selalu menangis itu. Maka tidak dapat dinafikan yang Nabi Yahya amat berlainan sekali dengan anak-anak kecil yang lain .


Ayat 13: Apakah sifat-sifat mulia yang ada pada Nabi Yahya?

وَحَنانًا مِن لَدُنّا وَزَكاةً ۖ وَكانَ تَقِيًّا

Sahih International

And affection from Us and purity, and he was fearing of Allah

Malay

dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan dia seorang yang bertaqwa.

وَحَنَانًا مِنْ لَدُنَّا

Dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami;

Nabi Yahya telah ditanamkan dengan sifat belas kasihan. Iaitu perasaan belas kasihan kepada kedua ibubapanya.

Kalimah حَنَانًا bermaksud ‘belas kasihan’ dan ‘kasih sayang.’ Sebagai contoh, kadang-kadang binatang akan merengek dengan kita untuk mendapatkan kasih sayang. Kasih sayang ibu kepada anaknya juga dipanggil حنان. Lihatlah bagaimana seorang itu begitu sayangkan anaknya, dia akan memeriksa keadaan anaknya berkali-kali. Kejap dia periksa, okay ke tidak, kemudian dia akan periksa lagi.

Perkataan ini digunakan dalam bentuk yang umum. Ini bermakna boleh jadi dalam bentuk pasif dan aktif. Bermakna baginda bersifat kasih sayang kepada ibubapanya dan baginda juga diberikan kasih sayang oleh mereka. Baginda juga diberikan kasih sayang dari Allah dan baginda kasih kepada Allah. Lihatlah bagaimana Allah memberi pemahaman agama kepada baginda walaupun masih kecil lagi. Itu adalah satu nikmat yang besar.

Apabila digunakan kata مِنْ لَدُنَّا, bermaksud sifat kasih sayang itu diberikan dari sisi Allah. Perkataan لَدُنَّا bermaksud ianya adalah satu yang istimewa. Maknanya, sifat kasih sayang itu diberikan oleh Allah sebagai satu hadiah dari sisi Allah. Dalam ayat ke 5, Nabi Zakaria menggunakan perkataan لَدُنَّا itu juga. Bermakna, Nabi Zakaria telah memohon pemberian yang istimewa dari sisi Allah. Maka Allah telah memakbulkan doa baginda dengan memberikan sesuatu yang amat istimewa. Allah menggunakan perkataan yang sama iaitu لَدُنَّا.

وَزَكَاةً

seorang yang suci, bersih dari buat dosa.

Dari segi bahasa, ia bermaksud suci ‘dalaman’. Berbeza dengan kebersihan luaran seperti baju yang bersih. Itu adalah bersih dari segi luaran. Tapi kebersihan dalaman adalah seperti hati yang bersih, tidak ada riak, ujub dan sebagainya yang juga dinamakan sebagai sifat-sifat mazmumah.

Juga bermaksud dia menjaga kesucian dirinya. Baginda tidak melakukan maksiat. Riwayat menyatakan bahawa Nabi Yahya tidak pernah berkahwin. Juga dia tidak pernah melihat kepada perempuan. Memang Nabi Yahya adalah seorang lelaki yang luar biasa.

Ada juga mufassir yang mengatakan ini ada persamaan dengan perkataan ‘zakat’ yang kita faham. Mereka mengatakan bahawa Nabi Yahya suka memberi sedekah dan infakkan hartanya. Apabila kita ada belas kasihan kepada orang lain, maka kita akan mudah untuk memberi kepada mereka. Dan Allah telah pun memberitahu bahawa Nabi Yahya mempunyai perasaan belas kasihan yang tinggi. Itu adalah satu lagi makna. Dua-dua makna boleh dipakai.

وَكَانَ تَقِيًّا

Dan dia adalah seorang yang bertakwa.

Kalimah تَقِيًّا diambil dari katadasar yang juga digunakan dalam perkataan ‘Taqwa’. Taqwa bermaksud seseorang itu berhati-hati dalam perbuatannya. Mereka akan memastikan bahawa apa sahaja yang mereka lakukan adalah dalam lingkungan agama.

Perkataan تَقِيًّا ada mempunyai maksud ‘amat’. Maka dia ‘amat bertaqwa’ sekali. Iaitu taqwa yang tinggi. Apabila digunakan perkataan وَكَانَ, memberi maksud baginda ‘sentiasa’ dalam keadaan begitu. Bukan sekali sekala sahaja.

Nabi Yahya disebut dalam ayat ini mempunyai sifat-sifat yang mulia. Ini adalah kerana Allah sendiri yang memberikannya kepada baginda. Seperti kita telah lihat di awal surah, Nabi Zakaria mengatakan bahawa baginda dan isterinya sudah amat tua. Dan kita pun tahu, menjaga anak memerlukan tenaga dan usaha yang amat banyak. Orang yang ada anak akan faham perkara ini. Lebih-lebih lagi mereka yang dapat anak pada usia yang lanjut.

Maka, tentulah Nabi Zakaria dan isterinya dalam kepayahan untuk menjaga dan mentarbiah Nabi Yahya. Dan mereka adalah orang yang baik-baik, maka tentu mereka mahukan anak yang soleh. Dan itulah harapan Nabi Zakaria apabila baginda berdoa kepada Allah supaya dikurniakan seorang anak. Tapi tentu ianya sukar untuk mentarbiah anak mereka kerana usia mereka yang sudah lanjut.

Oleh itu, Allahlah yang mentarbiah sendiri Nabi Yahya. Bukankah harapan Nabi Zakaria semasa berdoa untuk mendapatkan anak itu, baginda mahukan anak yang boleh menggantinya meneruskan untuk membawa jalan agama dan menjadi anak yang diredhai? Maka Allah makbulkan keinginan Nabi Zakaria itu. Dan kerana Nabi Zakaria tidak mampu mentarbiah Nabi Yahya, Allah sendiri yang mentarbiah baginda.

Itu adalah salah satu dari rahmat yang Allah berikan kepada Nabi Zakaria. Bukanlah rahmat yang disebut dalam ayat kedua surah ini hanya dengan memberikan anak sahaja kepada Nabi Zakaria. Tidak terputus kepada itu sahaja. Allah terus memberi rahmat dengan memberi tarbiah kepada Nabi Yahya.

Secara ringkasnya:

حنان merujuk kepada roh Nabi Yahya. Dia mempunyai roh yang lembut.

زَكَاةً merujuk kepada kebersihan hatinya. Bebas dari sifat mazmumah.

تَقِيًّا merujuk kepada perbuatannya. Dia berhati-hati dalam amalan dan perbuatannya. Dia akan hanya melakukan perkara yang dalam lingkungan agama.


Ayat 14: Ini adalah tambahan kepada sifat-sifat yang ada pada Nabi Yahya. Allah menekankan sifat mulia berbuat baik kepada ibubapa.

وَبَرًّا بِوالِدَيهِ وَلَم يَكُن جَبّارًا عَصِيًّا

Sahih International

And dutiful to his parents, and he was not a disobedient tyrant.

Malay

Dan dia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka.

وَبَرًّا بِوَالِدَيْهِ

Dan dia adalah seorang yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Perkataan بَرًّا diambil dari kata dasar ب ر ر yang bermaksud ‘kebaktian’. Apabila dijadikan بَرًّا, bermaksud ianya adalah kebaktian yang amat tinggi. Bukan bakti yang biasa-biasa sahaja. Dalam Qur’an, apabila digunakan perkataan بِر, ianya bermaksud satu keadaan yang lebih tinggi dari Taqwa. Ianya merangkumi imam, taqwa, syukur dan amal.

Perkataan بِر diambil dari katadasar yang sama yang digunakan untuk merujuk kepada daratan – dibandingkan dengan lautan yang jauh dari darat. Kalau orang yang pergi ke laut pun, mereka akan sentiasa teringat dan tertunggu-tunggu bilakah masa mereka akan kembali ke darat kembali. Memang perasaan tidak sama kalau di darat dan di laut. Di darat lebih tenang. Di laut, mereka akan rasa mabuk laut selalunya dan lebih takut kerana keadaan di laut sendiri tidak tenang kerana sentiasa bergelora.

Orang yang beriman, akan mempunyai satu perasaan yang tenang dan selesa. Mereka rapat dengan Allah. Manakala mereka yang jauh dengan Allah seperti berada di lautan yang bergelora – ada sahaja rasa takut dan rasa tidak tenang bagai dipukul ombak.

Jadi بِر adalah sesuatu sifat yang amat tinggi. Dalam Qur’an, apabila Allah bercakap tentang berbuat baik kepada ibubapa, Qur’an akan menggunakan perkataan بِر ini. Dalam banyak tempat dalam Qur’an, Allah menyebut tentang berbuat baik kepada ibubapa selepas menyebut tentang tauhid.

Dalam Surah Baqarah pun, ada Allah mengambil perjanjian dengan Bani Israil untuk berbaik dengan ibubapa selepas menyembah Allah. Ini menunjukkan kepentingan dan ketinggian amal untuk berbuat baik dengan ibubapa. Jangan kita lupa tentang perkara ini. Ibubapa adalah dua orang yang penting untuk kita beri kebaktian kita kepada mereka.

Ini juga mengajar ibubapa tentang kepentingan mendidik anak. Kita pun tahu bahawa kita bukanlah manusia yang sempurna. Kita ada salah dan silap. Kadang-kadang kita pun ada buat silap dengan anak-anak kita. Tapi kita mengharapkan mereka menjadi insan yang baik dan menghormati kita. Tapi kalau kita pun tidak baik, bagaimana? Adakah anak-anak akan menghormati kita?

Oleh itu, kita kena ajar mereka untuk taat kepada Allah. Kerana kalau mereka taat kepada Allah, maka Allah telah mengajar makhlukNya untuk taat kepada ibubapa juga. Maka, walaupun kita bukanlah manusia yang terbaik, tapi kalau anak-anak kita taat kepada Allah, maka mereka semestinya kena menurut perintah Allah untuk taat kepada ibubapa juga. Mereka akan taat kepada kita kerana itu adalah suruhan Allah.

وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا

dan bukanlah dia orang yang sombong

Perkataan وَلَمْ يَكُنْ bermaksud ‘tidak pernah’.

Perkataan جَبَّارًا diambil dari katadasar ج ب ر yang bermaksud ‘menekan sesuatu’. Dalam ilmu tauhid, kita pun ada belajar bahawa Allah juga mempunyai sifat-sifat Jabbariyah. Itu adalah jenis-jenis sifat yang ‘menekan’ manusia. Seperti anak-anak yang degil, untuk mendisiplinkan mereka, ibubapa perlu juga untuk menggunakan kekerasan.

Begitu juga Allah, kadang-kadang Allah akan ‘menekan’ kita supaya kita jadi baik. Contohnya, Allah akan memberi kita bala supaya kita ingat semula kepadaNya. Apabila perniagaan kita jatuh contohnya, kita akan mula untuk kembali kepada Allah. Padahal sebelum itu, kita sombong kerana kita kaya hasil dari kejayaan perniagaan kita.

Macam juga kalau kita seterika baju, kalau ada tempat yang keronyok banyak, maka kena tekan sikit untuk membetulkannya. Sifat jabbariyah itu sesuai dengan Allah kerana Dia adalah Tuhan. Sifat itu tidak sesuai untuk manusia. Antara sifat dalam sifat jabbariyah ini adalah sombong. Sombong adalah sifat Allah kerana layak bagiNya, tapi tidak boleh bagi manusia.

Jadi, orang yang bersifat جَبَّارًا ini adalah orang yang menekan, menindas manusia lain. Yang menggunakan kekerasan supaya orang ikut cakapnya. Orang yang sombong akan menggunakan cara yang tidak baik supaya manusia lain ikut cakap mereka.

Jadi, ayat ini hendak menyatakan bahawa Nabi Yahya tidak pernah bersifat begitu. Tidak pernah dia sombong, tidak pernah dia menggunakan kelebihan yang ada padanya untuk mengambil kesempatan kepada orang lain. Lebih-lebih lagi kepada ibubapanya. Kerana kita tahu, ibubapanya sudah tua. Kita pun tahu, kalau orang yang sudah tua, senang untuk kita ambil kesempatan atas mereka.

Berapa ramai masyarakat kita yang tidak melayan ibubapa mereka dengan baik? Mereka minta macam-macam dengan ibubapa mereka, dan bila mereka tidak tidak dapat, mereka akan guna macam-macam cara sampai mereka dapat. Dan bagaimana dengan mereka yang tinggal dengan ibubapa mereka yang tua? Sepatutnya merekalah yang menjaga ibubapa mereka dengan baik.

Tapi ada antara kita yang mengambil kesempatan kepada ibubapa kita. Ada yang menjadikan ibubapa mereka seperti orang gaji mereka, kena jaga anak, kena kemas rumah dan sebagainya. Kalau mereka buat salah, ada anak-anak yang marah kepada ibubapa mereka. Alangkah sedihnya. Nabi Yahya tidak pernah begitu. Dia amat berlembut dan melayan kedua mereka dengan amat baik sekali.

عَصِيًّا

(lagi bukan pula dia) orang yang durhaka;

Nabi Yahya tidak pernah durhaka kepada Allah dan tidak juga kepada kedua ibubapanya.

Durhaka adalah sifat orang yang tidak berterima kasih. Nabi Yahya tidak begitu. Dia tahu siapakah ibubapanya. Dia terhutang budi kepada mereka. Oleh kerana itu baginda melayan mereka dengan baik. Tambahan pula mereka sudah tua.

Ayat-ayat ini menceritakan tentang sifat Nabi Yahya dan ia sepatutnya menjadi contoh untuk kita. Cubalah untuk kita menjadi orang yang sebegini. Hendaklah kita ingat, supaya kita dilayan baik oleh anak-anak kita, kita hendaklah melayan ibubapa kita dengan baik juga. Anak kita akan melihat bagaimana kita melayan ibubapa kita dan mereka akan mengikut cara-cara kita nanti.

Oleh itu, hendaklah kita meneruskan hubungan dengan mak ayah kita. Kalau boleh lawat, lawat mereka, cium mereka, peluk mereka. Kalau jauh, telefon, video call, whatsapps, viber mereka. Tanya khabar mereka, dengar suara mereka. Bayangkan kalau mereka tidak ada nanti. Allahu akbar!

Amat menyedihkan keadaan dunia sekarang. Kita lihat bagaimana pertalian antara keluarga tidak seperti yang diharapkan. Kita kadang-kadang baik dengan orang lain, tapi tidak dengan ahli keluarga kita. Dengan orang lain kita cakap baik-baik, tapi kita tidak berhemah dengan mak ayah dan keluarga kita. Kita tanya khabar orang lain, tapi sudah berbulan tak telefon mak ayah kita. Masha Allah!

Kita boleh lihat dalam masyarakat, ada sahaja masalah antara keluarga. Ini adalah kerana ramai yang tidak mendalami agama. Kita tidak nampak bagaimana agama amat menitik beratkan pertalian keluarga. Ia juga adalah kerana tidak belajar tafsir Qur’an. Kerana Qur’an mengajar kita segalanya. Kerana tidak belajar tafsir Qur’an, maka ada perkara yang kita tertinggal.

Sebab itu kita boleh lihat, bagaimana orang yang kita anggap sebagai orang yang alim, warak, solat puasa tak tinggal, tapi perhubungan kekeluargaannya amat teruk sekali. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan sebegitu.

Dalam ayat dari Surah Kahf sebelum Surah Maryam ini, ada disebut tentang seorang anak yang bersifat buruk طُغْيَانًا وَكُفْرًا. Ayat itu ada pada ayat ke 80 surah Kahf. Ini menunjukkan pertalian antara Surah Maryam dan surah sebelumnya, Kahf. 


Ayat 15:

وَسَلامٌ عَلَيهِ يَومَ وُلِدَ وَيَومَ يَموتُ وَيَومَ يُبعَثُ حَيًّا

Sahih International

And peace be upon him the day he was born and the day he dies and the day he is raised alive.

Malay

Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari dia diperanakkan, dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).

وَسَلَامٌ عَلَيْهِ

Selamat sejahtera ke atasnya; 

Kita selalunya beri salam kepada orang lain sebagai penghormatan kepada mereka. Ingatlah bagaimana dalam Qur’an, disebutkan para malaikat akan memberi salam kepada ahli-ahli syurga. Oleh itu, ini bermaksud ayat ini memberi penghormatan dari Allah kepada Yahya.

Lihatlah juga bagaimana diceritakan dalam Qur’an bagaimana ahli-ahli syurga memberi salam antara satu lain. Allah juga memberi salam kepada mereka apabila mereka masuk syurga seperti yang disebut dalam Surah Yaasin.

Dan ia juga bermakna selamat sejahtera kepada Nabi Yahya. Bila? Pada tiga waktu:

يَوْمَ وُلِدَ

pada hari dia dilahirkan;

Kelahiran Nabi Yahya adalah satu kelahiran ajaib. Ibubapanya telah tua tapi Allah telah makbulkan doa ayahnya, Nabi Zakaria. Kalau ikut perkiraan biasa dan logik, tidak mungkin mereka dapat melahirkan Nabi Yahya. Tapi Allah mampu untuk melakukan apa sahaja.

وَيَوْمَ يَمُوتُ

dan pada hari dia meninggal;

Baginda telah dibunuh dan akhirnya mati syahid. Jadi ayat ini telah memberi isyarat bahawa Nabi Yahya akan mati dengan cara yang baik, iaitu mati syahid. Itulah mati yang paling baik sekali.

Beza umur baginda dengan Nabi Isa adalah 6 bulan sahaja. Maka baginda adalah pengikut Nabi Isa. Kisah baginda inilah yang disebut dalam Surah Yaasin. Baginda adalah salah seorang dari tiga utusan yang dihantar ke Bandar Antokiah dimana mereka bertiga telah dibunuh oleh penduduk tempat itu. Mereka semua waktu itu adalah orang utusan dari Nabi Isa.

وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا

dan pada hari dia dibangkitkan hidup kembali;

Apabila baginda dibangkitkan pada hari akhirat kelak, baginda akan mendapat selamat dan sejahtera juga. Baginda akan mendapat kedudukan yang tinggi. Dibangkitkan dalam golongan para-para Nabi.

Inilah tiga waktu yang mencengkam manusia: waktu lahir, ia keluar dari tempat tenang yang didiaminya sebelum itu; pada waktu ia mati, ia akan melihat satu keadaan yang tidak pernah dialaminya; apabila dia dibangkitkan, ia akan melihat dirinya di Mahsyar yang maha luas; Nabi Yahya diberikan keamanan kepada ketiga-tiga keadaan ini.


Ayat 16: Ini adalah bahagian kedua dalam surah ini. Iaitu tentang Maryam dan juga tentang Nabi Isa. Ayat-ayat ini elok dibaca kepada orang Kristian kerana mereka ada salah faham tentang kelahiran Nabi Isa. Mereka memuja Nabi Isa terlalu tinggi sampaikan mereka menaikkan taraf baginda ke taraf ketuhanan. Itu adalah perbuatan syirik yang teruk sekali.

Dari ayat ini sehingga ke ayat 40 adalah Perenggan Makro Kedua. Ia adalah kisah Ajaib MARYAM dan Nabi ISA. Ia ajaib kerana perempuan muda tanpa suami boleh dapat anak. Ia juga mengandungi seruan tauhid Nabi Isa kepada kaumnya.

Dalam Surah Ali Imran juga ada disebut tentang kelahiran Nabi Isa. Sama juga dalam surah itu disebutkan kisah kelahiran Nabi Yahya juga sebelum disebutkan tentang kelahiran Nabi Isa a.s. Ini adalah kerana orang bukan Islam tidak dapat menerima kelahiran ajaib ini. Sebab itu Allah mulakan dengan kisah kelahiran yang ajaib sikit sebelum dimasukkan kisah kelahiran Nabi Isa yang lebih ajaib lagi.

Allah beri kebarangkalian yang senang diterima dahulu. Iaitu kelahiran dari dua orang ibubapa yang amat tua – itu sudah ajaib. Kemudian baru disebutkan kisah kelahiran seorang manusia tanpa bapa dan dari wanita yang masih dara.

Tapi orang Kristian mengambil kelahiran ajaib itu terlalu jauh sampai mengatakan kelahiran tanpa bapa itu sebagai dalil untuk mengatakan yang Nabi Isa adalah tuhan – anak tuhan. Tapi kelahiran Nabi Yahya juga adalah ajaib. Kalau kamu kata kelahiran Nabi Isa itu sebagai tanda dia anak tuhan, bagaimana pula dengan kelahiran Nabi Yahya yang juga ajaib?

Sekarang dimulakan dengan kisah ibu Nabi Isa, Maryam.

وَاذكُر فِي الكِتابِ مَريَمَ إِذِ انتَبَذَت مِن أَهلِها مَكانًا شَرقِيًّا

Sahih International

And mention, [O Muhammad], in the Book [the story of] Mary, when she withdrew from her family to a place toward the east.

Malay

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Qur’an ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ

Ceritakanlah dari dalam Kitab Qur’an ini tentang Maryam;

Bermaksud ingat dan ceritakan dengan lidah kepada orang lain. Sekarang mari kita berkenalan dengan Maryam. Nama beliau adalah Maryam binti Imran. Beliau adalah dari keturunan Nabi Daud. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat beragama dalam Bani Israil.

Gunakan maklumat tentang Maryam dengan maklumat yang kita dapati dari Qur’an. Susun atur ayat ini adalah lain dari kebiasaan. Sepatutnya, penggunaan sususan adalah sebegini: وَاذْكُرْمَرْيَمَ فِي الْكِتَابِ. Ada makna yang hendak disampaikan apabila Qur’an menggunakan susunan yang berlainan dari kebiasaan. Ia hendak menunjukkan eklusif.

Bermakna *hanya* gunakan kisah yang disebut dalam Qur’an sahaja. Jangan pakai kisah yang kita dapat dari sumber lain. Kerana agama lain pun hormat kepada Maryam. Mereka pun menyebut kisah-kisah tentang Maryam. Tapi kisah dari mereka adalah selalunya salah kerana banyak telah ditokok tambah.

Maka Allah telah beri maklumat yang banyak tentang Maryam dalam Qur’an, supaya cukuplah kita pakai kisah Maryam yang ada dalam Qur’an sahaja. Kalau tak cukup maklumat yang diberikan, ditakuti kita ambil dari sumber lain pula.

Ada sahabat jumpa cebisan kisah Maryam dari kitab lain. Bila Nabi tahu, baginda marah dan kata adakah tidak cukup Qur’an untuk mereka? Maka biarkan sahaja kisah-kisah dari Israiliyat – jangan benarkan dan jangan kata salah. Malangnya, ada ustaz-ustaz yang suka bercerita, kadang-kadang mengambil kisah-kisah Israiliyat dalam ceramah-ceramah mereka.

Memang kisah-kisah itu menarik untuk dijadikan bahan cerita dan halwa telinga. Ternganga jemaah surau dan masjid apabila dengar. Mereka pun kata, hebat ustaz ni, tahu kisah-kisah itu. Padahal itu bukanlah kisah yang boleh diambil sebagai sumber rujukan. Kerana ianya adalah kisah-kisah Israiliyat dan ditakuti banyak tokok tambah yang tidak patut.

Mungkin ada kebenaran dan mungkin tidak. Kita tidak dapat pastikan dan kerana itu kita sepatutnya jangan pakai. Kalau kita nak cerita juga, kenalah beritahu ianya adalah kisah Israiliyat dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Kadang-kadang, memang kalau kita dengar sahaja kita sudah tahu betapa mengarutnya sesetengah kisah itu.

Sampai terdapat 14 ayat dalam surah ini menyebut tentang Maryam sahaja. Itu adalah bilangan yang banyak kerana selalunya, ayat-ayat Qur’an tidak banyak menceritakan sesuatu perkara atau tentang seseorang. Selalunya maklumat tambahan kalau ayat Qur’an tidak banyak bercerita, akan diambil dari hadis-hadis Nabi. Tapi dalam Qur’an ini sahaja sudah banyak.

Jadi, memang sudah banyak diberikan kisah tentang Maryam. Itu tidak masuk lagi tentang Nabi Isa. Dalam Surah Ali Imran juga ada disebut kisah yang sama tapi dilihat dari sudut berbeza. Kenapa banyak sekali disebutkan tentang Maryam? Jawapannya: kerana dia adalah ibu kepada Nabi Isa a.s. Memang Nabi Isa seorang yang mulia dan hebat. Tapi begitu juga dengan ibunya.

Dan Maryam menjadi hebat kerana ibunya juga hebat. Dalam Ali Imran, ditambah lagi dengan kisah ibu Maryam pula. Kerana beliau juga seorang yang hebat. Dia telah menyerahkan anaknya (Maryam) untuk berkhidmat kepada agama semasa anaknya di dalam perut lagi. Walaupun kemudian dia mendapat anak perempuan, tapi dia meneruskan niatnya untuk memberikan anaknya itu kepada jalan agama. Dia mahu supaya anaknya berkhidmat di tempat ibadat sahaja.

Dia juga telah menamakan anaknya dengan nama Maryam. Dalam bahasa asal, ia bermaksud aabidah – seorang yang banyak buat ibadat. Maka dia telah memberikan nama yang baik kepada anaknya. Begitulah yang sepatutnya dilakukan oleh ibubapa. Kena pilih dan beri nama yang baik supaya nama itu menjadi motivasi kepada anak-anak supaya jadi baik.

Sebagai contoh, kalau mereka tahu nama mereka bermaksud yang baik, maka mereka akan berusaha untuk menjadi baik supaya bersesuaian dengan nama mereka. Tapi, orang kita tidak kisah tentang perkara ini. Mereka hanya pentingkan nama yang glamour, yang canggih, yang sedap disebut. Dan kalau tak cukup satu nama, mereka letak dua atau tiga nama.

Kadang-kadang, nama anak mereka tidak ada makna, cuma takat sedap di telinga sahaja. Yang lebih malang, kalau nama anak mereka itu bermaksud yang tidak baik. Memanglah sedap apabila disebut, tapi kalau dilihat maknanya dalam bahasa Arab, ia membawa maksud yang tidak baik.

Tapi kerana orang kita tidak mengaji, tidak tahu bahasa Arab dan tidak berkawan dengan mereka yang tahu bahasa Arab, maka mereka telah memilih nama yang tidak kena. Itu adalah amat malang sekali. Ingatlah bahawa nama kita akan dipanggil oleh malaikat di Mashyar nanti. Hendakkah kita kalau dalam ramai-ramai itu, nama kita membawa maksud yang tidak elok?

Dan ibu Maryam juga telah memohon perlindungan untuk anak itu kepada Allah. Dan beliau telah menyerahkan anaknya kepada Nabi Zakaria sebagai pengasuh dan sebagai guru kepadanya tentang agama. Ini mengajar kita bahawa ibubapa kena uruskan pengajaran agama yang baik kepada anak mereka.

Kena cari guru yang bagus. Kena hantar di sekolah yang baik. Jangan hantar di sekolah agama yang mengajar hal-hal bidaah. Jangan hanya melepaskan tanggungjawab kita menyekolahkan anak kita sampai kita tidak kisah dimana mereka belajar.

Ini juga hendak mengajar kita bahawa ibubapa bertanggungjawab untuk memberi tarbiyah agama kepada anak-anak mereka. Kebaikan anak-anak banyak bergantung kepada ibubapa. Ibubapalah dua manusia pertama yang menjadi contoh teladan bagi mereka. Anak-anak akan buat apa yang mereka lihat ibubapa mereka lakukan.

Kalau kita lihat anak-anak yang jadi rosak, selalunya kerana ibubapa mereka pun ada masalah juga. Kita akan dapat tahu bahawa cara penjagaan anak-anak itu tidak betul. Ini adalah kerana ibubapa itu sendiri pun tidak layak ada anak. Mereka tidak tahu memberi pendidikan kepada anak mereka. Mereka sangka tugas mendidik anak itu hanyalah tugas guru sahaja.

Mereka sangka mereka sudah hantar anak itu ke sekolah, anak itu akan jadi baik. Mereka rasa hanya guru yang sepatutnya mendidik anak mereka jadi baik. Padahal, berapa sangatlah masa yang boleh diuntukkan oleh guru-guru di sekolah kepada anak murid mereka. Sudahlah anak murid ramai, kerja mereka untuk mendidik perkara lain pun banyak juga.

Dan bukanlah anak-anak itu tinggal sepenuh masa di sekolah. Mereka lebih banyak tinggal di rumah, dimana mereka boleh melihat dan meniru gaya-gaya dan pemahaman ibubapa mereka. Kalau ibubapa mereka mengamalkan perkara yang salah, tidak kisah tentang hal agama, ada kemungkinan anak-anak mereka pun akan jadi begitu. Tidaklah sentiasanya jadi begitu. Tapi kalau kita lihat mereka yang ada masalah, lihat balik siapakah ibubapa mereka.

Ini adalah kisah tentang Maryam semasa di MasjidilAqsa. Dalam surah lain ada dikisahkan tentang beliau lagi, tentang bagaimana Nabi Zakariya telah ditugaskan untuk menjaga Maryam.

إِذِ انْتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا

Ketika Maryam menjauhi diri dari keluarganya

Kalimah انْتَبَذَتْ bermaksud dia mengasingkan dirinya. Dari katadasar yang bermaksud ‘buang ke tepi’. Sebagai contoh, ada air yang dinamakan Nabiz kerana telah dibuang tamar dalam bekas dan buang air panas di dalam bekas. Tujuannya adalah supaya kemanisan tamar itu akan menghilangkan rasa payau air itu. Air zaman itu tidak bersih sangat dan rasanya tidak elok. Jadi, mereka pada zaman itu menggunakan tamar untuk bagi sedap sikit air mereka.

Jadi kalimah انْتَبَذَتْ digunakan dalam penggunaan seseorang yang mengasingkan dirinya dari orang lain kerana merasa diri tidak layak berada di situ. Dia pergi dari ahli keluarganya untuk berzikir kerana dia rasa rendah diri.

Maryam telah mengasingkan dirinya dari orang lain termasuk dari keluarganya. Dari perbuatan Maryam ini, kita boleh lihat bagaimana kuatnya agama Maryam ini. Dia adalah seorang ahli ibadah. Dia amat suka melakukan zikir. Kita pun sudah biasa dengan perkataan ‘iktikaf’. Maknanya zaman dulu pun sudah ada amalan itu. Ianya adalah sebahagian dari agama dari dulu lagi. Ianya adalah satu amalan yang mulia. Bukan sahaja Sunnah Nabi Muhammad, tapi sunnah Nabi-Nabi dahulu juga.

Semasa kita iktikaf, kita tidak boleh buat perkara yang tidak berkenaan dengan agama. Kerana itu orang iktikaf kena duduk dalam masjid sahaja. Tujuannya supaya mereka mengasingkan diri dari segala manusia dan perkara-perkara lain dan menghubungkan diri dengan Allah. Waktu itu kita bersendirian kerana antara lainnya untuk mengingatkan kematian.

Kerana apabila kita mati, kita akan bersendiri sahaja. Waktu iktikaf itu tidak boleh buat kerja, tidak boleh lawat orang lain. Hanya buat perkara yang penting sahaja – pergi ke tandas dan makan. Waktu itu kita sedang bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah. Hanya untuk Allah sahaja kita fokus pada waktu itu.

Tapi ingatlah yang bukanlah kita meninggalkan terus keluarga kita. Ianya adalah pada satu satu jangkamasa pendek sahaja. Nabi Muhammad akan mengkhususkan sepuluh hari terakhir dari bukan Ramadhan setiap tahun untuk iktikaf.

Kalau kita ada masalah untuk iktikaf kerana keluarga tidak suka, maka itu menunjukkan kita selalunya tidak meluangkan masa dengan keluarga kita dari dulu lagi. Janganlah kita kerja teruk sangat sampaikan kita lalai untuk meluangkan masa dengan keluarga kita. Kadang-kadang kita lihat ramai yang kerja keras hanya kerana hendakkan kemewahan yang tidak perlu pun.

Ingatlah yang keluarga kita perlukan masa dari kita, bukanlah wang kita sahaja. Maka seorang ketua keluarga kena pandai membahagikan masa. Kalau kita telah melakukan yang sepatutnya kepada keluarga kita, tentulah mereka akan senang untuk melepaskan kita untuk melakukan ibadah seperti iktikaf di masjid. Mereka akan melepaskan kita dengan rela.

مَكَانًا شَرْقِيًّا

tempat di sebelah timur;

Maryam telah pergi iktikaf ke timur MasjidilAqsa. Iaitu tempat yang jauh dari tempat orang lain. Kerana telah disebutkan dia hendak mengasingkan diri dari orang lain.

Tempat itu juga mengadap ke timur. Perkataan شَرْقِ dari segi bahasa, bermaksud ‘memenuhkan sesuatu dengan cahaya’. Kerana itu perkataan Masyriq digunakan untuk maksud ‘sebelah timur’ kerana cahaya sampai ke timur dahulu.

Jadi apa maksud ‘timur’ dalam ayat ini? Kenapa Maryam pergi ke suatu tempat di timur? Ibn Abbas mengatakan bahawa timur digunakan oleh Kristian sebagai kiblat mereka. Ianya adalah tempat yang mulia untuk mereka. Kerana Nabi Isa dilahirkan di timur dan kerana mereka kata Nabi Isa dikatakan akan diturunkan dari arah timur.

Dan Kristian adalah agama yang berasal dari Yahudi dan mereka juga mengadap ke timur. Jadi apa yang Maryam lakukan ini adalah dari amalan perbuatan orang Yahudi. Kerana memang Maryam dari golongan Yahudi pun. Mereka dulu pun mengadap ke timur ke arah BaitulMaqdis kerana mereka selalunya tinggal di bahagian barat Baitulmaqdis. Sampai sekarang pun mereka meneruskan tradisi ini. Bukanlah kita kena ikut perbuatan mereka ini. Kita sekarang kena mengadap ke arah Kaabah.

Maryam telah keluar dari masjid ke tempat yang jauh. Dalam ayat lain, disebut untuk mandi janabah selepas didatangi haid. Bermakna, dia sudah sampai peringkat umur yang sudah datang haid. Orang perempuan paling subur selepas sahaja mereka bersih dari haid.


Ayat 17: Ini adalah cerita ketika beliau sedang mandi; atau ketika beliau sedang beriktikaf.

فَاتَّخَذَت مِن دونِهِم حِجابًا فَأَرسَلنا إِلَيها روحَنا فَتَمَثَّلَ لَها بَشَرًا سَوِيًّا

Sahih International

And she took, in seclusion from them, a screen. Then We sent to her Our Angel, and he represented himself to her as a well-proportioned man.

Malay

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari Kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.

فَاتَّخَذَتْ مِنْ دُونِهِمْ حِجَابًا

Maka dia mengadakan tabir yang menutupinya dari mereka;

Ia bermakna orang perempuan kena ada tabir semasa mandi. Itu kalau kita mengambil pendapat yang mengatakan Maryam pergi ke tempat itu untuk mandi. Tapi kalau kita ambil pendapat yang mengatakan beliau pergi untuk beriktikaf, maka tujuan Maryam mengadakan hijab itu adalah untuk mengasingkan diri dari manusia lain sewaktu beriktikaf itu.

Bukan sahaja dia pergi ke tempat yang jauh dari manusia, tapi beliau juga mengadakan hijab antara mereka. Kerana kalau tidak ada hijab, mungkin ada yang akan menarik perhatian atau mengganggu beliau dalam taqarrub dengan Allah. Mungkin ada yang mahu bercakap-cakap dengan beliau. Padahal, tujuan beliau beriktikaf itu adalah untuk mengasingkan diri dari orang.

Tujuannya kerana hendak bertaqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah. Kerana dia mungkin berada di tempat ibadat, dan banyak orang akan ada juga di situ untuk beribadat. Begitu juga, kalau zaman Nabi, apabila baginda beriktikaf, baginda akan pakai khemah. Kerana apabila berada di masjid, akan ada sahaja orang lain yang tak faham apa yang kita sedang buat, mereka akan mengajak kita bersembang, tanya itu ini dan sebagainya.

Kalau kita tidak ada hijab dengan perkara selain Allah, maka akan ada hijab antara kita dan Allah. Kalau kita hendak mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah kita menghilangkan gangguan-gangguan. Antaranya, termasuklah kalau kita nak solat, matikan telefon bimbit kita. Sebab kalau kita senyapkan pun, kalau telefon itu bergegar, kita akan sedar ada orang yang sedang cuba hendak telefon kita.

Kalau itu terjadi, hendak tak hendak, fikiran akan terfikir, siapalah yang call kita, takut-takut perkara penting dan sebagainya. Inilah pengajaran yang kita boleh dapati dari ayat ini. Iaitu, dalam kita beribadat kepada Allah, hendaklah kita membuang segala perkara yang boleh mengganggu kita supaya kita dapat memusatkan perhatian kita kepada ibadat itu. Maka kerana itu jangan solat di tempat orang ramai, tempat TV sedang dipasang dan sebagainya.

فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا

Maka Kami utuskan kepada Maryam, Roh Kami;

Yang dimaksud ‘Roh’ itu adalah Jibrail a.s. Ini adalah pendapat semua penafsir. Ramai orang beri nama anak mereka Rohana, mereka mungkin tidak tahu maksudnya. Ia diambil dari ayat ini yang bermaksud ‘Roh Kami’ iaitu Jibrail.

Maryam didatangi oleh Jibrail selepas Maryam mandi dan telah sempurna berpakaian. Kita kena ingat bahawa Jibrail atau mana-mana malaikat tidak akan datang kecuali atas arahan Allah. Mereka tidak akan buat apa-apa kerja melainkan diperintah sahaja.

Maka, kalau ada yang bertawasul, berdoa dengan menggunakan kata-kata seperti: Jibrail di depanku, Mikail di belakangku…. dan seterusnya, itu adalah bohong belaka. Selalu dipakai oleh pengamal-pengamal silat. Itu adalah ajaran sesat yang sudah lama masuk dalam masyarakat kita.

Malaikat tidak akan datang kalau kita panggil mereka. Mereka hanya akan buat apa sahaja yang disuruh Allah. Maka, kalau ada yang buat doa macam itu, seru macam itu, yang datang kepada mereka adalah jin sebenarnya. Mereka sendiri yang sangka ianya adalah malaikat kerana mereka jahil sekali dengan perkara sebegini.

Dalam ayat ini, keajaiban telah terjadi, iaitu Jibrail telah datang menemui Maryam. Bilakah terjadinya? Terjadinya apabila Maryam telah menghilangkan gangguan-gangguan antara dia dan Allah. Kerana itu keajaiban akan terjadi apabila kita dekat dengan Allah. Maka, kita kena ambil peluang ini.

Tinggalkan dunia apabila kita bersama dengan Allah. Tinggalkan dunia sementara kita sedang mengadap Allah. Barulah kita akan dapat khusyuk dalam solat kita dan ibadat-ibadat kita yang lain.

Perkataan رُوحَ dari segi bahasa bermaksud ‘keselesaan’, ‘rehat’. Roh kita pun dinamakan begitu kerana ianya memberi keselesaan dan rehat kepada tubuh kita. Lihatlah kalau roh sudah tiada dalam badan kita, badan kita akan jadi keras. Selagi ada roh dalam badan kita, tubuh kita akan lembut sahaja.

‘Roh’ adalah salah satu dari nama panggilan kepada Jibrail. Kerana Jibrail membawa wahyu yang membawa keselesaan kepada manusia. Perkataan رُوحَنَا (Roh Kami) digunakan sebagai satu penghormatan kepada Jibrail a.s. Allah mengaitkan DiriNya dengan Jibrail apabila digunakan perkataan itu. Ia menunjukkan rapatnya Allah dengan Jibrail. Kalau kita pun, kalau nak sebut orang yang rapat dengan kita, kita akan cakap: “dia itu orang aku tu”.

فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Dia menjelmakan dirinya di depan Maryam sebagai manusia lelaki yang sempurna;

Jibrail datang dalam jelmaan lelaki yang muda. Selalunya Jibrail apabila datang, akan datang dalam keadaan begitu.

Perkataan تَمَثَّلَ bermaksud mengubah rupa luaran. Ini bukan kali pertama malaikat buat macam itu. Dalam kisah Nabi Luth, dalam perjalanan ke tempat Kaum Luth, para malaikat telah datang melawat Nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita. Waktu itu pun mereka datang dalam rupa manusia.

Dan dalam ‘Hadis Jibrail’, apabila Jibrail datang kepada Nabi Muhammad di hadapan para sahabat, beliau datang dalam rupa bentuk manusia juga. Waktu itulah Jibrail bertanyakan kepada Nabi Muhammad tentang Iman, Islam, Ihsan dan sebagainya.

Kita sudah biasa tengok dalam filem tentang bagaimana perubahan-perubahan sebegini. Jadi kita boleh bayangkan bagaimana perubahan-perubahan fizikal itu terjadi. Tapi bayangkan bagaimana Maryam dan orang-orang terdahulu yang boleh percaya bagaimana perkara itu boleh terjadi. Ini adalah kerana iman mereka tinggi.

Yang kita selalu ingat adalah bagaimana Abu Bakr yang percaya terus kepada kejadian isra’ mi’raj yang dilakukan Nabi. Beliau kata, kalau yang cakap itu adalah Nabi sendiri, maka dia sendiri pun akan percaya tanpa ragu-ragu lagi. Lihatlah iman yang ada pada beliau dan para sahabat.

Kenapa Jibrail mengubah rupanya? Untuk memudahkan dan tidak menakutkan Maryam. Ada dua pendapat apakah maksudnya:

1. Untuk tidak menakutkan Maryam. Mungkin timbul satu persoalan: Kenapa Maryam nak takut sedangkan ini adalah malaikat dari Allah? Bukanlah nak dikatakan yang Maryam tidak percaya kepada kewujudan malaikat pula. Tapi, kalaulah Jibrail datang dalam rupanya yang sebenar, maka beliau akan takut sangat.

Nabi Muhammad pernah melihat rupa Jibrail yang sebenar sebanyak dua kali dan setiap kali baginda akan ketakutan. Waktu itu kaki Jibrail di tanah, kepalanya di langit dan ada 600 sayap dan setiap satu menutup langit dari timur dan barat. Jadi apabila Jibrail datang dalam bentuk manusia, maka akan menenangkan Maryam.

2. Sebagai ujian kepada Maryam. Maryam adalah seorang wanita muda dan Jibrail datang sebagai ujian kepadanya dengan datang sebagai seorang lelaki yang kacak. Untuk menguji sama ada Maryam akan tertarik kepada seorang lelaki yang berupa paras yang kacak atau tidak.

Perkataan بَشَرً asalnya bermaksud ‘kulit’. Ianya digunakan untuk merujuk kepada manusia apabila hendak memperkatakan tentang kelembutan pada manusia. Ini adalah kerana manusia adalah makhluk yang nampak kulit (tidak seperti binatang yang nampak bulu sahaja).

Perkataan سَوِيًّا bermaksud ‘sempurna’. Bermakna, Jibrail datang dalam keadaan lelaki yang kacak, sedap mata memandang. Perkataan سَوِيًّا datang dari katadasar yang bermaksud samarata, yang selaras, yang lengkap.


Ayat 18: Apabila Maryam nampak seorang lelaki berdekatan dengannya, tentulah timbul perasaan tidak tenang pada dirinya. Kerana dia adalah perempuan yang baik.

Tambahan pula dia tidak pernah berjumpa dan bercakap dengan lelaki melainkan bapa saudaranya, Nabi Zakaria sahaja. Kerana dia sentiasa beribadat sahaja dalam BaitulMaqdis. Dia pun tidak kenal lagi bahawa lelaki yang di hadapannya itu adalah sebenarnya seorang malaikat yang mulia.

Jadi, apakah yang dia katakan kepada Jibrail yang dia nampak sebagai seorang lelaki itu?

قالَت إِنّي أَعوذُ بِالرَّحمٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا

Sahih International

She said, “Indeed, I seek refuge in the Most Merciful from you, [so leave me], if you should be fearing of Allah .”

Malay

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.

قَالَتْ

Berkata Maryam:

Ini adalah kata-kata Maryam kepada Jibrail apabila Jibrail datang dekat kepadanya.

إِنِّي أَعُوذُ بِالرَّحْمَٰنِ مِنْكَ

Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah daripadamu;

Kailmah selalu diterjemahkan ‘aku mencari perlindungan’. Tapi itu tidak berapa tepat. Kerana kalau kita mencari perlindungan, ada kemungkinan tak dapat. Sama juga kalau kita minta sesuatu kepada orang lain, ada kemungkinan orang itu tidak beri.

Yang lebih tepat adalah kalau kita kata kita ‘mengambil perlindungan’. Kerana kita minta dalam keadaan kita tidak ada pilihan lain lagi. Kalau kita meminta sesuatu, dan orang itu tidak mahu memberi kepada kita, kita minta juga berkali-kali sampai kita dapat. Kerana kita tidak ada orang lain yang boleh tolong kita pada waktu itu.

Dan itulah yang kita harapkan dengan Allah. Kita tidak akan berjaya kalau tanpa pertolongan Allah. Kita mengharap sangat kepada pertolongan Allah. Kerana kita tidak ada pertolongan lain lagi. Kita tidak ada tempat bergantung dan pengharapan yang lain. Maka kita letakkan diri kita dalam perlindungan Allah kerana nak letak dalam perlindungan siapa lagi?

Kalimah الرَّحْمَٰنِ digunakan dalam ayat ini. Kenapa tidak digunakan nama ‘Allah’? Kerana kita memerlukan sifat Rahman Allah yang Maha Pemurah itu. Kerana kalau Allah tak beri, kita tidak akan ada harapan. Kita memanggil Allah dengan sifat ar-Rahman itu kerana kita hendak Allah menggunakan sifat PemurahNya itu.

Kita kenalah tahu tentang nama-nama Allah. Dalam berdoa, kita menggunakan nama-nama Allah yang sesuai dengan apa yang kita kehendaki. Kita pakai nama-nama yang sesuai untuk masa-masa tertentu. Nama-nama sifat Allah itu ada disebut dalam Qur’an dan selalunya ia di hujung ayat. Ada sebab kenapa nama-nama itu diletakkan di tempatnya. Selalunya kita tak kisah pun kerana kita tak faham makna nama-nama itu. Sebenarnya ada kaitan nama Allah yang disebut dengan ayat-ayat sebelumnya.

Ini adalah kali pertama sifat ‘Rahman’ Allah disebut dalam surah ini. Banyak kali lagi kita akan berjumpa dalam surah ini. Ini adalah surah yang banyak menyebut perkataan ‘Rahman’. Kena pula dengan panggilan orang Kristian kepada Tuhan – mereka akan mengatakan God of Mercy – Tuhan Rahmah. Dan surah ini ditujukan khas kepada orang Kristian. Bermakna, Allah meletakkan sesuatu yang kena dengan pembacanya.

إِنْ كُنْتَ تَقِيًّا

jika kamu seorang yang bertakwa;

Ini bermaksud Maryam telah menghalau lelaki itu. Kerana Maryam tidak tahu itu adalah malaikat Jibrail.

Kalimah تَقِيًّا bermaksud sesorang yang sedar tentang Allah. Itulah makna Taqwa. Mereka yang takut kepada Allah dan sedar Allah sedang memerhatikan kita sentiasa. Maryam menggunakan kata ini untuk mengingatkan ‘lelaki’ yang di hadapannya itu supaya takut kepada Allah. Kalau orang itu baik, dia akan teringat tentang Allah dan tidak buat perkara yang jahat. Ini adalah cara yang baik sekali untuk mengingatkan orang lain.

Lihatlah bagaimana Maryam menghadapi kedatangan lelaki kepadanya itu. Dia adalah perempuan yang baik. Dia tidak mengambil kesempatan dengan melakukan perkara yang tidak elok. Allah memberitahu kepada kita bagaimana sifat Maryam dalam ayat ini.

Ianya hendak menolak kata-kata kurang ajar sesetengah manusia yang mengatakan Maryam telah melakukan perkara tidak baik sampai mengandung. Allah sudah tahu bahawa akan ada orang yang akan kata Maryam telah berzina. Jadi Allah membersihkan nama Maryam dengan mengisahkan keadaan ini.

Lihat juga bagaimana cara Maryam menghadapi situasi itu. Dia tidak minta tolong kepada sesiapa. Beliau terus minta tolong kepada Allah. Ini menunjukkan hubungan rapat beliau dengan Allah. Begitu jugalah kita kena jadikan ini sebagai Sunnah. Kita kena terus berharap kepada Allah.

Maka kita kena terus memohon pertolongan kepada Allah, bukan melalui perantaraan yang selalu diamalkan oleh manusia sekarang ini. Itulah yang dinamakan tawasul yang tidak dibenarkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 April 2019


Rujukan:

Nouman Ali Khan

Syaikh Nasir Jangda

Tafsir Ibnu Kathir

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s