Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 105 (Berhati-hati dengan kalimah)

Ayat 103:

وَلَو أَنَّهُم ءَامَنُواْ وَاتَّقَوا لَمَثوبَةٌ مِّن عِندِ اللَّهِ خَيرٌ ۖ لَّو كانوا يَعلَمونَ

Sahih International

And if they had believed and feared Allah , then the reward from Allah would have been [far] better, if they only knew.

Malay

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.

وَلَوْ أَنَّهُمْ ءَامَنُواْ

Dan kalaulah mereka beriman sungguh-sungguh;

Iaitu beriman dengan sempurna, tidak ada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Kena faham apakah maksud ‘beriman yang sempurna’ ini. Ini kerana ada manusia yang beriman, tetapi tidak beriman dengan sempurna.

Maksudnya, mereka mungkin percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada selain Allah ‎ﷻ juga – ini adalah syirik. 

 

وَاتَّقَوْا

dan bertaqwa;

Taqwa itu dicapai dengan menjaga hukum dan tidak belajar sihir. Ini dengan menjaga segala perbuatan kita supaya tidak bertentangan dengan arahan Allah ‎ﷻ dalam segenap sudut kehidupan kita.

 

لَمَثُوبَةٌ مِّنْ عِنْدِ اللَّهِ خَيْرٌ

Pasti pahala di sisi Allah itu lebih baik

Bagi mereka yang beriman sempurna dan taqwa, Allah ‎ﷻ janjikan pahala bagi mereka. Ini lebih baik dari mendapat apa-apa kelebihan dengan mengerjakan sihir yang diharamkan itu.

 

لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Kalaulah mereka itu mengetahui.

Kalaulah manusia tahu yang sesiapa yang belajar sihir, maka dia akan masuk neraka. Sesiapa yang suruh kenakan sihir kepada orang lain, yang beri upah dan sesiapa yang terlibat dengan sihir itu, juga akan masuk neraka. Kalau tolong beritahu sahaja di mana ada tok bomoh pun sudah boleh masuk neraka.

Katakanlah ada yang bertanya kepada kita: “Mana rumah bomoh sekian sekian di kampung ini?”, dan kalau kita tunjuk sahaja di manakah rumah bomoh itu, maka kita pun sudah dikira terlibat juga. Maka, janganlah kita terlibat sedikit pun dengan amalan sihir ini.

Harut dan Marut juga telah memberitahu kepada mereka yang datang belajar dengan mereka, bahawa akan datang nanti manusia yang bawa sesuatu yang kelihatan seperti sihir tetapi ia bukan sihir. Perbuatan itu adalah mukjizat yang dapat mengalahkan sihir.

Mukjizat pasti akan dapat mengalahkan sihir. Harut dan Marut memberitahu mereka bahawa sesiapa yang bawa perkara sebegitu, maka orang itu adalah seorang Nabi. Apabila bertemu dengan orang seperti itu, maka mereka kena ikut.

Kerana itulah, apabila ahli-ahli sihir Firaun berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام dan apabila mereka melihat mukjizat Nabi Musa عليه السلام itu, mereka terus tunduk sujud dan mengaku bahawa Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi dan mereka beriman dengannya dan dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana mereka telah diberitahu dari dahulu lagi, bahawa apabila datang orang yang dapat mengalahkan sihir mereka, itu tentulah seorang Nabi.

Jadi, dari sini kita telah tahu bahawa sihir boleh dikalahkan dengan mukjizat. Tetapi, kerana zaman sekarang Nabi telah tiada, maka mukjizat yang boleh dilihat dengan mata pun sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah Al-Qur’an. Dan seperti yang kita patut tahu, Al-Qur’an itu adalah mukjizat yang paling agung. Maka, kita kena guna mukjizat Al-Qur’an untuk mengalahkan sihir.

Apakah itu mukjizat? Sebagai contoh, kita selalu dengar tentang kisah tongkat Nabi Musa عليه السلام. Tongkat Nabi Musa عليه السلام itu telah menjadi seekor ular dan memakan ular-ular jelmaan ahli sihir yang lain. Musa عليه السلام melempar tongkat itu setelah diarahkan oleh Allah ‎ﷻ. Apabila Musa عليه السلام sendiri melempar, ia tidak akan menjadi ular. Namun apabila diperintah oleh Allah‎ﷻ , barulah tongkat itu menjadi ular.

Begitu jugalah, apabila Musa عليه السلام memukul laut, laut terbelah dengan izin Allah ‎ﷻ, dan apabila Musa عليه السلام memukul batu, keluar air dari batu itu sebagai minuman untuk kaumnya. Semua kejadian itu dimulai dengan suruhan Allah ‎ﷻ. Kalau Nabi Musa عليه السلام suka-suka buat sendiri, tidak akan menjadi mukjizat itu.

Semasa Nabi Muhammad ﷺ bersama sahabat-sahabat dalam musafir, pernah mereka kehabisan air. Maka, pernah Nabi ﷺ memasukkan tangannya ke dalam bekas dan keluar air dari jari-jari baginda untuk diminum oleh sahabat-sahabat. Tetapi, kita tidak pula dengar dalam hadith yang lain bahawa sahabat-sahabat akan meminta kepada Nabi ﷺ untuk mengeluarkan air apabila mereka memerlukan air.

Para sahabat tidak meminta kerana mereka tahu bahawa kejadian itu bukan dari kehendak Nabi ﷺ tetapi dari kehendak Allah ‎ﷻ. Mereka tahu yang mereka tidak patut minta kepada Nabi ﷺ perkara sebegitu. Yang dalam sirah Nabi ﷺ yang menceritakan berbagai-bagai perkara manusia meminta Nabi ﷺ tunjuk, itu adalah dari mereka yang tidak percaya kepada Nabi ﷺ sahaja.

Maknanya, mukjizat adalah atas anugerah Allah ‎ﷻ. Bukan atas kehendak Nabi. Seorang Nabi tidak boleh membuat mukjizat dengan keinginannya sendiri. Mereka juga tidak boleh mengulang-ulang mukjizat itu. Mukjizat itu selalunya akan berlaku sekali sahaja.

Perkara yang hampir sama dengan mukjizat adalah ‘karamah’ yang diberikan kepada wali-wali. Maka, janganlah percaya jikalau ada cerita bagaimana seorang wali boleh melakukan karamah setiap kali mereka mahu. Karamah akan berlaku kepada para wali Allah ‎ﷻ. Sebagai contoh, pernah Saidina Umar رضي الله عنه nampak tentera beliau yang berada beribu batu dari tempatnya dan beliau telah memberi nasihat kepada mereka untuk naik ke bukit.

Itu adalah adalah contoh karamah yang kita sudah biasa dengar. Ini adalah anugerah dari Allah ‎ﷻ. Tetapi masyarakat kita memang keliru tentang wali ini. Mereka sangka, wali adalah seorang yang kerja mereka berzikir sahaja. Berzikir sampai tidak bercampur orang lain. Itu bukan wali.

Ingatlah yang kita tidak boleh kenal siapakah wali itu kerana ia adalah rahsia dari Allah ‎ﷻ. Kita juga boleh jadi wali jikalau kita mengamalkan apa yang Allah ‎ﷻ suruh dan meninggalkan apa yang Allah ‎ﷻ larang.

Seperti juga dengan mukjizat, wali-wali tidak boleh mengeluarkan ‘karamah’ dengan kehendak mereka sendiri. Karamah juga tidak boleh berulang-ulang. Tidaklah Saidina Umar رضي الله عنه boleh melihat tenteranya setiap kali. Yang boleh berulang-ulang itu adalah sihir.

Sihir boleh dilakukan tiap-tiap hari kerana Allah ‎ﷻ izinkan sihir itu berlaku. Walaupun Allah ‎ﷻ tidak redha, tetapi Allah ‎ﷻ benarkan kerana ada orang yang hendak buat benda salah. Nanti Dia akan masukkan mereka yang mengamalkan sihir itu ke dalam neraka nanti.

Sihir itu adalah apa sahaja yang dibaca dengan menggunakan ‘tawasul’ – perantaraan, dengan niat untuk mengenakan orang lain. Ada juga yang menyihir dengan menggunakan ayat Kursi. Jadi walaupun seseorang itu pakai ayat Al-Qur’an, tetapi kalau niat mereka tidak baik, maka ia juga adalah sihir. Selalunya, orang yang menyihir itu akan menyeru orang yang hendak disihir itu dengan menggunakan nama orang itu ‘berbinkan’ emaknya.

Orang yang telah dikenakan sihir itu, boleh jadi sampai gila akhirnya. Ingatlah, hanya Nabi Isa عليه السلام sahaja dalam dunia ini yang berbinkan kepada emaknya. Orang lain, semua ada bapa, maka bin kita adalah bapa kita. Orang yang menggunakan sihir itu, mesti memerlukan nama emak kepada orang yang disihir itu. Mereka akan menyeru orang yang hendak dikenakan. Itu adalah salah satu cara untuk kita kenal sihir.

Contoh lain adalah mereka yang suka meminta doa-doa atau zikir keramat dari tok-tok guru untuk mereka amalkan supaya mereka mendapat sesuatu kelebihan. Sebenarnya, manusia tidak boleh belajar untuk jadi keramat. Tapi ramai yang hendakkan ilmu ghaib dan sebagainya. Termasuklah mereka yang menggunakan sepotong ayat dari Surah Yaasin untuk menutup mata polis di jalanraya.

Ini banyak orang amal tanpa sedar bahawa ia adalah salah. Selain dari itu, ada banyak yang belajar ilmu kebal dari senjata. Ada juga yang belajar supaya mereka boleh menjatuhkan monyet dan binatang lain dari pokok hanya dengan menunjuk dengan jari ke arah binatang itu. Itu semua adalah sihir.

Selalunya sihir itu berkisar dalam persilatan dan puak yang mengamalkan tasawuf. Bukanlah semua, tetapi begitulah yang berlaku pada kebiasaannya. Apabila membuat karamah dengan kehendak sendiri, itu adalah sihir. Kalau kita lihat wirid mereka, sudah pasti akan ada amalan beri salam kepada wali, nabi dan malaikat dan seru kepada selain Allah ‎ﷻ.

Amalan-amalan itu tidak asing bagi mereka kerana amalan itu sudah ada dalam majlis tahlil dari dahulu lagi. Apabila mereka mengambil amalan sihir daripada mana-mana guru, mereka tidak berasa asing lagi kalau ada amalan tawassul di dalamnya kerana sudah biasa buat dalam majlis tahlil. Setiap kali dibaca seruan itu, seekor jin akan datang dan berdamping dengan diri mereka.

Nabi ﷺ pernah berkata, sesiapa yang pergi berjumpa bomoh dan percaya bahawa bomoh itu boleh menyembuhkan penyakit, orang itu sudah kufur dengan agama Nabi Muhammad ﷺ.

من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد

“Barangsiapa mendatangi dukun lalu mempercayai apa yang dikatakannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.”

(HR. At-Tirmidzi 135 disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam “Irwa’ul Gholil” 6817)

Ini adalah perkara akidah dan akidah adalah perkara besar. Kalau meminta tolong lebih kurang, tidak mengapa. Tetapi masyarakat kita lain. Sikit-sikit akan minta kepada bomoh. Sikit-sikit akan minta kepada ‘ustaz’ padahal mereka tidak tahu bahawa itu adalah salah. Janganlah kita sangka semua ustaz itu benar. Ramai yang ‘uskun’ sahaja (ustaz dukun).

Habis Ruku’ 12 dari 40 surah ini


 

Ayat 104: Sebelum ini kita telah banyak belajar tentang sifat golongan Yahudi. Kita sudah tahu yang Yahudi tidak akan senang melihat orang Islam maju. Ini kerana pada mereka kalau Islam naik, mereka pula yang akan jatuh.

Maka mereka akan cuba untuk menjatuhkan umat Islam. Mereka lakukan dengan dua cara. Pertama, mereka bercampur gaul dengan umat Islam dan cuba menjadi penasihat. Mereka lakukan begitu supaya Muslim meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi sampai susah untuk dilawan.

Kedua, bila ada peluang dijadikan sebagai penasihat, mereka akan beri nasihat untuk menjatuhkan umat Islam. Maka kena berjaga-jaga dengan mereka. Ini kerana, walaupun mereka beri nasihat, nasihat mereka itu adalah untuk menjatuhkan kita sebenarnya.

Dalam ayat ini, disebut bagaimana Yahudi cuba menetapkan satu perkataan kepada umat Islam secara senyap yang boleh merosakkan akidah. Oleh itu, Allah ‎ﷻ suruh para sahabat menggunakan perkataan lain.

Latar belakang ayat ini: Golongan Yahudi ada juga masuk dalam majlis Nabi ﷺ, dengar syarahan dan ajaran dari Nabi Muhammad ﷺ, dan apabila mereka mahu Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, mereka berkata “ra’ina”. Mereka biasa menggunakan lafaz ini dalam majlis Nabi ﷺ. Sedangkan lafaz ini boleh membawa maksud baik dan juga maksud yang buruk dalam bahasa mereka.

Dari segi zahir, ia bermaksud “beri perhatian kepada kami” tetapi dalam bahasa mereka, ia juga bermaksud ‘bodoh dan tolol’. Yang lebih teruk lagi, ia juga membawa makna ketuhanan – “engkau awasilah kami”. Sepatutnya perkataan itu sesuai untuk Allah ‎ﷻ sahaja.

Apabila mereka pakai perkataan itu, para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga. Ini kerana Nabi ﷺ pun tidak menegur lafaz mereka itu kerana pada Nabi ﷺ, mungkin itu adalah adat resam mereka. Jadi apabila Nabi ﷺ tidak tegur, maka para sahabat رضي الله عنهم pun ikut menggunakannya juga.

Allah ‎ﷻ melarang menggunakan perkataan ini kerana ia membawa makna yang boleh merosakkan akidah. Kalau kata Nabi ﷺ bodoh boleh rosak akidah dan kalau kata Nabi ﷺ ada sifat ketuhanan pun boleh rosak akidah. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ menukarkannya kepada perkataan lain.

Oleh itu, ini adalah ayat tentang penggunaan bahasa. Ada perkataan yang sama tetapi lain maknanya dari satu tempat ke satu tempat. Ayat ini adalah satu perkataan yang digunakan yang bunyinya serupa, tetapi maknanya berbeza.

Ra’ina adalah perkataan yang menghinakan Nabi Muhammad ﷺ. Kepada orang Yahudi, ia bermakna kutukan kepada Nabi ﷺ. Tapi kepada sahabat, ianya bermakna: “Berilah tumpuan kepada kami”. Namun dalam masa yang sama, ia boleh menjadi makna yang terlalu menaikkan kedudukan Nabi ﷺ seolah-olah sama seperti kedudukan Allah ‎ﷻ pula.

Ayat 104 dan 105 ini adalah nasihat kepada umat Islam.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَقولوا رَٲعِنَا وَقولُوا انظُرنا وَاسمَعوا ۗ وَلِلڪَـٰفِرِينَ عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

O you who have believed, say not [to Allah ‘s Messenger], “Ra’ina” but say, “Unthurna” and listen. And for the disbelievers is a painful punishment.

Malay

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: “unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Khitab (ditujukan) ayat ini kepada para sahabat Nabi ﷺ ‎yang beriman. Mereka yang duduk bersama-sama dengan baginda dalam majlis baginda. Mereka yang datang belajar dengan baginda dalam majlis ilmu.

 

لَا تَقُولُوا رَٲعِنَا

Jangan kamu kata ‘ra’ina’;

Allah ‎ﷻ suruh para sahabat jangan menggunakan lagi perkataan itu apabila ingin mendapatkan perhatian dari Nabi ﷺ. Mereka cakap begitu sebab mereka hendak Nabi ﷺ lihat dan berikan perhatian kepada mereka. Kerana mungkin mereka ada soalan.

Perkataan ini tidak boleh digunakan lagi kerana Yahudi menggunakan perkataan ini untuk menghina Nabi ﷺ. Oleh kerana Allah ‎ﷻ hendak menjaga kemuliaan Nabi ﷺ,  maka, Allah ‎ﷻ telah melarang para sahabat daripada menggunakan perkataan itu lagi.

Walaupun para sahabat tidaklah berniat untuk menghina Nabi ﷺ dengan menggunakan perkataan itu (kerana dalam bahasa Arab, ia membawa makna y ang biasa sahaja). Allah ‎ﷻ hendak menutup jalan yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Allah ‎ﷻ untuk menghina Nabi ﷺ.

Begitu juga, perkataan itu ada membawa maksud ketuhanan kerana ia boleh bermaksud: “Awasilah kami” yang hanya sesuai diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak menutup kemungkinan kedudukan Nabi ﷺ dinaikkan ke tahap ketuhanan pula. Kerana bahaya kalau kedudukan Nabi ﷺ terlalu ditinggikan seperti yang terjadi kepada Nabi Isa عليه السلام.

 

وَقُولُوا انْظُرْنَا

Tapi katakanlah: unzurna

Allah ﷻ berikan kalimah alternatif yang mereka boleh gunakan. Gunakanlah perkataan ini yang bermaksud: “Berilah perhatian kepada kami”.

 

وَاسْمَعُوا

dan dengarkanlah;

Maksud perkataan tolonglah انْظُرْنَا adalah: “Lihatlah kepada kami, dengarlah kami, kami hendak bertanya kepada kamu”. Selepas Nabi ﷺ telah berikan perhatian kepada mereka, dan berikan pengajaran atau menjawab pertanyaan mereka, yang lebih penting adalah, mereka hendaklah mendengar dengan baik dan amalkan apa yang telah Nabi ﷺ sampaikan kepada mereka.

Yang lebih penting dari minta Nabi ﷺ berikan perhatian kepada mereka, adalah mereka kenalah memberikan perhatian kepada Nabi ﷺ. Kena dengar betul-betul. Kena terus dengar lagi dan lagi. Ini kerana mungkin persoalan yang mereka tidak faham ini akan diberikan jawapannya pada masa akan datang. Jangan datang sekali sekala sahaja ke kelas pengajian.

Jangan jadi seperti puak Yahudi itu, mereka datang ikut suka mereka sahaja. Begitu juga kita dalam belajar agama, kena selalu datang ke kelas. Mungkin ada soalan kita tidak faham, tetapi kita akan dapat jawapannya kalau kita pergi ke kelas selalu. Ini kerana jawapannya ada di dalam kelas yang lain.

Dalam ayat ini juga, ada isyarat kepada para sahabat untuk dengar dan patuh kepada ajaran Nabi Muhammad ﷺ sahaja dan tidak perlu dengar ajaran lain. Terutamanya jangan lagi ambil dari ajaran Yahudi. Begitu juga kita yang sudah ada keinginan untuk mengambil jalan Sunnah dalam agama, tidak perlu hendak dengar lagi pengajian dari ustaz-ustaz yang menganjurkan perkara bidaah.

Maka jangan terpengaruh dengan orang Yahudi. Contohnya, mereka kata dalam media massa yang golongan Muslim adalah pengganas. Maka apabila kita sudah dilabel begitu, mungkin ada di kalangan kita pun berasa malu, sampaikan jihad pun sudah tidak diajar dalam Islam.

Padahal ia adalah salah satu ajaran penting dalam agama. Namun malangnya, masyarakat kita hendak sebut jihad pun takut oleh kerana propaganda Yahudi. Ramai dari kalangan kita takut dilabel sebagai pengganas kalau sebut tentang jihad. Maknanya kita sudah terpengaruh dengan propaganda Yahudi.

 

وَلِلڪَـٰفِرِينَ

Dan kepada orang-orang yang engkar;

Iaitu mereka yang menggunakan perkataan ‘ra’ina’ itu lagi, atau setelah ditegur, masih lagi menggunakan perkataan itu.

 

عَذَابٌ أَلِيمٌ

(kepada mereka) azab yang pedih.

Kalau masih lagi berkata yang buruk terhadap Nabi  ﷺ, mereka boleh menjadi kafir dan azab yang pedih menanti untuk orang kafir.


 

Ayat 105: Ini adalah ayat teguran dari Allah ‎ﷻ kepada para sahabat رضي الله عنهم.

مّا يَوَدُّ الَّذينَ كَفَروا مِن أَهلِ ٱلكِتَـٰبِ وَلَا المُشرِكينَ أَن يُنَزَّلَ عَلَيكُم مِّن خَيرٍ مِّن رَّبِّكُم ۗ وَاللَّهُ يَختَصُّ بِرَحمَتِهِ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ

Sahih International

Neither those who disbelieve from the People of the Scripture nor the polytheists wish that any good should be sent down to you from your Lord. But Allah selects for His mercy whom He wills, and Allah is the possessor of great bounty.

Malay

Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu walau sedikit pun dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah kurnia yang amat besar.

 

مَّا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا

Amat tidak suka orang-orang kafir itu; 

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan apakah perasaan orang-orang Yahudi. Apakah yang sebenarnya yang mereka sorok di dalam hati mereka?

Kenapakah Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan مَا (tidaklah) dalam ayat ini? Perkataan مَا adalah menidakkan sesuatu. Allah ‎ﷻ menidakkan anggapan orang-orang mukmin di Madinah. Kita kena tahu serba sedikit tentang sejarah mereka.

Arab Madinah telah lama berada di Madinah bersama dengan orang-orang Yahudi yang berada di Madinah. Mereka telah berkawan lama. Mereka menghormati orang-orang Yahudi itu yang telah lama mendapat kitab Taurat. Jadi mereka rasa bahawa apabila wahyu baru telah diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, mereka sangka tentulah mudah untuk orang-orang Yahudi menerima Nabi Muhammad ﷺ kerana bukankah mereka telah lama beragama dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu adalah bersamaan dengan agama yang mereka pegang iaitu sama-sama agama dari langit?

Allah ‎ﷻ menidakkan pemahaman mereka yang sebegitu. Jika mereka berfikiran begitu, mereka adalah naif. Allah ‎ﷻ hendak beritahu, sebagaimana orang-orang Musyrik di Mekah dulu menentang Nabi ﷺ, begitu juga dengan sesetengah orang Yahudi di Madinah.

Walaupun mungkin dahulu mereka berkawan baik, tetapi dengan perubahan pandangan agama, segala-galanya boleh berubah. Macam juga kita, dahulu kita sama-sama berkawan baik dengan orang. Tetapi apabila kita mengambil jalan sunnah dan belajar tafsir Al-Qur’an, ada orang yang sudah tidak mahu berkawan dengan kita lagi kerana kita sudah ‘macam lain’ pula kepada mereka. Mereka sudah memandang serong terhadap kita.

Berkawan baik dengan orang Yahudi tidak semestinya mereka kekal baik dengan kita. Pernah ada orang Palestin beritahu mereka apa terjadi semasa Yahudi datang beramai-ramai ke Palestin. Dahulu mereka ada jiran Yahudi di Palestin. Mereka memang berkawan baik, lawat melawati, anak-anak bermain bersama. Memang waktu itu duduk dengan aman.

Tetapi apabila Palestin diambil alih oleh puak kuffar, jiran dan kawan mereka daripada kalangan Yahudi itu menjadi orang asing pula seolah-olah tidak kenal dengan mereka. Orang-orang Yahudi itu boleh buat tidak kenal sahaja jiran mereka itu.

Lagi satu, digunakan kalimah ما untuk menidakkan dakwaan Yahudi pada zaman Nabi Muhammad itu. Mereka kata kononnya mereka suka apabila bangsa Arab dapat wahyu. Akan tetapi itu adalah kata-kata dari mulut mereka sahaja. Dalam hati mereka, mereka benci sebenarnya apabila wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad.

 

مِنْ أَهْلِ ٱلكِتَـٰبِ

yang terdiri dari Ahli Kitab;

Golongan pertama adalah Ahli Kitab – Yahudi dan Nasara, kerana mereka telah mendapat kitab wahyu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ahli-ahli Kitab itu tidak seperti yang diharapkan oleh para sahabat yang beriman. Apa yang orang mukmin di Madinah sangkakan itu adalah tidak benar. Ini kerana ada golongan orang kafir dari kalangan orang Yahudi itu tidak suka jikalau ada kebaikan yang didapati oleh orang Islam.

Bukan semua tidak suka. Sebahagian sahaja. Sebab itu Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘orang kafir dari ahli Kitab’. Perkataan ‘kafir’ dalam Al-Qur’an lain dari pemahaman biasa kita. Ia bermaksud mereka yang menolak Islam setelah memahaminya. Iaitu mereka tahu bahawa Islam itu benar, tetapi mereka tolak juga.

Ataupun mereka juga memerangi Islam. Jadi ada beza antara “non-Muslim” dan “anti-Muslim”. Kebanyakan dari orang bukan Islam tidak mengganggu orang Islam pun.

Seperti yang kita tahu, tidak semua orang bukan Islam yang memerangi Islam. Ada yang berbaik dengan Muslim dan tidak ada berniat buruk terhadap Muslim. Cuma mereka tidak masuk Islam kerana mereka belum lagi diberi hidayah. Mereka mungkin belum faham Islam. Mungkin juga mereka telah menerima Islam itu agama yang baik, tetapi belum terbuka lagi hati mereka untuk benar-benar masuk Islam.

Orang yang sebegini tidak dipanggil ‘kafir’ dalam Al-Qur’an. Cuma dalam penggunaan biasa, kita selalunya panggil mereka ‘kafir’. Sebaiknya, kita gunakan sahaja kalimah “non-Muslim” terhadap mereka.

Lihatlah dalam ayat ini tidak digunakan kalimat ما يود أهل الكتاب (tidaklah suka Ahli Kitab) aka tetapi ada ditambah kalimah الذين كفروا (orang-orang yang kafir) kerana Allah hendak menekankan yang mereka itu kufur, malah kufur dengan kitab-kitab wahyu mereka sendiri. Kerana kalau mereka benar-benar beriman dengan kitab wahyu mereka, memang telah disebut pun tentang Nabi Muhammad di dalamnya. Kalau mereka beriman, tentu mereka akan beriman dengan baginda.

 

وَلَا الْمُشْرِكِينَ

dan juga dari orang-orang Musyrikin;

Ini adalah golongan kafir yang kedua – yang musyrik seperti Musyrikin Mekah. Orang Musyrik memang tidak suka jika ada kebaikan diberikan kepada orang Islam. Mereka dari dahulu lagi tidak sukakan Nabi Muhammad ﷺ. Merekalah yang pertama menentang baginda apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul. Merekalah yang mula-mula menentang Nabi ﷺ tetapi kenapa ahli kitab disebut dahulu di dalam ayat ini?

Ahli Kitab disebut dahulu kerana mereka lebih penting hendak diberitahu di dalam situasi ini kerana ayat ini diturunkan semasa orang Islam berhadapan dengan orang Yahudi di Madinah. Orang Islam di Madinah memerlukan saranan yang lebih kuat untuk membangunkan mereka dari pemahaman mereka yang salah tentang kawan-kawan mereka dari orang Yahudi itu.

Mereka sudah faham tentang tentangan dari orang Musyrikin Mekah. Allah ‎ﷻ hendak memberikan peringatan kepada orang Islam di Madinah bahawa sebagaimana orang Musyrik telah menentang Islam, begitu juga orang Yahudi di Madinah.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa akan sentiasa ada dua golongan ini yang akan sentiasa menentang Islam. Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati.

Apakah yang mereka tidak suka?

 

أَنْ يُنَزَّلَ عَلَيْكُمْ مِّنْ خَيْرٍ

bahawa didatangkan kepada kamu semua satu kebaikan apa pun;

Mereka tidak suka apabila orang Islam mendapat kebaikan. Ini adalah kerana rasa permusuhan yang tinggi dari kepada terhadap agama Islam. Apabila mereka tidak suka, mereka mencari berbagai-bagai jalan untuk melemahkan Islam. Antaranya mereka cuba mencari kesalahan Nabi ﷺ. Mereka juga mencari-cari jalan bagaimana hendak menyebabkan orang Islam sangsi dengan Islam.

 

مِّنْ رَّبِّكُمْ

dari Tuhan kamu;

Mereka benci apabila Muslim mendapat kebaikan padahal kebaikan itu dari Allah ‎ﷻ semata-mata. Mereka tidak suka orang beriman mendapat kebaikan dari Allah ‎ﷻ. Apa-apa sahaja kebaikan, tidak kira walau apa jenis pun. Sama ada dari segi wahyu, kemenangan dalam peperangan, pangkat kenabian, ilmu, iman, kesenangan, harta atau apa-apa sahaja.

Pertamanya, mereka tidak suka Nabi Muhammad ﷺ yang mendapat wahyu – ini yang paling utama. Kita telah belajar sebelum ini yang orang-orang Yahudi tidak dapat menerima bahawa wahyu akhir zaman diturunkan kepada Bangsa Arab.

Orang Arab Mekah yang musyrik pula, tidak dapat menerima Nabi Muhammad ﷺ diberikan wahyu. Pada mereka, ada lagi orang lain yang lebih layak dari kalangan orang terkenal di Tanah Arab. Kita akan belajar tentang ini dalam surah-surah yang lain.

Macam masyarakat kita juga, ada yang tidak suka kalau orang baik-baik dapat kebaikan. Kalau mereka tengok ada ustaz pakai kereta cantik sedikit, mereka akan mengata. Mereka tidak suka orang yang sebar agama mendapat kebaikan. Sama ada orang-orang agama itu mendapat kedudukan, harta atau sebagainya.

 

 وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ

Sedangkan Allah akan memberikan pengkhususan dengan RahmatNya;

Rahmat itu adalah dari Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa ia adalah hak Allah ‎ﷻ untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Bukan tempat kita untuk mempersoalkan kepada siapakah yang Allah ‎ﷻ berikan rahmat-Nya itu.

 

مَنْ يَشَاءُ

kepada sesiapa yang Dia kehendaki;

Ikut Allah ‎ﷻlah siapa yang Dia hendak beri kebaikan itu. Sebagai contoh, kita tahu bahawa Bilal رضي الله عنه itu adalah seorang yang miskin. Begitu juga dengan Salman al Farisi dan Suhail رضي الله عنهما. Orang-orang musyrik tidak suka mereka ini mendapat rahmat apa-apa dari Allah ‎ﷻ.

Tetapi Allah ‎ﷻ telah pilih mereka menjadi sahabat yang mulia. Itu semua adalah kehendak Allah ‎ﷻ. Kita tidak dapat mempersoalkannya langsung. Siapa kita untuk persoalkan keputusan Allah ‎ﷻ?

Memang dahulu Bani Israil telah mendapat begitu banyak kebaikan dari Allah ‎ﷻ. Mereka telah diberikan dengan kelebihan demi kelebihan – antaranya begitu ramai Nabi dan Rasul dari kalangan mereka. Mereka juga telah mendapat kekayaan dan kebaikan dalam kehidupan. Tetapi Allah ‎ﷻ boleh tidak memilih mereka lagi untuk memberi kebaikan. Siapakah mereka sebagai manusia hendak mempersoalkan Allah ‎ﷻ?

 

وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Dan Allah mempunyai kurniaan yang besar sekali.

Allah ‎ﷻ ada banyak rahmat yang akan diberikan-Nya kepada manusia lain yang dipilih-Nya.

Dari ayat ini, kita dapat tahu yang orang Yahudi marah kerana Nabi akhir zaman yang dibangkitkan bukan dari golongan mereka.

Orang Musyirikin pun marah juga kerana yang diangkat menjadi Nabi itu bukan dari orang-orang yang mereka sangka patut menjadi Nabi.

Pelajaran dari ayat: Peringatan agar berwaspada terhadap orang-orang kafir dari kalangan Ahli Kitab atau orang-orang musyrik, kerana mereka adalah musuh yang dengki terhadap orang-orang mukmin. Maka tidak halal bagi seorang Muslim untuk merendahkan diri dan merasa tenang dengan ucapan dan perbuatan mereka, sebab mereka tidak pernah berhenti melakukan tipu daya kepada kaum muslimin.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Mei 2021

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 103 – 105 (Berhati-hati dengan kalimah)”

  1. Tok guru maaf saya ingin bertanya Lazimnya selepas sembahyang dan membaca doa2 imam membaca selawat pada rasul SAW, adakah ini pun di anggap sbg tawasul dan salah pada syariat berdoa Dan juga dalam tahlil membaca Yasin?

    Like

    1. Salam Hasan, terima kasih atas pertanyaan anda.

      1. Selepas solat atau waktu-waktu lainnya, tidaklah salah baca selawat. Dalam ayat lain, memang Allah menganjurkan kita membaca selawat. Tapi kenalah selawat yang diajar oleh Nabi, bukan yang direka oleh manusia. Antara selawat yang mengandungi elemen syirik adalah selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyah. Kerana solat-solat itu adalah menggunakan berkat Nabi sebagai tawasul untuk menyembuhkan dan menyelesaikan masalah. Kita tawasul dengan Nabi pun tidak boleh. Itu samalah seperti tawasul Kristian dengan nabi Isa.

      2. Tidaklah perlu untuk berdoa bersama imam. Selepas solat berjemaah pun, kita doa sendiri sahaja. Dalam hadis, tidak disebut Nabi berdoa dengan sahabat selepas solat. Doa sendiri lebih baik. Kerana kita ada hajat kita sendiri. Tidak sama dengan hajat tok imam. Lagipun, tidak tahu apakah doa yang akan dibaca oleh imam itu. Kadang-kadang saya dengar mereka baca selawat syifa’ dan tafrijiyah juga.

      3. Majlis Tahlil yang dibuat oleh masyarakt kita sekarang adalah bidaah. tidak pernah dibuat Nabi dan sahabat. Sedangkan banyak yang mati zaman mereka, bukan? Kalau ianya baik, tentulah mereka dulu dah buat dah. Kerana iman mereka tentulah lagi tinggi dari kita. Mereka lagi kuat buat amal ibadat dari kita.

      4. Majlis tahlil dibuat adalah untuk sedekah pahala kepada simati? Adakah sampai pahala yang kita sedekahkan kepada simati? Imam Syafie sendiri kata tak sampai sedekah pahala. Beliau berdalilkan kepada ayat Quran Najm:39.

      5. Tentu saudara pernah menghadiri majlis Tahlil (saya dulu pun tekong Majlis Tahlil juga). Mula-mula akan dibacakan: “ila hadratin….” Itu bermakna ke hadrat nabi Muhamad, keluarga baginda…. dan seterusnya. Itulah lafaz tawasul kalau nak tahu. Memohon berkat daripada Nabi, para ahli keluarga baginda, sahabat dan lain-lain lagi.

      Itulah serba ringkat yang saya boleh jawap dalam ruangan ini. Saudara tinggal di mana? Ada baiknya untuk saudara menghadiri sendiri kelas tafsir ini dan boleh bertanya terus kepada guru yang mengajar supaya boleh lebih jelas lagi. Kalau berdepan lagi mudah.

      Silah emel saya di: tafsirsunnah@gmail.com untuk maklumat lanjut.

      Like

    1. ya insya Allah. saya belum edit untuk kemaskan lagi surah baqarah ini. saya tulis bagi habis dulu.

      nanti saya akan kemaskan lagi. kalau panjang sangat susah nak baca. terima kasih.

      Like

  2. Assalamualaikum. Saudara perlu memperbetulkan Saidina Ali kepada Saidina Umar pada permulaan memberi contoh tentang karamah. Saya lihat Saudara betul selepas itu. Sekian

    Like

Leave a reply to Norkhair Mohamed dan Cancel reply