Tafsir Surah Mulk Ayat 27 – 30 (Azab yang mendatang)

Ayat 27: Takhwif Ukhrawi.

فَلَمّا رَأَوهُ زُلفَةً سيئَت وُجوهُ الَّذينَ كَفَروا وَقيلَ هٰذَا الَّذي كُنتُم بِهِ تَدَّعونَ

Sahih International

But when they see it approaching, the faces of those who disbelieve will be distressed, and it will be said, “This is that for which you used to call.”

Malay

Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): “Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!”.

فَلَمَّا رَأَوْهُ زُلْفَةً

Dan tatkala mereka melihat (azab api neraka itu) sudah dekat;

Yang dilihat mendekat itu adalah azab neraka.

Azab api neraka itu adalah di masa hadapan. Tapi perkataan yang digunakan adalah رَأَوْ – yang bermaksud ‘telah melihat’. Nampak seperti ianya telah berlaku. Ini adalah salah satu keunikan bahasa Arab. Ianya digunakan untuk menyatakan bahawa ianya *pasti* akan berlaku.

Kerana kalau digunakan dalam bentuk future tense, ianya adalah hanya satu kebarangkalian sahaja – mungkin terjadi, mungkin tidak. Tapi, apabila digunakan perkataan past tense, ia menunjukkan bahawa ia PASTI akan berlaku.

Tapi kita tahu ianya merujuk kepada masa hadapan kerana ada perkataan فَلَمَّا – apabila/tatkala. Digunakan perkataan فَلَمَّا yang bermaksud ‘apabila’, bukan ‘jikalau’. Maknanya, mereka pasti akan melihat azab api neraka itu.

Huruf هُ dalam رَأَوْهُ (melihatnya) itu merujuk kepada janji-janji kejadian di akhirat kelak. Antaranya adalah azab api neraka.

Perkataan زُلْفَةً pula merujuk kepada sesuatu yang datang mendekat dan semakin mendekat. Seperti kalau kita menunggu LRT, kita akan nampak ianya akan datang mendekat dan mendekat. Tidak datang terus tapi datang sikit-sikit.

Bermakna, mereka akan melihat janji-janji hari akhirat itu satu persatu. Mula-mula dengan kedatangan Malaikat Maut yang datang mencabut nyawa mereka. Kemudian mereka akan dibawakan ke dalam kubur dan mereka akan melalui alam barzakh.

Kemudian mereka akan melalui Hari Kiamat. Kemudian mereka akan dibawa ke Mahsyar. Kemudian mereka akan dibicarakan. Kemudian mereka akan melalui Titian Sirat. Kemudian mereka akan melihat neraka dan akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka.

Semua itu akan dilalui satu persatu. Perkara yang disebut-sebut dalam Qur’an dan hadis akan berlaku satu persatu. Mereka dulu semasa di dunia tidak percaya, tapi di akhirat nanti mereka akan melihatnya berlaku betul-betul depan mata mereka.

Setiap satu kejadian itu adalah dalam jangkamasa yang lama, entah berapa lama. Maksudnya mereka tidak terus dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan melihat bahawa janji kehidupan selepas mati itu pasti ada. Semua yang disebut dalam Qur’an dan dalam hadis itu pasti akan berlaku dan mereka akan melaluinya satu persatu. Waktu itu barulah mereka akan menyesali apakah yang mereka lakukan di dunia dulu. Tapi tidak ada gunanya lagi kalau waktu itu baru mereka nak menyesal.

Mereka tidak akan ada peluang untuk menyelamatkan diri lagi. Tidak akan ada peluang untuk kembali ke dunia untuk buat kebaikan semula. Maka penyesalan mereka tiada penghujungnya.

 

سِيئَتْ وُجُوهُ الَّذِينَ كَفَرُوا

jadi jeleklah muka-muka orang-orang kafir;

Apabila mereka melihat semua perkara akhirat yang berlaku itu, muka mereka bertukar jadi huduh sebab takut kepada api neraka. Malah bermula dari saat dia mati lagi dah jadi muka huduh dah. Kerana dia sudah mula nampak kebenaran kata-kata para pendakwah semasa di dunia. Muka mereka menjadi suram kerana mereka dah tahu bahawa apa yang mereka akan alami selepas itu adalah keburukan dan penderitaan.

Perkataan سِيئَتْ adalah bermaksud jelek, buruk, berlawanan dengan kebaikan. سِيئَتْ وُجُوهُ adalah muka yang sudah tiada seri. Kita pun boleh bayangkan sedikit sebanyak. Kadang-kadang seseorang yang mendapat panggilan telefon yang menceritakan perkara tidak gembira kepadanya – seperti contoh, ada orang kesayangannya baru kematian – kita boleh lihat bagaimana rupanya selepas mendapat berita itu. Lain dari wajahnya yang sebelumnya. Seri dari mukanya telah hilang.

Mufassir mengatakan سِيئَتْ وُجُوهُ mengisyaratkan kepada muka mereka yang sedang dibawa kepada hukuman kematian. Cuba bayangkan muka orang yang sedang dibawa ke tali gantung. Itulah lebih kurang wajah mereka, malah lebih buruk lagi apabila mereka melihat kepada kebenaran hari akhirat yang mereka dustakan selama ini.

 

وَقِيلَ

Dan dikatakan

Dikatakan kepada mereka. Yang berkata itu adalah Malaikat Penjaga Neraka – Malaikat Zabaniah.

Kata-kata ini adalah untuk menyakitkan hati mereka. Sebagai azab emosi. Memang akan kena seksa dan Allah nak tambah lagi sakit jiwa mereka itu.

 

هَٰذَا الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تَدَّعُونَ

Inilah dia hari yang mana kamu dulu minta; 

Dulu kalian yang minta supaya azab ini disegerakan. Maka sekarang, rasalah.

Kita boleh lihat ada shaddah dalam perkataan تَدَّعُونَ itu. Ini bermaksud, bukan sekali sahaja mereka ejek kepada Nabi dan para sahabat bilakah akan terjadi hari akhirat dan bala keatas mereka, tapi berkali-kali.

Ini kita boleh lihat dalam banyak ayat-ayat Qur’an. Mereka yang tidak mempercayai dakwah tauhid, kejadian akhirat dan balasan di akhirat, mereka selalu kata: “mana dia azab yang kau janjikan itu?” Mereka katakan begitu kepada Rasul dan juga pendakwah.


 

Ayat 28: Ini cara mengajar wahyu beserta takhwif. Lihatlah betapa sayangnya Allah kepada makhlukNya. Walaupun mereka telah menolak apa yang disampaikan oleh Nabi, tapi Allah masih lagi menyuruh Nabi memberikan peringatan kepada mereka. Mudah-mudahan mereka boleh mengambil pengajaran dan kembali kepada Allah.

قُل أَرَأَيتُم إِن أَهلَكَنِيَ اللهُ وَمَن مَّعِيَ أَو رَحِمَنا فَمَن يُجيرُ الكٰفِرينَ مِن عَذابٍ أَليمٍ

Sahih International

Say, [O Muhammad], “Have you considered: whether Allah should cause my death and those with me or have mercy upon us, who can protect the disbelievers from a painful punishment?”

Malay

Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami, – maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?”.

قُلْ

Katakanlah: 

Katakan kepada orang kafir itu. Allah suruh Nabi yang cakap kepada mereka kerana Allah tidak mahu bercakap terus dengan mereka. Dan memang tugas Nabi adalah untuk menyampaikan dakwah kepada umat.

 

أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَهْلَكَنِيَ اللهُ

Tidakkah kamu perhatikan jika Allah membinasakan aku; 

Kalimah أَرَأَيْتُمْ dari segi bahasa adalah: ‘tidakkah engkau melihat’. Tapi maksud dalam ayat ini adalah ‘tidakkah kamu memikirkan?”.

Maksud أَهْلَكَنِيَ ‘membinasakan aku’ dalam ayat ini adalah ‘mematikan aku’. Orang-orang kafir Quraish mengatakan mereka mengharapkan supaya Nabi Muhammad mati dengan segera. Mereka pun memang ada perancangan untuk membunuh Nabi.

Mereka sangka, kalau Nabi mati, maka masalah mereka akan selesai. Mereka sangka, agama yang dibawa Nabi Muhammad akan mati begitu sahaja. Mereka harapkan kematian Nabi sahaja kerana mereka tidak boleh berhujah lagi dengan Nabi kerana hujah mereka tidak kuat.

Jadi, dalam ayat ini, Nabi disuruh untuk mengatakan, “kalaulah Allah mematikan aku pun”.

 

وَمَنْ مَّعِيَ

dan orang-orang yang bersamaku; 

Dan kalaulah Allah mematikan sahabat-sahabat Nabi yang bersama baginda. Iaitu para sahabat di Mekah. Mereka pun berdakwah juga kepada puak Quraish. Maka para penentang pun benci juga kepada para sahabat itu. Tak habis-habis nak ajak kepada tauhid dan kepada wahyu Qur’an.

 

أَوْ رَحِمَنَا

atau Allah memberi rahmat kepada kami;

Qur’an tidak menggunakan perkataan ‘atau terus menghidupkan aku’. “Rahmat’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kehidupan’. Kerana hidup itu adalah satu rahmat yang besar dari Allah. Kerana itu Allah tidak suka jikalau manusia mengambil nyawa orang lain atau nyawa sendiri. Kerana itu memutuskan rahmat Allah.

Selagi kita hidup, selagi itu ada rahmat yang Allah berikan kepada kita. Tapi apabila kita sudah mengambil nyawa, maka putuslah rahmat dari Allah itu.

Maksudnya, kalaulah Allah matikan Nabi dan para sahabat atau terus menghidupkan mereka ke satu masa, adakah berguna kepada musyrikin Mekah itu?

 

فَمَنْ يُجِيرُ الْكَٰفِرِينَ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Maka siapakah yang dapat menyelamatkan orang-orang kafir itu dari azab yang tidak terperi sakitnya?;

Kalaulah Nabi dan para sahabat hidup atau mati, siapakah yang boleh menyelamatkan orang kafir itu? Mereka hendakkan sangat supaya Nabi dan para sahabat mati segera. Tapi Allah tanya balik, kalau mereka mati pun, adakah sesiapa yang boleh menyelamatkan mereka? Adakah dengan matinya Nabi dan para sahabat, mereka akan selamat? Adakah sesiapa yang boleh tolong mereka?

Nabi dan para sahabat berdakwah kerana mereka hendak menyelamatkan musyrikin Mekah itu dari kebinasaan. Tapi mereka balas dengan buruk, sampaikan mereka hendak bunuh orang yang cuba menyelamatkan mereka.

Tidakkah ini nampak sebagai satu perkara yang bodoh? Kalau kita memerlukan air untuk hidup, sebab kita sedang di padang pasir yang tandus, lepas itu datang seorang lelaki yang datang membawa air kepada kita, adakah kita akan marah dia, adakah kita nak pukul dia malah hendak bunuh dia? Tentulah tidak. Tindakan itu adalah tindakan yang amat bodoh sekali. Amat merugikan sekali.

Allah tanya adakah sesiapa yang akan menolong mereka nanti? Tidak akan ada sesiapa yang berani nak menyelamatkan mereka. Waktu di akhirat nanti, nak angkat doa supaya Allah selamatkan pun tidak berani. Tak berani nak minta pun. Apabila di akhirat nanti kita tak mampu nak menolong sesiapa pun lagi waktu itu. Walaupun dia sedang nampak isteri atau suami, atau anak atau ibubapa mereka dibawa ke Neraka.

Yang boleh tolong hanyalah imannya dan ibadat yang telah dilakukan semasa di dunia.

Atau, kalau seseorang itu diberi kuasa syafaat, boleh juga dia menolong. Tapi nak beri syafaat itu kenalah orang yang diberi syafaat itu dalam golongan mereka yang boleh diberi pertolongan. Seperti juga Nabi Nuh tidak boleh memohon pertolongan walaupun untuk anaknya.

Maknanya, tidak boleh kita hendak menolong orang kafir. Kalau seorang Nabi pun tidak boleh tolong anaknya sendiri, apakah kita rasa kita yang bukan Nabi boleh menolong sesiapa? Adakah mereka sangka yang mereka layak dapat syafaat?

Nabi Ibrahim hendak mendoakan ayahnya pun tidak boleh. Nabi Muhammad hendak memohon ampun kepada ibunya pun tidak boleh. Nabi Muhammad pun tidak boleh menolong Abu Talib, bapa saudaranya yang telah membantunya dalam memberi perlindungan kepadanya. Sungguh sedih sekali Nabi Muhammad kerana tidak boleh memberi pertolongan kepada orang yang dia sayang. Kerana bukan Nabi yang pilih siapa yang baginda boleh beri syafaat. Hanya kepada sesiapa yang Allah tetapkan sahaja boleh menerima syafaat.

Tapi, ada guru agama dan ustaz yang tidak tahu agama, mengajar bahawa boleh kita berdoa kepada Nabi Muhammad untuk mendapatkan syafaat. Itu adalah ajaran yang salah kerana Nabi bukan Tuhan yang boleh menentukan kepada siapa boleh diberi syafaat. Doa hanya kepada Allah sahaja. Kerana Allah sahaja yang menentukan siapa yang boleh menerima syafaat. Nabi hanya memberi syafaat itu setelah ditentukan oleh Allah.

Malah, ada juga golongan yang tidak belajar agama, atau belajar agama entah di mana, telah memohon syafaat dari guru mereka. Macamlah guru mereka itu dah pasti boleh beri syafaat kepada orang lain. Guru itu sendiri pun belum tentu selamat lagi.

Maka, kita kenalah minta doa untuk diri kita semasa di dunia lagi. Sebab tidak boleh orang lain yang dapat membantu kita nanti. Hendaklah kita bergantung dengan amal kita sendiri, jangan nak berharap sangat dengan syafaat dari Nabi, kerana takut kita tak layak nak dapat syafaat itu!

Ayat ini juga mengingatkan kita tentang kematian. Semua makhluk pasti akan mati. Nabi Muhammad akan mati, sahabat akan mati, musyrikin Mekah yang menentang Nabi itu akan mati, kita pun akan mati juga bersama dengan orang lain.

Mati memang sudah pasti, tapi apakah persediaan kita untuk menemui mati itu? Adakah kita sudah bersedia? Mati itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Kalau esok kita mati, adakah amalan kita sudah cukup? Adakah perbuatan kita selama ini akan memastikan kita selamat di akhirat kelak? Fikir-fikirkan….


 

Ayat 29: Allah ajar tauhid. Kerana ajaran tauhidlah yang utama sekali kita kena faham.

قُل هُوَ الرَّحمٰنُ ءآمَنّا بِهِ وَعَلَيهِ تَوَكَّلنا ۖ فَسَتَعلَمونَ مَن هُوَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sahih International

Say, “He is the Most Merciful; we have believed in Him, and upon Him we have relied. And you will [come to] know who it is that is in clear error.”

Malay

Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): “Allah, Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata”.

قُلْ هُوَ الرَّحْمَٰنُ ءآمَنَّا بِهِ

Katakanlah: Dialah ar-Rahman, kami beriman denganNya;

Ini adalah struktur ayat yang biasa dalam bahasa Arab. Tapi dalam bahagian yang seterusnya (tentang tawakal), struktur ayat yang digunakan bukanlah kebiasaan bahasa Arab. Kenapa begitu?

Kerana kita memang beriman dengan Allah. Tapi bukan dengan Allah sahaja kita beriman. Kita beriman dengan malaikat, Kitab-kitab, para Nabi dan lain-lain. Tapi kita *hanya* bertawakal kepada Allah sahaja.

 

وَعَلَيْهِ تَوَكَّلْنَا

dan kami bertawakal kepadaNya;

Inilah fahaman kita: Apa sahaja yang kami usahakan, kami bertawakal kepadaNya sesudah usaha kami itu.

Struktur susunan ayat ini bukanlah struktur yang normal dalam bahasa Arab. تَوَكَّلْنَا عَلَيْهِ  adalah susunan yang normal. Tapi, apabila digunakan susunan عَلَيْهِ تَوَكَّلْنَا, seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ianya menunjukkan kita *hanya* bertawakal kepada Allah sahaja. Lihatlah bagaimana tepatnya bahasa yang digunakan oleh Qur’an.

 

فَسَتَعْلَمُونَ مَنْ هُوَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

Kelak kamu pasti akan tahu siapakah yang duduk dalam sesat yang nyata;

Nanti di akhirat nanti semua akan tahu kebenaran. Waktu itu baru tahu dengan jelas siapakah yang sesat dan siapakah yang duduk dalam iman.

Sekarang kita bergantung kepada wahyu yang ada. Maka kenalah kita pakai wahyu yang ada untuk kita bandingkan siapa yang benar dan siapa yang tidak. Jangan dah jelas di akhirat nanti baru nak menyesal.


 

Ayat 30: Dalil Aqli terakhir dalam surah ini. Allah gunakan perumpamaan air.

قُل أَرَءيتُم إِن أَصبَحَ ماؤُكُم غَورًا فَمَن يَأتيكُم بِماءٍ مَّعينٍ

Sahih International

Say, “Have you considered: if your water was to become sunken [into the earth], then who could bring you flowing water?”

Malay

Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”.

قُلْ

Katakanlah; 

Berhujahlah kepada, suruh mereka fikirkan. Banyak kali Allah menggunakan perkataan ‘Qul’ tapi tidaklah membosankan kita membacanya walaupun kita membacanya berkali-kali. Kalau perkataan manusia, tentulah kita akan merasa bosan.

 

أَرَأَيْتُمْ

Apakah tidak kamu perhatikan; 

Ini adalah soalan Allah kepada manusia. Allah menyuruh kita memikirkan. Allah suruh kita perhatikan dengan ‘mata hati’. Jangan tengok dengan mata fizikal sahaja.

 

إِنْ أَصْبَحَ مَاؤُكُمْ غَوْرًا

jika Allah ingin menyurutkan air kamu dihilangkan;

Allah boleh serapkan air semuanya sehingga menjadi kering kontang bumi itu, tidak didapati air itu lagi dah. Allah memang mampu buat.

Perkataan أَصْبَحَ bermaksud cepat sahaja perkara itu terjadi. Apabila datang subuh sahaja, kita lihat air telah tiada. Perkataan غَوْرًا bermaksud air surut masuk ke dalam bumi. Tak boleh nak ambil dah. Tak boleh nak cari dah sebab dah masuk dalam sangat. Korek telaga pun tak jumpa dah.

Kenapa Allah menggunakan contoh air dalam ayat ini? Ini adalah kerana Qur’an mula-mula diturunkan kepada bangsa Arab dan air adalah satu sumber yang amat penting sekali kepada mereka. Jadi, apabila digunakan contoh air, mereka akan cepat faham. Tapi bukanlah air itu diperlukan oleh mereka sahaja. Seluruh dunia memerlukan air. Tidak ada kehidupan jikalau tiada air. Jadi, penggunaan contoh air ini adalah amat bertepatan sekali. Kita pun kalau kemarau sekejap pun dah rasa susah, bukan?

Qur’an menggunakan contoh-contoh yang manusia mudah dan cepat faham. Asalkan kita mahu belajar dan buka hati kita. Tapi masalahnya, ramai yang tidak terfikir pun nak belajar tafsir Qur’an. Mereka sangka mereka dah pandai, dah faham agama, tapi sebenarnya tidak.

 

فَمَنْ يَأْتِيكُمْ بِمَاءٍ مَعِينٍ

Maka siapakah yang boleh mendatangkan air mengalir kepada kamu?;

Kalimah مَعِينٍ bermaksud air yang mengalir dengan cantik dan tenang. Inilah air yang diharap-harapkan oleh semua orang.

Adakah sesiapa yang boleh mengadakan kembali air itu kalau Allah telah hilangkan? Tidak ada sesiapa yang boleh buat. Hanya Allah taala sahaja yang mampu. Yang beri air itu pada mulanya pun Allah juga. Dan kalau Allah ambil, siapakah lagi yang boleh mengeluarkannya? Maka, sedarlah kita bahawa kita ini amat bergantung sangat kepada Allah.

Dalam semua perkara kita bergantung. Janganlah semakin kita maju, kita rasa kita boleh buat sendiri. Jangan kita rasa kita tidak memerlukan Allah lagi. Janganlah jadi seperti orang barat yang sudah merasa mereka menguasai dunia dengan kehebatan teknologi yang mereka sudah ada. Janganlah kita rasa selamat kalau kita tidak bergantung dengan Allah. Serahkanlah diri kita kepada Allah. Tawakallah kepada Allah dalam segenap hal.

Allahu a’lam. Tamat tafsir surah al-Mulk ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Qalam.

Kemaskini: 30 Mac 2018


Rujukan: 

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad

Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s