Tafsir Surah Baqarah Ayat 113 – 115 (Adakah kita sembah batu?)

Ayat 113: Ayat ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ (syikayah) tentang sifat manusia. Iaitu jenis manusia yang rasa dia sahaja yang betul dan orang lain salah. Itulah puak yang ada kebenaran pada mereka, tetapi mereka simpan sendiri dan kemudian rasa hebat. Oleh itu, kita jangan jadi macam mereka.

Maka kalau kita sudah ada ilmu Al-Qur’an, maka kena sebarkan kepada orang lain kerana kita memang kena suka kalau Al-Qur’an disebarkan. Allah ‎ﷻ memang suruh kita sampaikan ajarannya kepada orang lain. Sebab itu kalau orang yang belajar tafsir Al-Qur’an dengan betul, dia tidak duduk diam dan dia pasti akan sebarkan.

Berlainan dengan fahaman agama yang lain. Agama lain suka kalau dipakai oleh satu kumpulan sahaja. Mereka tidak suka kongsi dengan orang lain. Umpamanya ada satu kelompok yang ada satu sistem perniagaan yang bagus. Dia tidak akan berkongsi dengan orang lain sebab nanti ada saingan. Tetapi ini adalah salah kerana agama bukan seperti perniagaan.

وَقالَتِ اليَهودُ لَيسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلىٰ شَيءٍ وَقالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ لَيسَتِ اليَهودُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُم يَتلونَ ٱلۡكِتَـٰبَ‌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ مِثلَ قَولِهِم ۚ فَاللَّهُ يَحكُمُ بَينَهُم يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ فيما كانوا فيهِ يَختَلِفونَ

Sahih International

The Jews say “The Christians have nothing [true] to stand on,” and the Christians say, “The Jews have nothing to stand on,” although they [both] recite the Scripture. Thus the polytheists speak the same as their words. But Allah will judge between them on the Day of Resurrection concerning that over which they used to differ.

Malay

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.

 

وَقَالَتِ الْيَهُودُ

Dan berkata orang-orang Yahudi:

Allah ‎ﷻ sekarang hendak membongkar lagi apakah yang berada di dalam hati golongan Yahudi itu.

 

لَيْسَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang-orang Nasara itu ada asas apa-apa;

Orang Yahudi hendak mengatakan bahawa orang Nasara tidak berada di atas jalan yang benar. Mereka mengatakan yang orang Nasara itu adalah golongan sesat.

 

وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَىٰ

Dan berkata orang-orang Nasara:

Sekarang Allah ‎ﷻ bongkar pula kata-kata Nasara. Mereka pun berkata perkara yang sama juga. 

 

لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَىٰ شَيْءٍ

Tidaklah orang Yahudi itu ada asas apa-apa dalam agama;

Dari sini, kita boleh lihat bagaimana masing-masing mengata puak yang lain tidak betul. Masing-masing sibuk dengan orang lain. Sibuk hendak mengatakan orang lain yang salah dan sesat. Sibuk hendak mencari kesalahan orang lain. Sibuk hendak menyesatkan orang lain.

Padahal, kalau kita lihat ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memperkatakan tentang Muhsin: mereka yang hanya memikirkan tentang diri sendiri. Mereka sibuk dengan usaha membaiki diri sendiri untuk memastikan apa yang mereka buat adalah benar. Bukan hendak sibuk dengan orang lain.

Maka kerja kita bukannya hendak sesatkan orang, cari salah orang, katakan diri lebih dari orang. Ini adalah sifat Kibr yang rasa diri lebih dari orang lain. Ia adalah salah satu dari Talbis Iblis. Iblis memang suka kalau kita membanggakan diri dan tengok kelebihan diri sendiri, dan rasa lebih hebat dari orang lain.

Begitulah manusia kalau mereka rasa diri mereka yang betul, mereka akan mencari kesalahan orang lain. Ayat ini menempelak orang Yahudi dan Nasrani, tetapi kalau kita pun macam mereka juga – mencari-cari kesalahan orang lain, maka kita pun sama sahaja seperti mereka. Maka ayat ini ditujukan kepada kita juga sebenarnya.

Maka, seperti yang kita telah tahu, agama Nasara dan Yahudi itu adalah agama yang sudah tidak tulen lagi. Maka penganutnya akan berusaha supaya golongan nampak mereka sahaja yang baik dan golongan lain tidak. Ini kerana ia adalah agama yang telah diubahsuai dan sudah tidak mengikut acuan agama yang telah Allah ‎ﷻ berikan.

Ini kerana kalau agama yang benar, mereka akan sebarkan agama itu. Tetapi kerana agama itu sudah tidak tulen lagi, akhirnya mereka jadi berpuak-puak dan ada sifat asabiyah. Sama-sama Yahudi dan Nasara kutuk sesama sendiri, rasa diri sendiri yang hebat dan benar. Kalau sifat berpuak memang macam itu kerana setiap puak akan kata puaknya yang paling baik. Lalu akan ada kata mengata.

Masing-masing tuduh pihak yang lain tidak ada asas. Padahal dua-dua puak sepatutnya mengaji kitab wahyu yang ada pada mereka. Sepatutnya mereka ajak mengajak ke arah kebaikan, tetapi sebaliknya mereka kata mengata sahaja. Jadi ini bukan sifat agama Islam. Kalau orang kita buat begini, bermakna orang kita juga sudah meniru sifat buruk dua golongan yang telah sesat itu.

Bandingkan dengan para sahabat. Apabila mereka dapat sahaja Al-Qur’an, mereka kongsi dengan orang lain termasuk Yahudi sekali. Mereka tidak simpan untuk diri mereka sahaja. Sebaliknya mereka menjalankan kerja dakwah besar-besaran. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan. Bukankah kita memang kena ikut sunnah para sahabat?

 

وَهُمْ يَتْلُونَ ٱلكِتَـٰبَ‌

Padahal mereka masing-masing baca kitab;

Padahal mereka masing-masing ada Kitab Taurat, ada Kitab Injil. Untuk kita pula, kita ada Al-Qur’an. Sepatutnya sudah ada ilmu dan panduan, namun malangnya masih lagi keliru. Begitulah kalau ilmu wahyu tidak dipelajari.

Yahudi kafir kerana menolak Nabi Isa عليه السلام dan tolak kitab Injil. Nasara pula kafir sebab mengangkat Nabi Isa عليه السلام sebagai anak tuhan. Dua golongan ini yang ada kitab dan tidak sepatutnya mereka jadi begitu.

Mereka mencari-cari dalam kitab mereka untuk mencari salah orang lain. Yahudi mencari salah orang Nasrani dan orang Nasrani pula mencari salah Yahudi. Macam kita juga, ada yang mencari-cari dalam Al-Qur’an mencari dalil untuk menyalahkan orang lain. Minta ayat Al-Qur’an dengan ustaz kerana hendak berdebat dengan golongan lain.

Akhirnya kerja  mereka mencari silap orang lain dan rasa diri sudah selamat. Semua orang salah pada mata mereka. Maka, kalau kita begitu juga, kita pun sama macam mereka juga.

 

كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Begitulah yang telah berkata orang-orang yang tidak tahu;

Terdapat tiga jenis golongan yang disebut dalam ayat ini: Yahudi, Nasrani dan orang yang tidak tahu. Tidak dijelaskan siapakah golongan yang ‘tidak tahu’ itu. Tetapi pendapat yang kuat mengatakan mereka itu adalah orang-orang yang buta huruf, iaitu Musyrikin Mekah.

Ini adalah kerana mereka tidak ada kitab, jadi mereka ‘tidak tahu’ ilmu wahyu. Mereka hanya ada ajaran turun temurun daripada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, namun lama-kelamaan telah hilang daripada mereka kerana mereka banyak membuat amalan bidaah. Mereka reka amalan-amalan baru atau mengubah ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, sama sahaja dengan orang kafir Mekah yang tidak ada kitab. Mereka pun sangka mereka benar. Mereka kata mereka lebih baik daripada Yahudi dan Nasara itu. Mereka kata yang betulnya adalah Parsi sebab Parsi puja jin sebab itu adalah golongan yang mereka sokong.

Allah ‎ﷻ menyamakan orang yang mencari-cari salah orang lain sebagai orang yang bodoh. Jadi kalau kita mencari-cari dalil dalam Al-Qur’an untuk mencari kesilapan orang lain, maka kita pun dikira orang bodoh juga.

 

مِثْلَ قَوْلِهِمْ

seperti kata-kata mereka;

Mereka pula berkata puak-puak Yahudi dan Nasara pun tidak betul. Mereka kata, mereka yang betul. Sekarang, Syiah pun kata begitu juga. Syiah pun kata mereka yang betul, padahal mereka tidak sedar bahawa ajaran mereka itu adalah ajaran yang sesat. Jadi biasa sahaja golongan yang mengaku mereka sahaja yang benar dan orang lain salah. Perkara ini berlaku turun temurun.

 

فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ

Maka Allahlah yang akan buat penghakiman diantara mereka pada hari Kiamat;

Allah ‎ﷻ akan menghakimi, iaitu Allah ‎ﷻ akan beritahu siapakah yang betul di antara mereka itu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Dialah Hakim yang sebenarnya, bukan kita. Bukan tugas kita untuk mengatakan siapakah yang benar dan siapakah yang salah.

Allah ‎ﷻ sahajalah yang boleh menentukan siapa yang benar. Jadi tidak perlu kita hendak kata orang itu salah, orang itu benar. Jangan mencari-cari dalam Al-Qur’an tentang siapakah yang salah. Jangan sengaja mencari kesalahan orang kerana hendak merendahkan orang lain. Yang kita hendak adalah mencari kebenaran.

Tetapi masalahnya, Allah ‎ﷻ hanya akan beritahu siapa yang benar itu di akhirat nanti. Sudah terlambat untuk berbuat apa-apa lagi pada waktu itu. Waktu itu adalah keputusan ‘amali’ di mana selepas diberitahu siapa yang salah dan benar, yang benar akan masuk syurga dan yang salah akan masuk neraka. Kalau kita baru tahu waktu itu yang kita adalah pihak yang salah, bagaimana? 

 

فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

terhadap apa yang mereka selisihkan;

Orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang masuk syurga. Iaitu mereka yang mengikut ajaran Al-Qur’an dan sunnah Nabi ﷺ dan mengikut perbuatan para sahabat Nabi ﷺ. Ramai yang tidak tahu maksud Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) itu sendiri.

Ahli Sunnah: mereka yang mengikut sunnah perbuatan Nabi ﷺ. Kalau bukan yang sunnah, bukan yang Nabi  ﷺ ajar, mereka tidak buat.

Wal Jamaah: Jamaah itu bermaksud kumpulan. Tetapi kumpulan siapakah yang dimaksudkan? Ia adalah jamaah atau kumpulan sahabat-sahabat Nabi ﷺ. Merekalah yang telah dididik sendiri oleh Nabi ﷺ. Merekalah yang tahu bagaimana perbuatan Nabi ﷺ. Maka mereka lebih tahu tentang agama berbanding kita.

Jadi, kita kena tengok apakah perbuatan mereka. Adakah mereka melakukan sesuatu amalan itu? Adakah para sahabat mengadakan Majlis Tahlil? Adakah mereka mengadakan Talqin kepada arwah? Adakah mereka berzikir ramai-ramai? Adakah mereka melakukan salat Hajat berjemaah?

Adakah mereka mengajar untuk sedekah pahala kepada si mati? Kalau tidak ada, maka itu bukanlah amalan yang sunnah. Jadi kenapa senang hendak mengatakan diri itu dalam ASWJ jikalau tidak memenuhi kriteria ASWJ? Kalau mereka bukan ahli ASWJ, maka mereka ahli kumpulan yang mana?

Maka sesiapa yang kata mereka Ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi masih berbuat bidaah, mereka sebenarnya berdusta, kerana mereka bukan ASWJ. Mereka sebenarnya dipanggil Ahli-ahli Bidaah.


 

Ayat 114: Ini adalah rungutan Allah ‎ﷻ yang ketiga. Ini adalah tentang mereka yang menghalang golongan Islam untuk menggunakan tempat ibadat untuk agama. Mereka yang dimaksudkan itu mungkin Yahudi ataupun Musyrikin Mekah sebab kedua-duanya boleh dipakai dalam konteks ayat ini.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Sahih International

And who are more unjust than those who prevent the name of Allah from being mentioned in His mosques and strive toward their destruction. It is not for them to enter them except in fear. For them in this world is disgrace, and they will have in the Hereafter a great punishment.

Malay

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

 

وَمَنْ أَظْلَمُ

Dan siapakah yang lebih zalim,

Apabila Allah ‎ﷻ sebut: “Siapakah yang lebih zalim?”, bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada golongan yang akan disebutkan ini.

 

مِمَّنْ مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ

daripada orang yang melarang masjid-masjid Allah;

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menghalang orang-orang Islam untuk menggunakan Masjidil Haram. Mereka telah melarang orang Islam daripada datang dan mengerjakan Umrah dan Haji. Mereka melarang para sahabat رضي الله عنهم daripada mendirikan salat di Kaabah.

Tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘masjid-masjid’ (plural), menunjukkan ia bukan hanya digunakan untuk Masjidil Haram sahaja tetapi untuk masjid-masjid lain juga. Jadi, jikalau ada yang melarang masjid digunakan sebagai tempat yang sepatutnya ia digunakan, mereka juga adalah orang yang zalim.

Ia juga boleh digunakan untuk menyebut tentang rumah-rumah ibadat ahli Kitab juga kerana tempat ibadat mereka juga sepatutnya dinamakan masjid juga – tempat sujud – kerana mereka juga sepatutnya ada ibadat sujud juga. Cuma mereka sahaja yang meninggalkannya. Jangan lupa, kita masih lagi dalam bahagian dalam Surah Baqarah yang menyentuh juga perbuatan ahli-ahli Kitab terutama sekali Bani Israil. Jadi ayat ini ada juga bersangkutan dengan mereka.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ (masjid-masjid) di dalam ayat ini. Padahal masjid bukanlah sesuatu yang bernyawa. Ini bermaksud, masjid-masjid itu dihalang daripada menjalankan apa yang sepatutnya dijalankan – iaitu mengingatkan manusia kembali kepada Allah ‎ﷻ.

Memang masjid-masjid kita sekarang ini ada yang memang menghalang guru-guru agama yang membawa ajaran sunnah daripada mengajar. Alasan mereka adalah ditakuti masyarakat akan berpecah belah setelah guru-guru agama sunnah itu mengajar. Padahal, apa yang hendak diajar oleh guru-guru itu adalah kebenaran.

Kejadian zaman dahulu telah berulang kembali dalam masyarakat kita. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Musyrikin Mekah dilakukan oleh AJK-AJK masjid juga rupanya. Ilmu agama yang sebenarnya dihalang dari diajar kepada masyarakat. Sampaikan kebanyakan masyarakat terus duduk dalam kejahilan dan terus mengamalkan ajaran tok nenek yang salah.

 

أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ

untuk disebut nama Allah sahaja?;

Menyebut Nama Allah ‎ﷻ bermaksud menyebut tentang tauhid. Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang manusia daripada memasuki masjid untuk menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja? Iaitu mengesakan nama Allah ‎ﷻ. Iaitu mengajar tauhid. Kenapa dilarang ajaran tauhid yang sebenar diajar kepada masyarakat?

Oleh kerana ajaran tauhid telah jauh daripada masyarakat sekarang, maka apabila ada guru yang mengajar tentang tauhid – hanya menyembah Allah ‎ﷻ sahaja; hanya berzikir menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja – bukan nama ilah-ilah yang lain, masyarakat melihat guru itu mengajar perkara yang asing. Maka akan ada orang yang tidak suka kerana teguran guru itu akan terkena kepada mereka yang mengamalkan ajaran yang sesat – yang bukan tauhid.

Jadi mereka akan berusaha supaya guru itu tidak mengajar lagi di situ. Ini memang ada terjadi. Sudah berapa ramai guru agama yang tidak lagi dibenarkan mengajar di masjid-masjid kerana mereka mengajar tentang tauhid? Kalau mengajar feqah seperti solat dan wudhu’, tidak ada masalah; tetapi kalau ajar ajaran tauhid kepada masyarakat awam, tentu akan ada masalah.

Ada mufassir yang menafsir ayat ini sebagai mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyebut nama Allah ‎ﷻ adalah: membaca Al-Qur’an. Ini pun ada kebenarannya juga kerana pernah ada kejadian yang menghalang  kelas tafsir daripada diajar kepada masyarakat dengan alasan bahawa pengajaran tafsir Al-Qur’an akan menyebabkan manusia berpecah belah.

Kita tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan tafsir Al-Qur’an boleh memecah belahkan masyarakat. Mereka yang mengatakan seperti itu kena menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti oleh kerana halangan mereka itu. Mereka itu memang jelas termasuk dalam mereka yang dikatakan dalam ayat ini.

Ada mufassir yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Bani Israil telah dilarang daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ. Syaitan telah berjaya menghasut ahli agama mereka untuk melarang pengikut-pengikut mereka daripada menyebut nama Allah ‎ﷻ. Syaitan mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah terlalu suci untuk disebut secara terang. Maka pengikut-pengikut agama mereka tidak dibenarkan menyebutnya langsung.

Sampai sekarang, mereka sampai tidak tahu dengan tepat apakah nama Tuhan mereka sendiri. Sampaikan mereka terpaksa meminjam nama tuhan penduduk setempat. Begitulah yang terjadi apabila mereka di Malaysia. Telah kecoh beberapa tahun dahulu bagaimana mereka memohon untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai nama Tuhan mereka.

Ini amat memalukan. Padahal kita boleh tanya mereka: “Kenapa nak pakai nama Tuhan kami? Kenapa kamu tak pakai nama tuhan kamu sendiri?” Sebenarnya, mereka sendiri sudah tidak tahu nama Tuhan mereka. Mereka tidak tahu hendak sebut bagaimana nama Tuhan mereka. Ini kerana telah lama dahulu, mereka telah dihasut oleh Syaitan untuk tidak menyebut nama Tuhan. Maka, sampai sekarang, mereka sendiri tidak tahu nama Tuhan mereka.

Negara kita kecoh suatu waktu dahulu tentang hal ini. Ada golongan Kristian meminta supaya diberikan kebenaran untuk menggunakan nama Allah ‎ﷻ. Ini sebenarnya memalukan mereka dan membuka kelemahan agama mereka. Kita sepatutnya tanya mereka balik: “Kau tak tahu nama Tuhan kamu sendiri? Agama apakah kamu anut ini, nama Tuhan pun tidak tahu? Kucing di rumah kami pun ada nama, tapi nama Tuhan kamu, kamu tak tahu?” Semoga dengan berkata begitu menyebabkan mereka tersedar sendiri betapa agama mereka itu agama yang tidak benar.

Jadi ada banyak pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Sebenarnya, semua pendapat ini boleh dipakai. Kehebatan Al-Qur’an adalah ia boleh digunakan dalam banyak keadaan.

 

وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا

Dan dia berusaha untuk merobohkan masjid itu?

Mereka berusaha untuk merosakkan amalan-amalan dalam masjid Allah ‎ﷻ. Mereka adalah orang yang berkuasa dalam mentadbir masjid. Jadi mereka mengawal aktiviti masjid. Mereka tidak membenarkan masjid digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya dan mereka telah merosakkan aktiviti-aktiviti di dalam masjid.

Ini juga kutukan kepada golongan Yahudi yang hendak merobohkan Baitul Maqdis.

Sekarang masjid pula digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Sampaikan pernah berlaku di Putrajaya, ahli masjid membenarkan majlis persandingan besar-besaran yang syirik itu dilakukan di dalam masjid! Kalau bersanding di luar pun sudah ada masalah tetapi dibenarkan masuk dalam masjid! Memang sudah teruk akidah masyarakat kita. Begitulah kalau guru yang mengajar tauhid disisihkan dari masyarakat.

 

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang bersifat seperti ini,

Mereka yang bersifat seperti yang telah disebut sebelum ini.

 

مَا كَانَ لَهُمْ أَنْ يَدْخُلُوهَا

tidaklah ada bagi mereka itu berpeluang untuk masuk ke dalam masjid

Mereka itu tidak sepatutnya dibenarkan masuk Masjidil Haram; mereka itu tidak sepatutnya senang hati sahaja masuk ke dalam masjid Allah ‎ﷻ dan melakukan perkara yang jauh daripada amalan agama Islam yang benar.

 

إِلَّا خَائِفِينَ

melainkan dalam keadaan takut sahaja;

Orang-orang yang menghalang itu sepatutnya tidak layak untuk memasuki masjid Allah ‎ﷻ. Mereka sepatutnya tidak layak memasuki masjid-masjid Allah ‎ﷻ melainkan dengan rasa takut kepada azab Allah ‎ﷻ. Ayat ini akan dihuraikan dengan panjang lebar lagi dalam Surah Taubah.

Semasa Musyrikin Mekah mengawal Kaabah dan Masjidil Haram, mereka tidak membenarkan orang-orang Islam untuk datang beribadat. Allah ‎ﷻ hendak kata di dalam ayat ini bahawa akan datang di masa hadapan nanti, mereka pula yang akan datang ke Masjidil Haram dalam ketakutan.

Ayat ini turun sebelum Pembukaan Mekah. Mereka menakutkan orang Islam untuk datang. Tetapi Allah ‎ﷻ menjanjikan di dalam ayat ini bahawa nanti keadaan akan jadi terbalik. Ini adalah salah satu ayat yang menyatakan tentang kemenangan yang akan diperolehi oleh orang Islam nanti.

Yang menarik juga adalah penggunaan kata خَائِفِينَ dalam ayat ini. Ada mufassir yang membandingkan rumah-rumah ibadat ahli Kitab sekarang. Rumah-rumah ibadat mereka kalau kita lihat sekarang adalah dalam suasana yang mengerikan. Ada patung binatang, patung makhluk yang bukan manusia atau binatang, tidak pasti apakah ia. Bukankah keadaan itu menakutkan? Padahal sepatutnya rumah ibadat kenalah dalam keadaan yang menenangkan, bukan menakutkan.

 

لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ

Bagi mereka di dunia ini satu kehinaan

Allah ‎ﷻ boleh berikan hukuman azab kepada mereka semasa di dunia lagi iaitu mereka mendapat kehinaan. Begitulah yang terjadi kepada para penentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah dihinakan dengan diberi kekalahan demi kekalahan di tangan umat Islam.

 

وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

dan bagi mereka di akhirat kelak azab yang amat besar;

Mereka bukan sahaja mendapat balasan di dunia tetapi di akhirat nanti mereka akan mendapat balasan yang lebih teruk lagi. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diberikan dengan azab yang menghinakan.


 

Ayat 115: Ini adalah kesinambungan daripada ayat sebelum ini. Sememangnya tempat yang paling sesuai untuk agama adalah masjid. Tetapi kalau masjid yang sesuai tidak boleh dimasuki, Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang boleh gunakan mana-mana tempat untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Boleh duduk di mana sahaja untuk beramal dan mengajar agama.

وَلِلَّهِ المَشرِقُ وَالمَغرِبُ ۚ فَأَينَما تُوَلّوا فَثَمَّ وَجهُ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ واسِعٌ عَليمٌ

Sahih International

And to Allah belongs the east and the west. So wherever you [might] turn, there is the Face of Allah. Indeed, Allah is all-Encompassing and Knowing.

Malay

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.

 

وَلِلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ

Hanya milik Allahlah timur dan barat;

Maknanya, milik Allah ‎ﷻlah semua sekali alam ini. Bukan hanya timur dan barat sahaja. Ada elemen takhsis (ekslusif) dalam ayat ini apabila ditakdimkan kalimah ولله itu. Maknanya, timur dan barat hanya milik Allah ﷻ sahaja.

Umat Islam yang ditindas di Mekah, mereka telah pergi meninggalkan Mekah dan Kaabah dan berhijrah ke Madinah. Tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu bahawa kepunyaan-Nya seluruh alam ini. Maka walaupun mereka telah meninggalkan Rumah Allah ‎ﷻ (Kaabah) yang mereka cintai, mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan seluruh alam.

Mereka masih lagi kena menyembah Allah ‎ﷻ dan mendirikan masjid di tempat-tempat lain juga. Allah ‎ﷻ bukannya berada di Mekah/Kaabah itu. Jadi boleh sahaja menyembah Allah ‎ﷻ di tempat lain, di mana-mana sahaja.

 

فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ

Maka di mana sahaja kamu hadap, di situlah wajah Allah;

Ada keadaan, kita tidak dapat hendak menentukan arah kiblat dengan tepat. Contohnya, kita pergi ke satu tempat yang gelap, tidak tahu di mana arah kiblat, maka kita pilih sahaja satu arah untuk dihadapi dalam salat, kerana di mana sahaja kita hadap, kita sebenarnya menghadap Allah ‎ﷻ. Asalkan kita telah berusaha untuk mencari arah kiblat.

Kerana itulah ada di dalam hadith disebut yang Nabi Muhammad ﷺ mengerjakan salat sunat di atas kenderaan sahaja (unta). Hanya apabila waktu Salat Fardhu barulah baginda berhenti dan salat di atas tanah (dan mengadap arah Kaabah).

Kalimah وَجْهُ اللَّهِ bermaksud ‘wajah Allah ‎ﷻ’ – boleh juga ditafsirkan ‘keredhaan Allah ‎ﷻ’. Kita mencari keredhaan Allah ‎ﷻ di mana sahaja kita berada. Arah mana kita menghadap tidak penting. Yang penting adalah niat kita.

Ada hujah dari golongan Hindu terutamanya yang mengatakan kita umat Islam pun menyembah batu (Hajarul Aswad). Mereka kata kita menyembah berhala juga macam mereka, jadi tidak perlulah hendak kutuk mereka. Kita kena sedar bahawa kita tidak menyembah Hajarul Aswad itu. Pernah Hajarul Aswad dicuri selama beberapa tahun, namun umat Islam tetap salat menghadap arah Kaabah juga.

Ini adalah kerana bukan Kaabah itu yang utama dalam salat. Kalaulah Kaabah itu dibom dan sudah tidak ada, kita masih mengadap arah itu juga. Ini adalah kerana untuk salat, mesti ada satu arah dan Allah ‎ﷻ telah tentukan yang arah yang dihadap adalah Kaabah. Kalau tidak ada satu arah, bagaimana hendak salat berjemaah? Tentu ada yang menghadap ke kiri dan ada yang menghadap ke kanan pula.

Ini adalah ayat permulaan kepada penukaran arah kiblat, kerana selepas ini akan ada ayat tentang penukaran arah kiblat ke Kaabah dari Baitul Maqdis. Waktu ayat ini diturunkan, umat Islam salat mengadap ke Baitul Maqdis. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah mula berikan isyarat yang arah itu tidak penting sangat.

 

إِنَّ اللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bahawasanya Allah taala itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui.

Amat luas pemilikan Allah ‎ﷻ. Ilmu Allah ‎ﷻ amat luas. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang berlaku.

Allah ‎ﷻ juga maha mengetahui luar dan dalam. Allah ‎ﷻ mengetahui apa niat dalam hati kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

 

Kemaskini: 2 Disember 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 113 – 115 (Adakah kita sembah batu?)”

  1. Assalam nak tahu siapa penulis celiktafsir ini? So far baru baca beberapa ayat2 …. saya rasa cara tulisan yang mudh difahami dan ada kaitkan dgn isu isu terkini , sangat memberi kesan bila dibaca . Tahniah, Pn Ainie

    Like

Leave a Reply to CelikTafsir Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s