Tafsir Surah Kahfi Ayat 91 – 97 (Kisah Ya’juj dan Mak’juj)

Ayat 91:

كَذٰلِكَ وَقَد أَحَطنا بِما لَدَيهِ خُبرًا

Sahih International

Thus. And We had encompassed [all] that he had in knowledge.

Malay

Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

 

Dzulkarnain juga mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak bukan hanya kekuasaan sahaja yang dia ada. Ilmu itu diberi oleh Allah kepada beliau. Apa sahaja yang Dzulkarnain itu tahu, adalah dari Allah.

Perkataan كَذَٰلِكَ yang digunakan mengisyaratkan, sepertimana Allah telah mengajar beliau untuk memerintah kaum yang sebelum itu, begitu jugalah beliau diajar untuk memerintah kaum yang berada di negeri matahari terbit ini.


 

Ayat 92:

ثُمَّ أَتبَعَ سَبَبًا

Sahih International

Then he followed a way

Malay

kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

 

Seperti telah diberitahu, Dzulkarnain ini banyak mengembara dan kali ini dia pergi ke utara pula. Kerana di selatan tidak ada penempatan.


 

Ayat 93: 

حَتّىٰ إِذا بَلَغَ بَينَ السَّدَّينِ وَجَدَ مِن دونِهِما قَومًا لا يَكادونَ يَفقَهونَ قَولًا

Sahih International

Until, when he reached [a pass] between two mountains, he found beside them a people who could hardly understand [his] speech.

Malay

Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.

 

حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ بَيْنَ السَّدَّيْنِ

Sehingga dia sampai pada satu kawasan yang berada di antara dua gunung;

Dia sampai ke satu tempat di antara dua gunung. Apabila perkataan سَّدَّ digunakan, ianya bermaksud gunung yang ada air yang lalu ditepinya.

 

وَجَدَ مِنْ دُونِهِمَا قَوْمًا

dan dia dapati di sebelah gunung itu satu kaum;

Ada kaum yang beliau jumpai di situ.

 

لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ قَوْلًا

yang mereka hampir tidak memahami perkataan yang mereka pertuturkan;

Mereka susah difahami kerana mereka menggunakan bahasa yang pelik. Lain dari bahasa orang lain kerana jauhnya kedudukan mereka dari bangsa lain. Kehidupan mereka terasing dari tamadun yang lain. Walaubagaimanapun, mereka berjaya berkomunikasi juga akhirnya – mungkin menggunakan bahasa isyarat.


 

Ayat 94: Apa kata mereka kepada Dzulkarnain?

قالوا يا ذَا القَرنَينِ إِنَّ يَأجوجَ وَمَأجوجَ مُفسِدونَ فِي الأَرضِ فَهَل نَجعَلُ لَكَ خَرجًا عَلىٰ أَن تَجعَلَ بَينَنا وَبَينَهُم سَدًّا

Sahih International

They said, “O Dhul-Qarnayn, indeed Gog and Magog are [great] corrupters in the land. So may we assign for you an expenditure that you might make between us and them a barrier?”

Malay

Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

 

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

Mereka berkata: Wahai Dzulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj berbuat kerosakan di mukabumi;

Ya’juj Ma’juj itu adalah keturunan manusia juga. Mereka menceritakan kadang-kadang Ya’juj dan Ma’juj akan datang mengambil makanan mereka dan merosakkan tanaman mereka. Maka kaum itu mengadu kepada Dzulkarnain dan berharap dia dapat tolong mereka mengawal golongan Ya’juj dan Ma’juj itu. Mereka lihat bahawa Dzulkarnain berkemampuan untuk membantu mereka.

 

فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا

Maka bolehkah kami nak beri kamu upah bayaran untuk menjadikan antara kami dan mereka itu satu dinding;

Mereka berniat untuk mengumpulkan harta di kalangan mereka untuk diberikan kepada Dzulkarnain untuk buat tembok besar untuk memisahkan antara mereka dan Ya’juj Ma’juj. Maknanya mereka nak bayar upah kepada Dzulkarnain atas khidmatnya itu.

Banyaklah pendapat yang dikeluarkan untuk menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan tempat itu, dan siapakah Ya’juj dan Ma’juj itu. Antaranya mengatakan mereka itu datang dari negara China dan tembok yang dimaksudkan adalah Tembok Besar China. Itu adalah tidak benar berdasarkan dari kajian sejarah. Jadi ini adalah di kawasan lain.


 

Ayat 95:

قالَ ما مَكَّنّي فيهِ رَبّي خَيرٌ فَأَعينوني بِقُوَّةٍ أَجعَل بَينَكُم وَبَينَهُم رَدمًا

Sahih International

He said, “That in which my Lord has established me is better [than what you offer], but assist me with strength; I will make between you and them a dam.

Malay

Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.

 

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ

Dzulkarnain berkata: Apa yang dianugerahkan kepadaku oleh Tuhanku lebih baik dari upah itu;

Dzulkarnain tidak memerlukan upah mereka. Beliau akan bantu mereka dengan percuma. Ini adalah kerana apa yang dia dapat dari segi kekayaan dan kekuasaan dari Allah adalah lebih lagi dari apa yang mereka boleh beri. Jadi dia nak kata, tak payahlah nak beri upah kepadanya. Dia akan buat dengan percuma.

 

فَأَعِينُونِي

Maka kamu tolonglah aku;

Dzulkarnain pun minta tolong juga walaupun dia seorang raja. Kerana penduduk tempat itu ada kemahiran juga, cuma mereka tak tahu nak buat macam mana. Dzulkarnain pula datang dengan tenteranya sahaja. Jadi, tidak ada bahan mentah dan pembina-pembina yang datang bersamanya. Maka sama-samalah mereka bergembeling tenaga untuk kebaikan bersama.

Maka ini mengajar kita yang Dzulkarnain ini juga memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Bukanlah dia ada kelebihan lebih dari manusia yang lain. Maka tidak patut kalau puja dia.

 

بِقُوَّةٍ

dengan kekuatan;

Penduduk tempat itu boleh bantu dengan beri tenaga buruh dan alat perkakas binaan. Kerana Dzulkarnain datang dengan tentera sahaja.

 

أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

Dengannya aku akan jadikan antara kamu dan mereka, satu dinding.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa perkataan رَدْمًا bukan sahaja bermaksud ‘dinding’. Ianya adalah dua lapis tembok yang ada pasir diantaranya. Dengan adanya pasir itu, tembok itu dapat menghadapi gegaran gempa bumi.

Dan ada pendapat yang mengatakan, apabila digunakan kalimah رَدْمًا, ia bermaksud bukan tepi sahaja yang ditutup, tapi bahagian atas sekali.


 

Ayat 96:

آتوني زُبَرَ الحَديدِ ۖ حَتّىٰ إِذا ساوىٰ بَينَ الصَّدَفَينِ قالَ انفُخوا ۖ حَتّىٰ إِذا جَعَلَهُ نارًا قالَ آتوني أُفرِغ عَلَيهِ قِطرًا

Sahih International

Bring me sheets of iron” – until, when he had leveled [them] between the two mountain walls, he said, “Blow [with bellows],” until when he had made it [like] fire, he said, “Bring me, that I may pour over it molten copper.”

Malay

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila dia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.

 

آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ

Datangkan kepadaku kepingan-kepingan besi;

Dzulkarnain minta bantuan penduduk tempat itu untuk bawa bahan mentah untuk dijadikan tembok. Dan dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa struktur asas binaan dinding itu adalah dari besi.

 

حَتَّىٰ إِذَا سَاوَىٰ بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ

sehinggalah terkumpul besi itu dengan ketingian sama dengan puncak dua gunung itu;

Kepingan besi itu dikumpulkan dan diikat sampai sama tinggi dengan puncak gunung. Maknanya, besar betul binaan itu.

 

قَالَ انْفُخُوا

Dzulkarnain berkata: “tiuplah/bakarlah besi itu”;

Kemudian dia suruh supaya besi-besi itu dibakar untuk meleburkannya. Api besar itu ditiup menggunakan alat tiupan supaya nyalaan itu menyala membakar besi itu. Bukannya dia ada sakti untuk jadikan dinding itu sendiri tapi dia memerlukan orang lain untuk tolong dia.

 

حَتَّىٰ إِذَا جَعَلَهُ نَارًا

sehingga kepingan itu jadi macam api;

Api itu membakar besi itu sampai jadi merah menyala. Jadi seperti api dah.

 

قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا

Dzulkarnain berkata: Datangkan kepadaku tembaga cair supaya aku tuangkan ke struktur besi itu;

Struktur asas dinding itu adalah dari besi dan Dzulkarnain telah melepanya dengan tembaga cair. Bahan mentah untuk buat dinding itu datang dari penduduk di situ, tapi ilmu pembinaan itu dari Dzulkarnain. Mereka mungkin kaum yang primitif, jadi mereka tidak tahu bagaimana hendak buat tembok itu.

Dengan adanya tembaga meliputi besi itu, maka tidak akan berkaratlah dinding itu. Dan dinding itu licin supaya golongan Ya’juj Ma’juj tidak boleh panjat dinding tembok itu.


 

Ayat 97: Apabila telah dibina dinding itu.

فَمَا اسطاعوا أَن يَظهَروهُ وَمَا استَطاعوا لَهُ نَقبًا

Sahih International

So Gog and Magog were unable to pass over it, nor were they able [to effect] in it any penetration.

Malay

Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.

 

فَمَا اسْطَاعُوا أَنْ يَظْهَرُوهُ

Maka mereka tidak dapat memanjat dinding tembok itu; 

Oleh kerana kuat dan licinnya binaan tembok itu, kaum Ya’juj dan Ma’juj tidak dapat nak panjat. Sudahlah tinggi, licin pula.

 

وَمَا اسْتَطَاعُوا لَهُ نَقْبًا

dan tidak dapat mereka menebuknya; 

Mereka tidak dapat nak tebuk kerana ianya telah dilepa dengan tembaga yang kuat. Dalam hadis Nabi, dari masa dibina dinding itu sampai sekarang, Ya’juj Ma’juj asyik cuba menebuk dinding itu. Mereka rajin benar dalam kerja mereka itu. Apabila petang, mereka tinggalkan apa yang mereka telah buat itu untuk disambung esok kerana sudah lewat dan mereka pun penat. Malamnya malaikat tutup balik pecahan yang mereka buat itu. Esoknya mereka sambung balik. Semasa zaman Nabi, mereka dah nampak bukaan sebesar duit syiling. Tapi akhirnya telah ditutup balik.

Ini akan berlaku sehinggalah akhir zaman, apabila dinding itu ditakdirkan akan pecah. Iaitu apabila ada antara kaum Ya’juj dan Ma’juj itu yang kata: “In sha Allah, esok akan pecah dinding ini”. Maka, disebabkan oleh kalimat ‘in sha Allah’ mereka itu, Allah akan bantu mereka untuk melubangi dinding tembok itu.

Maka mereka akan keluar berduyun-duyun dari gunung-gunung dengan banyak sekali dan cepat sekali. Ianya akan terjadi pada zaman sesudah Nabi Isa diturunkan semula. Mereka akan bunuh dan makan manusia selain dari tanaman-tanaman. Dan manusia tidak boleh berurusan dengan mereka. Tak boleh nak runding dengan mereka untuk berdamai.

Imam Ahmad ada meriwayatkan dari isteri Nabi: Nabi pernah bangun tidur dengan muka merah seraya bersabda: “Tidak ada ilah selain Allah. Celaka bagi bangsa Arab kerana sungguh telah dekat suatu keburukan. Pada hari ini telah terbuka sedikit dinding penyumbat Ya’juj dan Ma’juj, sebesar ini” – dan baginda membuat lingkaran – Kemudian kutanya: “Ya Rasulullah, apakah kita akan dibinasakan sedang di tengah-tengah kami ada orang yang soleh?” Baginda menjawab: “Ya, jika semakin banyak kejahatan dan keburukan.”

 

Balaghah: Hazf wa zikru: jenis الإختزال (al-ikhtizal).

Ini terjadi dimana ada hazaf huruf dalam lafaz ayat Qur’an. Ini seumpama penggunaan shorthand. Ada hazaf dari fi’il. Dibuang huruf untuk menunjukkan peristiwa itu lebih kecil atau kurang dari segi kuantiti; atau masa kejadian itu lebih pendek.

Sebagai contoh, kalaulah penggunaan al-ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu, kalau digunakan kalimah ‘makan’, itu bermaksud makan yang biasa. Tetapi, kalau buang huruf ‘n’ dan perkataan makan itu jadi ‘maka’, maksudnya makan yang sekejap sahaja tidak seperti biasa, atau makan sikit sangat tidak seperti biasa. Tapi tidaklah penggunaan ikhtizal ini ada dalam bahasa Melayu. Bahasa kita tidak sekaya bahasa Arab.

Ada dua kalimah dalam ayat ini yang lebih kurang sama tapi ada kelainan sikit. Mulanya kalimah اسْطَاعُوا dan kemudian اسْتَطَاعُوا. Wazannya sama, dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu pun sama juga (membawa maksud ‘mampu’). Tapi kenapa lain dalam teks Arabnya?

Satu اسْطَاعُوا digunakan untuk aktiviti ‘memanjat’ tembok itu dan satu lagi اسْتَطَاعُوا digunakan untuk ‘menebok’ tembok itu. Dari segi bahasa, sepatutnya lafaz اسْتَطَاعُوا adalah dalam wazan yang lengkap. Tapi ada hazaf huruf ت dalam lafaz اسْطَاعُوا yang menunjukkan elemen pengurangan.

Oleh kerana kurangnya dalam lafaz اسْطَاعُوا dalam menyebut tentang memanjat, bermaksud lebih senang memanjat dari menebuk dinding itu. Ini adalah kerana dinding itu amat keras dan kalau dibandingkan menebuk dengan memanjat, lebih senang memanjat. Memang kedua-duanya memang susah, tapi lebih susah lagi kalau menebuk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Januari 2018


Rujukan: 

Maulana Hadi

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Nouman Ali Khan

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s