Tafsir Surah Baqarah Ayat 62 – 65 (Yahudi suka buat helah)

Ayat 62: Ayat ini adalah sebagai penutup kepada kisah-kisah golongan Yahudi yang telah disebut sebelum ini. Sebelum ini Allah telah beri ayat-ayat pujukan kepada mereka. Telah disebut lapan jasa dan dua jenis hukuman yang diberikan, semoga dengan itu dapat mengingatkan mereka dan membawa mereka kepada jalan agama Islam yang sebenar.

Ayat ini adalah penutup kepada bahagian ayat-ayat itu. Allah memberitahu dalam ayat ini yang Allah taala tidak memilih bangsa. Bagi Allah sama sahaja semua bangsa. Asalkan sanggup beriman dan melakukan amal soleh (amalan ikut sunnah), mereka akan diberikan ganjaran pahala di sisiNya. Mereka tidak akan takut dan dukacita.

Ada empat golongan yang disebut dalam ayat ini:

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالنَّصارىٰ وَالصّابِئينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صالِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Indeed, those who believed and those who were Jews or Christians or Sabeans [before Prophet Muhammad] – those [among them] who believed in Allah and the Last Day and did righteousness – will have their reward with their Lord, and no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang yang beriman;

Iaitu yang beriman seperti para sahabat Nabi. Maka iman itu hendaklah iman yang sempurna.

Iman sempurna maksudnya tidak ada syirik. Ia bukan setakat beriman sahaja. Ramai yang beriman, percaya kepada Allah, Rasul dan sebagainya. Tapi dalam masa yang sama, mereka percaya juga kepada perkara-perkara yang tidak patut. Sebagai contoh, percaya Allah berkongsi pemerintahan dengan makhluk, Allah ada anak, Allah perlukan wasilah dalam doa dan macam-macam lagi fahaman rekaan dalam agama. Maka kena belajar manakah yang tauhid dan manakah yang syirik.

وَالَّذِينَ هَادُوا

Dan orang-orang Yahudi:

Ini adalah golongan kedua iaitu mereka yang ikut ajaran Yahudi. Mereka ini adalah pengikut Nabi Musa kerana baginda adalah Rasul mereka yang utama walaupun ada Rasul dan Nabi lain.

‘Yahudi’ adalah nisbah kepada agama, dan nisbah bagi puak mereka adalah ‘Bani Israil’.  Pegangan Yahudi sepatutnya adalah apa yang disampaikan dalam Kitab Taurat.

وَالنَّصَارَىٰ

Dan Nasara:

Golongan ketiga adalah mereka yang yang berfahaman Nasara (sekarang dipanggil Kristian), iaitu umat yang mengikut Nabi Isa. Kitab mereka adalah Injil.

وَالصَّابِئِينَ

Dan Sabean;

Ini adalah golongan keempat.

Ash Shabi’ah adalah salah satu agama samawiyah. Allah menyebutnya bersama agama-agama yang lain. Mereka ini tidak dapat dipastikan dengan tepat siapakah mereka. Asalnya mereka adalah pengikut Nabi Ibrahim tapi lama kelamaan selepas itu mereka telah sesat dan telah menyembah benda lain seperti bulan bintang dan lain-lain lagi.

”Shabi`un atau Shabi`ah merupakan satu kelompok keagamaan yang sudah ada sejak dulu dan hingga kini masih ada. Kelompok ini hidup di sebelah utara Iraq, yakni Harran. Sebahagian mereka ada yang pindah ke Baghdad dan daerah lainnya pada masa Abbasiyah I. Di antara mereka ada juga yang memeluk Islam.

Dikatakan kaum Shabi`un ini memberi perhatian besar terhadap ilmu alam. Mereka menukilkan banyak ilmu pengetahuan dari peninggalan Yunani dan Suryani ke dalam bahasa Arab. Sekarang ini, jumlah mereka tinggal sedikit di Kota Harran, Iraq. Akidah mereka ini, diliputi oleh sesuatu yang sangat dirahsiakan sebab mereka khawatir akidah itu akan bergeser dan berubah seiring dengan berjalannya waktu.

Dan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah ketika membantah ahlul mantiq beliau berkata: “Ash Shabi’ah itu ada bermacam-macam aliran, diantara mereka ada yang gemar mengubah-ubah dan mengganti ajaran agama”.

Agama Ash Shabi’ah menyakini kenabian Yahya ‘alaihissalam. Namun diantara penganut Ash Shabi’ah ada firqah yang gemar mengubah-ubah dan mengganti ajaran agama. Mereka juga musyrik dalam aqidahnya. Mereka mengagungkan bintang-bintang. Diantara mereka ada yang juga yang menyembah Malaikat, mereka berdoa kepada bintang-bintang dan benda langit. Mereka juga mengagungkan arah Kutub Utara.

مَنْ آمَنَ بِاللهِ

Sesiapa lagi yang beriman kepada Allah;

Bagi Allah, semua golongan itu sama sahaja. Bukan penting dari kumpulan mana pun datangnya mereka. Walaupun bukan dari golongan yang empat ini pun, kalau mereka beriman dan beramal soleh, mereka akan dapat pahala. Yang penting adalah beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dua iman ini adalah sebagai wakil kepada semua jenis iman. Memang ada lagi iman-iman yang lain tapi disebut dua sahaja yang utama.

Orang-orang selain dari Islam juga ada kata mereka percaya kepada Allah juga. Tapi adakah kepercayaan mereka itu diterima? Tidak, kerana pemahaman mereka tentang Allah tidak sama seperti yang Allah hendak. Contohnya, ada yang percaya Tuhan ada anak. Maka itu adalah faham yang salah. Oleh itu, walaupun mereka kata mereka percaya dengan Allah, tapi kerana fahaman mereka salah, fahaman mereka itu tidak diterima.

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat;

Ada juga orang-orang kafir percaya kepada hari akhirat. Tapi kepercayaan mereka lain dengan apa yang Islam faham. Lain dengan apa yang Allah kehendaki. Maka kepercayaan mereka tentang hari akhirat pun tidak boleh diterima.

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan berbuat amal soleh;

Dan satu syarat lagi, kena buat amal soleh. Iaitu amalan yang ikut kepada syariat masing-masing. Kalau umat Nabi Musa, maknanya kena beramal dengan Taurat sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Kalau zaman Nabi Isa, kena ikut cara Nabi Isa beramal. Kalau zaman sekarang, kena ikut cara Nabi Muhammad. Tidak kira asalnya dia agama apapun. Apabila Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, semua syariat lain terbatal.

Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh? Amal soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah dan Rasul. Bukan amalan reka sendiri. Bukan amalan bidaah – walaupun ‘bidaah hasanah’ seperti dakwaan sesetengah golongan kita. Kepercayaan mereka tentang amal soleh adalah salah sama sekali kerana mereka tidak belajar. Atau mereka belajar dengan guru yang tidak berpegang dengan ajaran Sunnah.

Jadi ada tiga kriteria yang disebutkan dalam ayat ini:

1. Beriman kepada Allah

2. Beriman kepada Hari Akhirat

3. Beramal dari amalan yang soleh.

Susunan agama adalah begini: kalau kita percaya kepada Allah, maka kita akan percaya kepada Hari Akhirat. Kalau kita percaya kepada Hari Akhirat, maka kita akan senang untuk beramal soleh.

Maka, kalau kita tidak beramal soleh, bermakna kita sebenarnya tidak percaya kepada Hari Akhirat. Dan kalau kita tidak percaya kepada Hari Akhirat, bermakna kita tidak percaya kepada Allah.

Kalau kita percaya adanya Tuhan, tentulah kita akan percaya bahawa Tuhan itu adalah sempurna. Tentulah Tuhan itu Maha Adil. Lihatlah dunia kita sekarang, adakah ianya adil? Tentu tidak. Contohnya, banyak manusia yang telah berbuat kerosakan tapi mereka terselamat di dunia dari terkena hukum. Adakah ini adil? Tentu tidak.

Jadi kalau kita percaya bahawa Tuhan itu adil, maka kita akan percaya bahawa makhluk di dunia ini akan diadili di suatu masa nanti selepas kematian mereka – Hari Akhirat. Semua makhluk akan dibalas bertepatan dengan perbuatan mereka di dunia. Maka ini adalah dalil adanya akhirat nanti dimana keadilan sebenarnya akan ditegakkan.

Kalau kita sudah percaya tentang adanya Hari Akhirat, tentunya kita hendak selamat di sana bukan? Maka tentulah kita akan beramal dengan amalan yang soleh.

Walaupun ayat ini tidak menyebut beriman kepada Rasul, tapi mereka yang tak percaya kepada ayat-ayat Allah bermakna mereka tidak percaya kepada Rasul. Kerana Rasul lah yang membawa ayat-ayat dari Allah. Bagaimana mungkin kita boleh percaya kepada ayat-ayat Allah tanpa terlebih dahulu percaya kepada Nabi?

Ada juga yang menggunakan ayat ini dengan mengatakan bahawa mereka yang telah melakukan tiga perkara itu – beriman dengan Allah, Hari Akhirat dan beramal soleh – akan masuk syurga. Ini juga adalah pendapat yang salah. Kerana banyak lagi yang kita kena buat, bukan tiga perkara ini sahaja.

Allah telah sebut di dalam ayat yang lain, bagaimana Allah telah menempelak mereka yang memegang sebahagian dari Kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita sebenarnya kena memegang keseluruhan dari Kitab Qur’an ini. Tidak boleh ambil sedikit-sedikit sahaja. Tidak boleh beramal dengan sebahagian sahaja.

Kita kena amalkan semuanya sekali. Jadi, jangan baca ayat-ayat ini sahaja. Jangan petik ayat ini sahaja dan jadikan sebagai pegangan pula dan tidak lihat ayat-ayat yang lain. Ini adalah kekeliruan yang banyak terjadi. Ramai yang baca satu-satu ayat tapi terus buat konklusi yang salah.

Kerana ada yang kata berdasarkan ayat ini, maka orang Yahudi, Nasara dan Sabean pun boleh masuk syurga. Ini adalah konklusi yang salah kerana tidak melihat ayat-ayat yang lain. Sebab itu agama ini untuk difahami kena dibaca dengan ayat-ayat yang lain juga – kena baca semua sekali ayat Qur’an 30 juzuk, baru dapat pemahaman yang penuh.

فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ

maka bagi mereka pahala dari sisi Tuhan mereka

Allah tidak memandang kepada keturunan dan bangsa. Kalau mereka melakukan kebaikan, Allah akan balas dengan pahala dan kebaikan.

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan bagi mereka tidak ada rasa takut atas mereka

Ini merujuk kepada keadaan mereka di akhirat kelak. Mereka tidak akan takut menghadapi Hari Akhirat.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidak ada dukacita;

Mereka tidak akan berasa dukacita nak tinggalkan dunia kerana mereka sedang menuju kepada tempat lebih baik dari dunia. Memang manusia selalunya bersedih untuk meninggalkan dunia. Tetapi mengenangkan yang dia akan pergi ke syurga, mereka akan rasa senang hati nak tinggalkan dunia ini.

Mereka juga tidak akan bersedih walaupun kalau suami mereka masuk neraka, isteri mereka masuk neraka, atau adik beradik, ibubapa mereka. Ini adalah kerana Syurga adalah tempat menikmati nikmat dari Allah. Kalau kita teringat tentang ahli keluarga kita yang tidak masuk syurga, tentulah tidak sempurna nikmat itu, kerana ada kesedihan dalam hati. Maka, Allah akan lupakan mereka dari dalam fikiran kita supaya kita boleh menikmati kesenangan di syurga.

Bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang orang Yahudi dan Nasrani akan masuk syurga. Ia mengatakan bahawa walaupun mereka dulunya adalah bukan beragama Islam, tapi apabila mereka masuk Islam dan melakukan amal soleh, mereka juga akan masuk syurga. Tapi mereka hendaklah masuk Islam dahulu.

Jangan salah faham dengan ayat ini. Sebab ada yang salah faham sampai ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani juga boleh masuk syurga. Itu salah faham dengan ayat Qur’an kerana tidak belajar dan baca faham sendiri sahaja. Itulah bahayanya kalau faham Qur’an dan Hadis tidak sama dengan faham sahabat dan salafus soleh.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa mereka yang berada sebelum zaman Nabi Muhammad pun akan masuk syurga juga kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria itu. Iaitu mereka-mereka yang beragama Yahudi, Nasrani dan Sabean sebelum kedatangan Nabi Muhammad juga akan masuk syurga jikalau mereka beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal soleh. Dan jika mereka menjalankan tuntutan agama mereka. Kerana sebelum kedatangan Nabi Muhammad, syariat mereka adalah mengikut Nabi-nabi mereka.

Bukanlah pemahaman kita macam faham Kristian sekarang. Kristian kata Nabi Isa mati untuk menghapuskan dosa mereka. Mereka kata sesiapa yang menerima Nabi Isa sebagai ‘Anak Tuhan’ akan dibersihkan mereka dari dosa mereka.

Tapi apabila ditanya kepada mereka, bagaimana dengan orang-orang yang lahir sebelum Nabi Isa lahir? Kasihanlah mereka sebab mereka tak sempat nak bertemu dengan Nabi Isa. Mereka kenal Nabi Isa pun tidak, macam mana mereka nak mengaku baginda anak Tuhan? Orang-orang Kristian bungkam tidak dapat jawab soalan ini. Memang kalau reka akidah baru, takkan dapat mempertahankannya.

Dalam ayat ini, Allah hendak mengatakan orang yang baik sebelum Nabi Muhammad datang pun ada peluang untuk masuk syurga juga asalkan mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi mereka. Bukanlah hanya orang yang datang selepas Nabi Muhammad sahaja yang akan masuk syurga. Kita tidak akan ada masalah nak jawap macam orang Kristian yang tidak dapat jawab soalan mudah itu.

Jadi, ayat ini adalah penutup kepada bahagian pertama tentang orang-orang Yahudi. Allah hendak beritahu: segala sifat buruk yang kamu lakukan dulu, Allah marah bukan kerana keturunan kamu. Kalau kamu beriman dan beramal soleh, kamu juga akan mendapat kebaikan yang dijanjikan Allah.


Ayat 63: Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah.

Mereka itu ada perangai buruk yang Allah nak ceritakan kepada semua. Allah nak ceritakan pertamanya kepada orang Arab Madinah. Kerana merekalah yang mula-mula terima Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu takkan menceritakan kesilapan tok nenek mereka.

Oleh kerana Arab Madinah tak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah bongkarkan kisah mereka. Sesudah mereka dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu.

Kalau tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.

1. Tawalli anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum

2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tapi mereka yang susahkan.

3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tapi hari Sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.

Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba itu haram. Tapi dengan helah yang dilakukan, riba yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama sudah jadi lain (bunga seolah-oleh boleh diwangikan seperti bunga).

Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Dan begitu juga ada ulama dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

Sebagai contoh, Majlis Tahlil adalah bidaah kerana Nabi tidak pernah buat dan banyak kesalahan di dalam majlis itu. Tapi ada tok guru yang bagi hujah ‘murtabak’. Dia kata tepung boleh makan, telur boleh makan, air boleh makan, bawang boleh makan. Maka kalau digaulkan semua sekali jadi murtabak, selalu sahaja dimakan.

Jadi dia beri hujah karut: dalam Majlis Tahlil ada bacaan ayat Qur’an, ada zikir, ada doa. Semua benda ini boleh diamalkan. Cuma kalau digaulkan sekali dalam satu majlis, apa salahnya? Inilah hujah seperti yang digunakan oleh Yahudi, menggunakan helah dalam agama.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [O Children of Israel, to abide by the Torah] and We raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that perhaps you may become righteous.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

 

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama mereka iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan. Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan Qur’an. Ianya untuk mengingatkan mereka yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tapi kenapa Allah mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu. Kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka. Maka mereka memang tahu apa yang telah berlaku.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Sebab itulah Allah tekankan dalam ayat ini. Maka jangan ambil lewa tentang perjanjian itu. Penjelasan tentang apakah perjanjian itu ada dalam Surah al-A’raf. Seperti ada hubungan antara Surah Baqarah dan Surah A’raf kerana ada kaitan.

Peringatan kepada Bani Israil zaman Nabi Muhammad itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Jangan kita sangka yang perjanjian itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah letakkan dalam Qur’an, bermakna ianya juga untuk perhatian kita juga.

 

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tapi mereka telah engkar dan kerana itu Allah telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah nak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila sudah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur ini atas mereka untuk beri ancaman kepada mereka.

Bukit Thur telah diangkat atas mereka kerana mereka engkar kepada Nabi Musa. Mereka engkar apabila mereka kata 70 orang wakil yang mengikut Nabi Musa ke atas bukit itu telah bersekongkol dengan Nabi Musa. 70 orang wakil itu telah dimatikan kerana mereka telah minta untuk melihat Allah secara zahir. Selepas mereka dimatikan, mereka telah dihidupkan.

Selepas dihidupkan, tentulah mereka telah percaya kepada Nabi Musa. Bila mereka turun ke bawah bukit bertemu dengan kaum mereka, mereka telah menceritakan segalanya kepada Bani Israil yang di bawah. Tapi kaum mereka yang lain, masih tidak mahu percaya. Mereka kata wakil-wakil itu telah bersekongkol pula dengan Nabi Musa. Mereka kata Nabi Musa telah rasuah wakil-wakil itu.

Ada juga yang kata memang terangkat bukit Thursina atas kepada mereka terawang-awang. Dan ada yang kata ianya hanya bergegar dan jatuh sahaja.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

 

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main-main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tapi mereka tidak menerimanya dengan serius. Kerana itulah Allah telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Ia sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh.

Allah jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Kerana kalau sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian. Dan kerana puak Yahudi itu memang degil, maka Allah kena gunakan kekerasan.

 

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Arahan untuk ‘ingat’ di sini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Jangan culas belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat.

Dan bukan sahaja belajar, tapi lepas belajar, kena mengajar dan sampaikan kepada orang lain. Dan kena amalkan yang telah dipelajari itu. Kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tapi kena juga ingatkan kepada orang lain juga.

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar tafsir Qur’an juga. Bukan hanya mengajar ‘baca’ Quran, tapi mengajar tafsir Qur’an. Sekarang orang Melayu rata-rata menjaga bacaan Qur’an mereka, sampai ada yang masuk kelas Tajwid untuk orang dewasa. Tapi mereka masih tidak masuk kelas belajar tafsir Qur’an untuk memahami apakah yang Allah sampaikan dalam Qur’an. Ini amat pelik: belajar baca tapi tak belajar bagaimana nak faham apa yang dibaca.

 

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah kata ‘mudah-mudahan’, ianya bermaksud: pasti. Maknanya, kalau kita pegang Qur’an dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa. Ini kerana apabila kita mengajar, kita akan selalu diingatkan dengan ajaran dalam Qur’an itu, maka mudah-mudahan akan membawa orang yang mengajar itu kepada ketaqwaan.


 

Ayat 64:

ثُمَّ تَوَلَّيتُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۖ فَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ لَكُنتُم مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

Then you turned away after that. And if not for the favor of Allah upon you and His mercy, you would have been among the losers.

Malay

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kemudian kamu berpaling juga selepas perjanjian itu;

Kerana sudah diangkat Bukit Thur atas mereka, maka mereka bersetuju untuk beramal dengan kitab Taurat kerana ketakutan melihat apa yang Allah ‎ﷻ buat itu. Dan kerana mereka telah setuju, Allah ‎ﷻ tidak hempap mereka dengannya. Tetapi selepas itu mereka tetap berpaling dari mengamalkannya.

Kedua-dua golongan dari Bani Israil berpaling dari perjanjian itu: yang sezaman dengan Nabi Musa عليه السلام dan Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad ﷺ. Kita kena ingat, walaupun perjanjian itu tidak diambil dengan mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad ﷺ, tetapi mereka tahu tentang perjanjian itu. Dan mereka tertakluk juga dengan perjanjian itu.

Dan jangan lupa yang mereka sebenarnya kenal Nabi Muhammad ﷺ sebenarnya. Mereka tahu Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul yang sebenarnya. Namun mereka masih lagi berpaling, bukan kerana apa tetapi hanya kerana degil sahaja.

 

فَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ

Kalau tidaklah kerana kurnian Allah ke atas kamu;

Kurnia yang dimaksudkan adalah melambatkan dijatuhkan azab. Apabila berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ dan derhaka kepada Allah ‎ﷻ, namun Allah ‎ﷻ tidak matikan terus, tidak terus berikan azab kepada mereka. Allah ‎ﷻ biarkan sahaja dahulu. Itu adalah kurnia sebab masih memberikan peluang kepada kita untuk bertaubat.

Bukanlah bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak terus berikan azab itu kerana Allah ‎ﷻ redha. Namun ada juga dari masyarakat kita yang berjata, Tuhan berkenan dengan perbuatan salah yang mereka buat itu, sebab itu tidak diberikan azab. Mereka menggunakan alasan – kalau Allah ‎ﷻ tidak suka, tentu Allah ‎ﷻ sudah berikan azab kepada mereka. Padahal, sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak berikan azab terus kerana Allah ‎ﷻ masih memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan bertaubat.

Allah ‎ﷻ ada juga berikan azab sedikit-sedikit kepada mereka. Tetapi Allah ‎ﷻ tidak berikan azab yang sampai menghapuskan terus keturunan mereka seperti yang terjadi kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Perkataan فَضْلُ bermaksud sesuatu pemberian yang lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jikalau seseorang minta satu benda, tetapi kita berikannya tiga benda. Memang Allah ‎ﷻ banyak memberi kurniaan yang berlebihan kepada kita.

Kurniaan Allah ‎ﷻ kepada Yahudi adalah mereka telah diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka juga telah diberikan Rasul dan Nabi yang banyak. Jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada mereka, kalau tidak kerana kurniaan-Nya kepada mereka, maka mereka akan terus menjadi orang yang sesat. Maka mereka kenalah ikut Nabi Muhammad ﷺ.

وَرَحْمَتُهُ

dan suatu rahmat dariNya,

Rahmat itu maksudnya dikekalkan kitab Taurat dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak tarik nikmat Kitab itu dari mereka walaupun mereka telah tidak beramal dengannya. Macam kita sekarang, walaupun ramai tidak tahu apakah yang Qur’an sampaikan dan tidak beramal dengannya, tidaklah Allah ‎ﷻ tarik Qur’an ini dari kita lagi.

 

لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

nescaya kamu pasti akan jadi dari golongan yang paling rugi

Kalau tidak kerana rahmat Allah ‎ﷻ ke atas mereka, tentulah mereka akan rugi apabila mereka mati nanti; selagi tidak mati, maka tidak rugi lagi. Tunggulah azab di neraka kelak.


 

Ayat 65: Keburukan kedua mereka adalah helah mereka dalam syariat.

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خاسِئينَ

Sahih International

And you had already known about those who transgressed among you concerning the sabbath, and We said to them, “Be apes, despised.”

Malay

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ

Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas dari antara kamu;

Allah ‎ﷻ mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu jadi Allah ‎ﷻ hanya mengingatkan mereka sahaja. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.

 

فِي السَّبْتِ

pada hari Sabtu;

Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas zaman Nabi Musa عليه السلام. Ia berlaku di zaman Nabi Daud عليه السلام. Ia tentang satu golongan nelayan yang telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada dalam A’raf:163. Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak berbuat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat.

Larangan itu sampai memasak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka dan mereka kena tumpukan perhatian kepada ibadah sahaja. Alhamdulillah kita tidak dikenakan syariat seperti itu, walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tetapi kita masih lagi boleh membuat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.

Jadi, mereka memang tidak boleh membuat kerja pada hari Sabtu langsung. Tetapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari Sabtu. Mereka nampak ikan-ikan itu sampai tidak sabar kerana mereka nampak itu peluang untuk mendapat duit yang banyak.

Jadi, mereka telah membuat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, sebenarnya mereka hendak membuat helah dan menipu Allah ‎ﷻ.

Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah ‎ﷻ. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandingan. Kerana ia adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Namun ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tidak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Itu pun boleh dikira menipu Allah ‎ﷻ juga.

Sama juga alasan bagi mereka yang berkata: “Kami tak pergi Majlis Tahlil… kami pergi makan sahaja.” Sama sahaja dengan alasan yang diberikan oleh golongan Yahudi terdahulu.

 

فَقُلْنَا لَهُمْ

Maka Kami titah kepada mereka:

Ini adalah titah dalam bentuk azab kepada mereka. Ini adalah kerana kedegilan mereka dan sangkaan mereka yang mereka boleh membuat helah dengan Allah ‎ﷻ.

 

كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Jadilah kamu kera yang hina dina;

Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera selama tiga hari. Memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera. Selepas tiga hari, mereka mati.

Tetapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang menjadi kera itu telah mati selepas tiga hari. Badan mereka sahaja yang bertukar menjadi kera, tetapi akal mereka masih akal manusia.

Namun kisah ini tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah israiliyat. Sedangkan ada hadis Nabi ﷺ memberitahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup selama tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah ‎ﷻ jadikan sebegini supaya ia menjadi pengajaran kepada Yahudi yang lain.

Ada yang membuat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Yang pasti, mereka yang membuat salah itu telah menjadi kera. Tetapi khilaf di kalangan ulama’, sama ada mereka yang tengok tidak menegur itu bertukar menjadi kera juga ataupun tidak. Yang pasti, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Mereka dikatakan menjadi kera kerana isyarat kepada kera yang sejenis binatang yang tidak kisah tentang halal haram. Seperti mereka juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Mei 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s