Tafsir Surah Baqarah Ayat 66 – 69 (Kisah tentang lembu)

Ayat 66:

فَجَعَلناها نَكالًا لِما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِلمُتَّقينَ

Sahih International

And We made it a deterrent punishment for those who were present and those who succeeded [them] and a lesson for those who fear Allah .

Malay

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا

Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan

Kalimah نكل bermaksud sesuatu yang melarikan, menjauhkan. Maka penukaran kepada kera itu menjadi satu teladan supaya manusia selepas itu akan menjauhkan diri dari melakukan kesalahan yang sama. Supaya kita takut untuk berbuat dosa yang sama.

 

لِمَا بَيْنَ يَدَيْهَا

bagi orang yang ada pada masa itu;

Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah ‎ﷻ kepada mereka itu.

 

وَمَا خَلْفَهَا

dan orang-orang yang akan datang kemudian

Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tetapi mereka-mereka yang selepas itu juga. Kita termasuk dalam yang disebut kerana kita sekarang sedang  membaca kisah mereka sebagai teladan bagi kita.

 

وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.

Kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ia adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.


Ayat 67: Ini sifat buruk ketiga Yahudi zaman dahulu. Sifat itu adalah banyak bertanya serta mempersoalkan tentang hal berkaitan agama.

Ini adalah cerita berkenaan dengan Surah Baqarah ini sendiri, iaitu tentang lembu betina. Agama-agama yang salah dahulu yang telah sesat ada yang memuja lembu. Seperti juga sekarang, penganut Hindu memuja lembu juga.

Antaranya juga adalah Musyrikin Mekah yang kononnya mengamalkan agama dari ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام, mereka juga ada amalan yang salah berkenaan dengan lembu ini. Kita akan belajar di dalam Surah al-An’am nanti. Mereka itu percaya Nabi Ibrahim عليه السلام adalah rasul dan ada syariat yang masih lagi mereka pakai seperti solat, wudhu’, nikah kahwin dan sebagainya, namun mereka mengamalkan juga amalan yang salah.

Musyrikin Mekah banyak telah menukar agama asal Nabi Ibrahim عليه السلام itu. Antaranya, mereka sudah tidak percaya adanya Hari Kebangkitan. Musyirikin Mekah juga telah memuja tok wali. Mereka juga memuja malaikat-malaikat yang mereka anggap sebagai anak perempuan Allah ‎ﷻ.

Mereka sangka, kerana Allah ‎ﷻ sayangkan anak perempuan-Nya, maka dengan memuja malaikat-malaikat, tentulah mereka akan disayangi Allah ‎ﷻ juga. Mereka mengharapkan tok-tok wali dan malaikat-malaikat itu akan dapat menolong mereka nanti.

Orang Kristian pula meminta tolong dengan ‘anak lelaki’ Allah ‎ﷻ iaitu Nabi Isa عليه السلام. Padahal Allah ‎ﷻ tidak mempunyai anak. Mereka sendiri yang memberikan pangkat itu kepada Nabi Isa عليه السلام. Ada juga ajaran yang sesat seperti agama Hindu sekarang yang memuja malaikat-malaikat yang mereka katakan sebagai dewa-dewa mereka.

Dan antara kesesatan yang mereka lakukan adalah memuja lembu. Ada juga agama-agama lain seperti di Afrika, Cyprus dan sebagainya yang memuja lembu.

Lembu juga adalah pujaan golongan Yahudi pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ telah memerintahkan mereka untuk sembelih lembu sebagai tanda menolak kepercayaan mereka yang sesat itu.

Mereka puja lembu kerana mereka sangka lembu ada keramat dan sebagainya. Mereka anggap begitu kerana banyak kegunaan lembu seperti menghasilkan susu, kulit dan sebagainya. Oleh itu, mereka puja lembu itu. Maka untuk menghilangkan perasaan salah mereka terhadap lembu, mereka kena sembelih lembu itu.

Ayat ini adalah untuk menceritakan perintah Allah ‎ﷻ kepada mereka untuk sembelih seekor lembu betina supaya mereka tidak lagi puja lembu.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجاهِلينَ

Sahih International

And [recall] when Moses said to his people, “Indeed, Allah commands you to slaughter a cow.” They said, “Do you take us in ridicule?” He said, “I seek refuge in Allah from being among the ignorant.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya;

Ini adalah arahan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk memberi arahan kepada kaum Yahudi. Bukanlah Nabi Musa عليه السلام beri arahan itu dari kehendaknya sendiri.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya sembelih seekor lembu betina;

Kata إِنَّ – yang bermaksud: ‘Sesungguhnya, tidak syak lagi’ – digunakan dalam ayat ini. Untuk menunjukkan bahawa arahan itu dari Allah ‎ﷻ. Bukan arahan itu datang dari Nabi Musa عليه السلام. Nabi Musa عليه السلام hanya menyampaikan sahaja arahan itu.

Begitulah umat Nabi Musa عليه السلام pada zaman itu. Mereka kononnya berkata yang mereka percaya kepada Allah ‎ﷻ, tetapi mereka tolak Nabi Musa عليه السلام. Mereka rasa Nabi Musa عليه السلام ada cakap dari dirinya sendiri yang bukan dari Allah ‎ﷻ.

Macam juga zaman sekarang – ada golongan yang kononnya percaya kepada Qur’an tetapi tidak percayakan hadis. Mereka hendak mengasingkan antara Allah ‎ﷻ dan Rasul. Padahal Rasul menyampaikan arahan dari Allah ‎ﷻ. Ini adalah fahaman yang sesat dan sebab sesat itulah yang menyebabkan ada Bani Israel yang meminta supaya mereka sendiri jumpa dengan Allah ‎ﷻ. Mereka hendak Allah ‎ﷻ sendiri cakap dengan mereka. Hasilnya, mereka telah dimatikan serta merta. Kisah ini kita telah belajar dalam ayat-ayat sebelum ini.

Allah ‎ﷻ memerintahkan mereka untuk menyembelih lembu kerana dalam hati mereka masih ada sifat mendewakan lembu. Ini ada kena mengena dengan kes mereka sembah patung anak lembu sebelum ini. Patung itu dibentuk oleh seorang lelaki yang bernama Musa Samuri kerana dia hendak menjadi orang yang tersohor di kalangan kaumnya. Kisah ini boleh dibaca dalam tafsir Surah Taha.

Mengikut sejarahnya, beliau telah dipelihara oleh Jibrail عليه السلام kerana dia telah disorok di gua oleh ibunya yang hendak menyelamatkan anaknya dari dibunuh oleh Firaun. Nabi Musa عليه السلام pada waktu itu dipelihara oleh Firaun dan Musa Samiri dipelihara oleh Jibrail عليه السلام. Tetapi Nabi Musa عليه السلام menjadi baik, manakala Musa Samiri menjadi orang jahat.

Oleh kerana dia dipelihara oleh malaikat, dia biasa nampak benda-benda yang pelik. Secara ringkasnya, dia telah menggunakan emas-emas yang ada pada puak Bani Israil yang mereka telah pinjam dari bangsa Qibti. Dan semasa mereka menyeberang lautan untuk melarikan diri mereka telah membawa sekali emas-emas tersebut. Oleh kerana emas itu bukan dari harta mereka sendiri, maka Musa Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang emas-emas itu tidak halal.

Dia suruh mereka mengumpulkan emas-emas itu dan leburkan. Dia telah memasukkan sedikit pasir dari bekas tapak kuda malaikat Jibrail عليه السلام. Apabila dimasukkan pasir ke dalam mulut patung itu, ia telah berbunyi. Boleh jadi berbunyi itu adalah kerana Sihir. Tetapi umat Bani Israil yang melihatnya telah teruja dan percaya kepada Musa Samiri dan mula memuja patung itu kerana Musa Samiri telah menghasut mereka dengan mengatakan yang ia adalah tuhan mereka.

Ini semua terjadi kerana Allah ‎ﷻ hendak menguji mereka. Walaupun masalah ini telah diperbetulkan, patung itu pun telah dihancurkan, namun kisah patung anak lembu itu masih berlegar lagi di kalangan mereka. Mereka bercakap-cakap sesama mereka mengenainya, dan lama kelamaan timbullah pendapat yang mengatakan ada keramat pada lembu.

Telah masuk dalam hati mereka kisah lembu keramat. Ini terjadi di kalangan mereka yang tidak belajar agama. Mereka sampai puja lembu pula. Oleh itu, mereka disuruh sembelih lembu itu supaya mereka tidak lagi puja lembu. Ini adalah untuk menidakkan pemahaman mereka yang melihat lembu itu ada keramat dan sebagainya.

Macam kita sekarang, ada manusia yang menganggap ada keramat pada kain kuning, keris keramat dan sebagainya. Kalau kita suruh mereka bakar benda-benda itu yang mereka anggap keramat, mereka akan marah. Kalau kita suruh mereka buang dan bakar kain kuning, keris keramat dan cincin keramat itu, mereka akan jawab begini:

قَالُوا أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا

Mereka berkata: adakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan?;

Pada mereka, suruhan itu adalah ejekan kepada mereka. Macam kalau kita suruh masyarakat kita bakar kain kuning yang membalut keris keramat mereka. Atau kita suruh mereka bakar cincin yang mereka anggap keramat. Mereka akan berasa berat kerana sayang kepada keris dan cincin-cincin itu.

Begitulah yang terjadi kepada Bani Israel di zaman Nabi Musa عليه السلام apabila baginda memberi arahan sebegitu kepada mereka. Mereka merasakan Nabi Musa عليه السلام main-main dan mengejek mereka.

Tentulah Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka dalam hal ini. Tidak boleh seorang ahli agama berjenaka dalam hal agama. Ia adalah satu kesalahan.

Ada yang mengatakan bahawa kisah ini terjadi ketika terjadi pembunuhan di kalangan mereka. Seorang lelaki telah membunuh bapa saudaranya kerana mahukan harta. Kalau tunggu bapa saudaranya itu mati sendiri, lambat untuk dia dapat harta. Selepas bunuh, dia telah meletakkan mayat bapa saudaranya itu di kampung sebelah. Dan menuduh mereka pula yang membunuh bapa saudaranya.

Kemudian, mereka berbantah-bantah tentang siapakah yang telah membunuh lelaki itu. Sampaikan mereka telah hampir hendak berperang antara puak-puak yang bertelagah itu. Apabila mereka membawakan masalah itu kepada Nabi Musa عليه السلام, baginda telah menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ untuk mereka menyembelih seekor lembu betina.

Oleh kerana mereka tidak nampak apa kaitan antara mencari pembunuh itu dengan menyembelih lembu, maka mereka telah menuduh Nabi Musa عليه السلام bermain-main dengan mereka. Ini adalah kisah yang masyhur, tetapi ia tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah Israiliyat dan kisah Israiliyat tidak boleh digunakan dalam tafsir kerana tidak boleh dipercayai.

 قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ

Nabi Musa berkata: Aku berlindung dengan Allah,

Dalam apa-apa hal, kena kembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Tentu sekali Nabi Musa عليه السلام tidak berjenaka atau main-main dalam hal ini dan baginda kembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya baginda tidak sudi menjadi orang jahil yang berolok-olok dalam hal agama. Sepatutnya kaum baginda tahu yang baginda bukanlah berolok-olok.

 

أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

dari menjadi seorang dari golongan yang jahil;

Iaitu jahil seperti kamu, kaum Yahudi yang memuja lembu itu. Jahil yang dimaksudkan adalah ‘Jahil Syariat’.

Begitulah kalau orang yang tidak menggunakan akal. Macam orang Hindu sekarang, sampaikan lembu itu mereka tidak sembelih sampai lembu itu mati sendiri. Sampaikan lembu itu ada surat beranak sendiri macam manusia. Sampaikan banyak sangat lembu liar yang dibiarkan berkeliaran dalam bandar.

Sesiapa yang khianat kepada lembu itu akan dimarahi dan boleh sampai berperang. Kadang-kadang mereka kena juga halau lembu yang menyusahkan manusia (seperti menghalang laluan keretapi). Tetapi orang yang hendak tangkap lembu kena mengadakan upacara berlindung dengan dewa untuk membawa lembu itu. Sebelum menangkap lembu itu, mereka kena puja lembu itu terlebih dahulu.

Orang Islam di India yang hendak makan daging lembu kena bela lembu itu secara senyap-senyap di tempat jauh dari orang Hindu dan kena sembelih lembu itu sorok-sorok. Kalau tidak, akan menjadi masalah dengan orang Hindu nanti sebab mereka akan kata kita bunuh ‘tuhan’ mereka.

Ini masalah yang berat sungguh, sampaikan di Malaysia pun pernah menjadi isu sebab orang kita sembelih lembu korban di kawasan sekolah yang ada pelajar Hindu. Susah juga kita hendak jaga sensitiviti antara agama. Sedangkan penyembelihan lembu ada dalam agama kita dan agama rasmi negara kita pula memang Islam.


 

Ayat 68: Untuk menyembelih lembu adalah mudah sahaja sebenarnya, tetapi mereka banyak bertanya sampaikan perkara yang senang boleh jadi susah.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما هِيَ ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ لا فارِضٌ وَلا بِكرٌ عَوانٌ بَينَ ذٰلِكَ ۖ فَافعَلوا ما تُؤمَرونَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to make clear to us what it is.” [Moses] said, “[ Allah ] says, ‘It is a cow which is neither old nor virgin, but median between that,’ so do what you are commanded.”

Malay

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata kepada Nabi Musa: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘Tuhan kamu’, bukan ‘Tuhan kami’. Begitulah kurang ajarnya mereka dengan Nabi dan Allah ‎ﷻ.

 يُبَيِّنْ لَنَا مَا هِيَ

“Supaya Dia menjelaskan bagi kami apakah hakikat lembu betina itu?”;

Mereka hendak tahu lembu itu jenis apa dan sebagainya. Mereka tanya itu dalam nada mengada-ngada. Sebenarnya mereka tiada niat untuk buat pun.

Maka kerana mereka telah bertanya, Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjelaskan apakah sifat lembu betina itu. Ada yang mengatakan Nabi Musa عليه السلام kena mendaki Bukit Thur dan bercakap sendiri dengan Allah ‎ﷻ. Setiap kali pertanyaan timbul, Nabi Musa عليه السلام kena buat begitu.

Dan apabila Nabi Musa عليه السلام berdoa meminta penjelasan, Allah ‎ﷻ telah menjelaskan apakah jenis lembu itu. Allah ‎ﷻ susahkan mereka dengan memberi kansyarat kerana mereka yang gatal sangat bertanya.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لَا فَارِضٌ

Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu tidak tua sangat”;

Lembu yang tua adalah dalam lingkungan 15 tahun umurnya. Maknanya, kena cari lembu yang belum sampai umur 15 tahun. Nabi Musa عليه السلام ‎menekankan sekali lagi dalam ayat ini bahawa Allah ‎ﷻ sendiri yang menjelaskan sifat lembu itu, bukan dari baginda. Lihatlah perkataan إِنَّهُ يَقُولُ.

 وَلَا بِكْرٌ

“dan tidak muda sangat”;

Lembu yang muda adalah dalam lingkungan antara 2-6 tahun.

عَوَانٌ بَيْنَ ذَٰلِكَ

“Pertengahan antara tua dan muda”;

Jadi, umur lembu itu adalah dalam lingkungan 7 tahun. Sekarang sudah ada kriteria umur pula. Kalau mereka tidak bertanya, mereka boleh pilih mana-mana lembu sahaja.

فَافْعَلُوا مَا تُؤْمَرُونَ

Musa berkata: “Buat sahajalah apa yang telah diperintahkan kepada kamu”;

Maknanya, jangan tanya lagi. Buatlah dengan segera. Asalnya Allah ‎ﷻ memerintahkan sembelih lembu betina sahaja, sekarang sudah ditetapkan umur pula kerana mereka yang telah bertanya. Kalau tidak, boleh ambil sahaja mana-mana lembu betina. Maknanya, cukuplah, jangan tanya lagi, buat sahaja.

Perkataan فَافْعَلُوا bermaksud satu perbuatan yang tidak perlu fikir banyak. Jenis perbuatan yang bukan susah hendak buat. Sekarang ini, masih senang lagi – cuma cari lembu betina yang umurnya pertengahan. Kalau tadi, cuma sembelih lembu betina sahaja – senang. Tapi sekarang, sudah kena cari yang pertengahan umurnya – masih dikira senang lagi.

Sepatutnya mereka terus buat pada waktu ini. Tetapi mereka masih lagi hendak bertanya. Inilah yang dikatakan perangai buruk bangsa Yahudi dahulu. Dalam ayat seterusnya akan diterangkan apakah lagi soalan mereka.


Ayat 69: Mereka masih tidak berpuas hati dengan penerangan yang telah diberikan. Sebenarnya, mereka hendak mempersendakan Nabi Musa عليه السلام‎ sahaja kerana baginda suruh mereka sembelih lembu. Maka mereka tanya lagi. Sekarang, mereka tanya tentang warna pula.

قالُوا ادعُ لَنا رَبَّكَ يُبَيِّن لَنا ما لَونُها ۚ قالَ إِنَّهُ يَقولُ إِنَّها بَقَرَةٌ صَفراءُ فاقِعٌ لَونُها تَسُرُّ النّاظِرينَ

Sahih International

They said, “Call upon your Lord to show us what is her color.” He said, “He says, ‘It is a yellow cow, bright in color – pleasing to the observers.’ ”

Malay

Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”.

قَالُوا ادْعُ لَنَا رَبَّكَ

Mereka berkata: “Tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”

Lihatlah, mereka masih lagi kata: “Tuhan kamu”. Sekarang kita akan baca soalan karut mereka lagi. Soalan ini akan lebih menyusahkan mereka lagi.

يُبَيِّنْ لَنَا مَا لَوْنُهَا

“Supaya Dia menjelaskan untuk kami apakah warna lembu itu?”;

Sekarang mereka sudah bertanyakan warna pula. Maka, sekali lagi Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Tuhan untuk menjelaskan. Sekali lagi, Nabi Musa عليه السلام terpaksa mendaki Bukit Thur untuk bertanya Allah ‎ﷻ tentang soalan lagi.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ

Nabi Musa berkata: “Sesungguhnya Dia (Allah) berkata bahawasanya lembu betina itu”

Nabi Musa عليه السلام masih menekankan yang Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bukan dari baginda sendiri.

صَفْرَاءُ

“berwarna kuning emas”;

Warna kuning emas adalah warna lembu yang amat sukar dicari. Ia juga adalah warna yang lain dari biasa. Kerana itu ulama’ ada melarang untuk menggunakan warna kuning keemasan pada pakaian dan sebagainya. Kerana mengelakkan dari dikaitkan dengan warna kegemaran Yahudi ini.

Malangnya, kalau kita lihat mereka yang ada urusan dengan perbomohan, tentu akan menggunakan warna kuning ini pada kain mereka.

فَاقِعٌ لَوْنُهَا

terang warnanya

Maksudnya, warna itu memang cantik terang benderang. Memang jelas warna itu.

 

تَسُرُّ النَّاظِرِينَ

“yang menyenangkan sesiapa yang memandang”.

Maknanya ia adalah lembu yang cantik. Orang akan suka tengok kerana tidak pernah tengok lembu yang berwarna seperti itu. Tetapi harus diingatkan, tidak ada kelebihan kepada lembu yang berwarna seperti itu. Allah ‎ﷻ cuma hendak menyusahkan mereka sahaja. Jangan pula kita selepas ini kita mencari lembu berwarna kuning emas pula. Sebenarnya, ssehingga sekarang orang Yahudi mencari lembu berwarna kuning keemasan ini. Dan bila tidak ada, mereka telah membuatnya secara genetik.

Susah untuk mencari lembu seperti itu. Bukan senang untuk mencari yang berwarna kuning keemasan. Itulah keburukan mereka yang bertanya banyak. Ini lagi menyusahkan mereka. Kalau mereka buat sahaja dari awal lagi, mereka hanya perlu mencari lembu betina sahaja.

Bukanlah kita hendak berkata bahawa tidak elok bertanya. Ada pertanyaan yang digalakkan untuk bertanya. Ada beza kalau kita hendak mendalami ilmu. Contohnya, kalau orang bertanya: “Bagaimanakah caranya hendak membayar zakat?” Itu adalah soalan untuk mendalami agama.

Tetapi kalau ada orang bertanya begini: “Kenapa kena bayar zakat?” Itu bukan soalan, tetapi itu ada tanda kemungkinan orang itu yang tidak mahu membayar zakat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 25 Mei 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 66 – 69 (Kisah tentang lembu)”

    1. Tafsir ini diambil dari pemahaman dari kitab-kitab tafsir yang muktabar. Lebih kurang 20 kitab semua sekali.
      terima kasih. Semoga dapat memberi pemahaman kepada saudari. Kalau ada persoalan, boleh ditanyakan di blog ini.

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s