Ayat 61: Ini adalah ayat yang menceritakan hukuman kedua yang diberikan kepada golongan Yahudi dahulu. Ayat ini merujuk kepada anak-anak mereka yang menyembah patung anak sapi. Mereka sekarang sudah dewasa. Sudah berkahwin dan beranak semasa mereka sesat di padang pasir. Ini adalah keadaan sebelum mereka masuk ke dalam Kota.
وَإِذ قُلتُم يَـٰمُوسَىٰ لَن نَّصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ وٰحِدٍ فَادعُ لَنا رَبَّكَ يُخرِج لَنا مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها ۖ قالَ أَتَستَبدِلونَ الَّذي هُوَ أَدنىٰ بِالَّذي هُوَ خَيرٌ ۚ اهبِطوا مِصرًا فَإِنَّ لَكُم مّا سَأَلتُم ۗ وَضُرِبَت عَلَيهِمُ الذِّلَّةُ وَالمَسكَنَةُ وَباءوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ ۗ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانوا يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَكانوا يَعتَدونَ
And [recall] when you said, “O Moses, we can never endure one [kind of] food. So call upon your Lord to bring forth for us from the earth its green herbs and its cucumbers and its garlic and its lentils and its onions.” [Moses] said, “Would you exchange what is better for what is less? Go into [any] settlement and indeed, you will have what you have asked.” And they were covered with humiliation and poverty and returned with anger from Allah [upon them]. That was because they [repeatedly] disbelieved in the signs of Allah and killed the prophets without right. That was because they disobeyed and were [habitually] transgressing.
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
وَإِذْ قُلْتُمْ
Dan ingatlah ketika kamu berkata:
‘Kamu’ di sini adalah anak cucu Bani Israil yang menyembah patung anak lembu itu. Iaitu mereka yang sedang sesat di padang pasir.
يَـٰمُوسَىٰ لَنْ نَّصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وٰحِدٍ
“Wahai Musa, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja”;
Mereka kata mereka sudah bosan dengan makanan dari langit. Mereka sudah tak suka asyik makan Manna dan Salwa sahaja sudah sekian lama. Mereka teringin nak makan makanan yang lain. Begitulah sifat manusia yang tidak tahu diuntung. Bayangkan, Allah beri makanan dari langit, tanpa mereka perlu susah payah nak cari. Hanya perlu ambil sahaja.
Cara mereka panggil Nabi Musa pun sudah kurang ajar. Mereka panggil pakai nama sahaja. Sedangkan mereka sepatutnya panggil dengan panggilan: Rasulullah, Nabi Allah dan seumpamanya.
فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ
“Maka tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;
Lihatlah bagaimana mereka kata ‘kepada Tuhan kamu’. Mereka tak kata pun “Tuhan kami”. Seolah-olah Allah itu bukan Tuhan mereka juga.
Mereka minta Nabi Musa yang doakan untuk mereka kerana mereka tahu, kalau mereka yang doa, mereka tidak akan dapat. Kerana mereka tahu mereka banyak dosa kepada Allah. Begitulah sifat meminta orang lain doakan kehendak sendiri sudah mengakar dari dulu lagi. Sepatutnya merekalah minta sendiri tapi nak minta orang lain juga doakan.
يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ
“Supaya Dia mengeluarkan untuk kami daripada tumbuhan-tumbuhan bumi”;
Mereka sekarang mahu makan makanan dari tanah pula. Sudah dapat makanan dari langit (Manna dan Salwa) mahu makanan dari tanah pula.
مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها
dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”
Makanan ini seperti nak buat Roti Nan pula. Sebenarnya, mereka tidak pernah lihat dan rasa pun benda-benda itu kerana mereka hanya hidup di padang pasir sahaja dari sejak mereka lahir. Mereka pun membesar di padang pasir tidak pernah bercucuk tanam dan pergi ke pasar mana-mana pun. Jadi mana mereka tahu tentang makanan-makanan itu?
Mereka mendengar cerita-cerita tentang makanan-makanan itu dari tok nenek mereka yang pernah memakan benda-benda itu. Maka, dari cerita-cerita yang mereka dengar itu, mereka teringin untuk makan segala makanan-makanan itu.
Atau mungkin memang mereka adalah orang-orang yang pernah tinggal di Mesir dulu. Iaitu semasa mereka ditindas oleh Firaun. Mereka rindukan kehidupan mereka semasa di Mesir. Walaupun mereka dulu ditindas, tiada kuasa dan diperah oleh Firaun, tapi mereka dapat rasa makanan sebegitu. Apabila mereka meminta makanan yang mereka biasa makan semasa di Mesir, itu menunjukkan mereka rindu kepada kehidupan yang dulu.
Katakanlah ada orang yang pernah tinggal di penjara dan dia kata dia rindu makanan penjara, dia bukan rindu makanan penjara sebenarnya. Tapi dia rindu kehidupan semasa di penjara. Kerana bila duduk penjara, tidak payah fikir lagi kerana semua telah disediakan.
Mereka tidak menghargai segala pemberian yang Allah berikan kepada mereka dari Manna dan Salwa itu. Mereka lebih inginkan kehidupan semasa mereka ditindas oleh Firaun dulu. Mereka tidak menghargai bagaimana Allah menyelamatkan mereka dan memerdekakan mereka dari cengkaman Firaun. Apakah mereka hadapi semasa mereka di Mesir dulu:
1. Mereka dimalukan. Kehidupan sebagai hamba abdi memang amat memalukan. Apabila mereka terpaksa menghambakan diri kepada selain dari Allah adalah kehidupan tidak bermakna.
2. Kelemahan. Tidak ada kuasa langsung. Mereka tidak dapat membuat keputusan langsung tentang diri mereka dan negara mereka sendiri.
3. Penindasan. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka atau keluarga mereka dari ditindas. Keluarga Firaun telah banyak membunuh, merogol dan memalukan Bani Israil.
Walaupun dengan semua kelemahan-kelemahan itu, mereka masih lagi mahukan kehidupan sebegitu. Kerana pada mereka, kehidupan seperti itu lebih mudah. Macam orang yang sudah biasa duduk dalam penjara, pada dia itulah kehidupan yang mudah.
قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ
Musa berkata: “Apakah kamu nak ganti benda yang rendah dengan sesuatu yang lebih baik?”;
Nabi Musa menempelak kaumnya dalam ayat ini. Allah telah beri mereka makanan dari langit tapi mereka nak ganti dengan makanan yang lain. Padahal mereka bukan pernah makan pun makanan-makanan yang mereka minta itu.
Nabi Musa tak sampaikan permintaan mereka itu kepada Allah kerana itu adalah permintaan yang mengarut. Sebaliknya Nabi Musa عليه السلام menegur dan mengutuk mereka. Juga boleh dikatakan baginda bertanya dalam nada kehairanan.
Tentulah makanan Manna dan Salwa itu lebih tinggi dan lebih baik lagi kerana ianya datang dari Allah. Kalaupun ianya tidak sedap, tapi ia masih lagi lebih tinggi kerana ianya adalah makanan dari langit. Ianya adalah makanan lambang kemerdekaan.
اهْبِطُوا مِصْرًا
Musa berkata: “Pergilah kamu ke bandar”;
Perkataan اهْبِطُوا yang digunakan bermaksud ‘turun dari tempat tinggi ke tempat rendah’. Perkataan yang sama digunakan oleh Allah apabila memberi arahan kepada Adam untuk turun ke dunia (Ayat 36). Bermakna, Nabi Musa nak beritahu mereka bahawa mereka sebenarnya minta turun dari kedudukan yang tinggi ke kedudukan yang rendah.
Perkataan مِصْرًا dalam ayat ini bukanlah bermakna ‘Negeri Mesir’ tapi bermaksud kota lain. Kalau Negeri Mesir, perkataan yang digunakan adalah ‘Misra’, bukan ‘misran’ seperti dalam ayat ini (dengan tanwin). Nabi Musa menggunakan perkataan yang hampir sama dengan ‘Mesir’ sebagai cara untuk perli mereka. Baginda nak kata bahawa apa yang mereka cari itu seperti apa yang mereka dapat dulu di Negeri Mesir.
Nabi Musa عليه السلام suruh mereka pergilah cari di pekan-pekan dan beli di pasar-pasar yang ada di sana. Sebab makanan yang mereka minta itu makanan biasa sahaja yang boleh didapati di mana-mana. Sedangkan yang mereka telah dapat dari Allah itu adalah makanan spesial.
Memang mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu tapi itu adalah kehidupan kehambaan semasa mereka di Mesir dulu. Nabi Musa seperti berkata kepada mereka: “pergilah kamu kepada negara Mesir yang lain pula”. Pergilah kamu kembali kepada kehidupan penuh kehambaan kembali. Nabi Musa perli mereka: kamu nak duduk dalam kehambaan lagikah?
Penggunaan perkataan di dalam Al-Qur’an memang mengandungi makna yang tinggi. Padahal kalau nak gunakan maksud ‘pekan’, ‘bandar’, ‘tempat tinggal’, ada lagi kalimah lain yang boleh digunakan seperti baladan, qaryatan atau ardan. Tapi Allah gunakan kalimah misran yang berbunyi lebih kurang sama dengan Mesir.
Ataupun maksud baginda: Kalau nak juga, kamu pergilah ke negeri lain. Dan negeri yang dimaksudkan adalah Palestine. Nabi Musa kata yang baginda tidak akan doa kepada Allah apa yang mereka minta itu. Cuma Nabi Musa arahkan sahaja mereka untuk pergi ke Palestin mengikut wahyu dari Allah. Kalau mereka buat seperti yang diarahkan, maka mereka akan dapat makanan-makanan yang mereka minta itu. Tapi kena usaha untuk takluk negeri Palestin itu dahulu.
Dan ada juga tafsir lain yang mengatakan yang ‘misran’ yang dimaksudkan adalah negeri lain, bukan bermaksud Palestin. Maknanya mungkin ada tempat yang memang bernama Misran.
فَإِنَّ لَكُمْ مَّا سَأَلْتُمْ
“Di situ, kamu akan dapat apa yang kamu minta itu”;
Kerana mereka hendakkan makanan-makanan itulah yang menyebabkan mereka masuk juga ke dalam kota itu. Mereka kena usaha berperang dengan puak yang ada dalam BaitulMaqdis itu dahulu.
Antara pengajaran yang kita boleh dapat dari ayat ini adalah membandingkan pemberian Allah dengan kemewahan dunia. Apa yang Allah telah beri itu adalah baik dan jangan mendambakan perkara yang kita tidak dapat. Belajarlah meredhai apa yang kita ada.
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ
Dan ditimpa ke atas mereka suatu kehinaan;
Oleh kerana mereka tolak apa yang Tuhan beri dan mahukan benda yang lain, maka Allah timpakan ke atas mereka kehinaan. Inilah hukuman seterusnya yang dimaksudkan. Kehinaan yang mereka terima adalah manusia tidak pandang mulia kepada bangsa Yahudi dari dulu sampai sekarang. Iaitu mereka menjadi bangsa yang tidak dihargai dan dihormati.
Inilah pada pandangan kaca mata manusia kepada mereka pada zaman sekarang pun. Sentiasa mereka terpaksa menumpang tempat orang lain. Satu dunia kutuk mereka tapi mereka buat biasa sahaja. Walaupun mereka adalah satu bangsa yang amat cerdik, tapi mereka dipandang hina oleh seluruh penduduk dunia. Penduduk dunia tidak percaya kepada mereka.
Yahudi zaman Nabi Musa itu minta makanan-makanan yang mereka pernah dapat dulu di Mesir. Tapi dulu mereka duduk dalam kehinaan semasa di Mesir dulu kerana mereka jadi hamba kepada bangsa Qibti. Tapi kerana permintaan mereka yang tidak patut itu, mereka boleh dapat kehinaan lain pula.
وَالْمَسْكَنَةُ
dan kemiskinan;
Dan mereka hilang semangat (maskanah) untuk menghayati agama.
Boleh juga bermaksud kemiskinan atau kelemahan. Mereka terpaksa minta pertolongan orang lain walaupun mereka kaya. Contohnya sekarang, mereka kena minta tolong kepada Amerika dan British walaupun mereka kaya dan cerdik.
Kalau semasa di bawah zaman Khilafah Islamiah, mereka terhina dengan kena membayar jizyah untuk duduk di negara Islam.
Kehinaan dan kelemahan adalah apa yang mereka lalui semasa di Mesir di bawah penindasan Firaun dulu. Maka kerana mereka telah degil, maka Allah kembalikan mereka macam itu balik. Ini adalah kerana permintaan mereka yang tidak patut. Allah sudah keluarkan mereka dari kesusahan dulu semasa di Mesir, maka Allah kenakan balik kesusahan kepada mereka.
وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللهِ
Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.
Dan mereka akan kembali ke akhirat nanti dengan kemurkaan dari Allah. Apakah yang lebih teruk dari kemurkaan dari Allah? Dulu mereka ditindas oleh Firaun. Tapi sekarang mereka lagi teruk – mendapat kemurkaan dari Allah pula yang lebih teruk.
Dalam sejarah dunia, sepanjang zaman mereka telah ditindas oleh kerajaan Byzantines, Ethiopia, Assyrians, Rome dan banyak lagi. Allah menerangkan kenapakah mereka sampai jadi macam itu dalam bahagian ayat ini seterusnya:
ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ اللهِ
Yang demikian itu adalah kerana mereka dulu kufur dengan ayat-ayat Allah;
Lafaz ‘ayat’ dalam ayat ini boleh juga digunakan untuk membawa maksud mukjizat-mukjizat yang mereka telah banyak lihat. Walaupun mereka telah banyak melihat keajaiban mukjizat, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman.
وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ
Dan kerana mereka membunuh para-para Nabi tanpa alasan yang benar;
Jikalau nabi-nabi itu ada buat kesalahan seperti membunuh orang, barulah patut kalau nak bunuh mereka. Tapi tentulah tidak ada para Nabi berbuat begitu.
Antara Nabi yang mereka telah bunuh adalah Nabi Syuaib, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya. Mereka juga cuba membunuh Nabi Isa tapi Allah menyelamatkan Nabi Isa dan mengangkat baginda ke langit.
Bayangkan Yahudi sanggup membunuh Nabi-nabi mereka sendiri. Dan dosa membunuh nabi adalah sebesar-besar dosa. Begitu juga jikalau membunuh para penyeru tauhid. Dikatakan bangsa Yahudi telah membunuh beribu nabi mereka. Kalau bunuh orang biasa pun sudah dosa besar, apatah lagi kalau bunuh Nabi?
Kita perlu melihat apakah perbuatan Bani Israil itu kerana takut kalau kita pun mengikut juga perbuatan mereka. Kita hendaklah belajar dari kesilapan mereka. Nabi pernah kata bahawa ada antara orang Islam yang akan mengikut jejak langkah mereka.
Walaupun kita sudah tak boleh nak bunuh Nabi lagi kerana Nabi sudah tidak ada, tapi ada kerajaan yang membunuh ulama-ulama mereka yang tidak sebulu dengan pemerintahan mereka. Kalau tak bunuh pun ulama-ulama itu, banyak ulama-ulama yang mendapat layanan buruk dari kerajaan Islam. Termasuk juga ada ulama-ulama dan pendakwah yang dipenjarakan.
Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Bani Israil adalah orang Islam yang sesat. Begitulah kita sekarang. Ramai antara kita tidak tahu tentang agama kerana jahil dengan agama. Mereka sudah jadi macam Yahudi sebenarnya tanpa mereka sedari.
Kenapa mereka jadi begitu? Allah terangkan seterusnya:
ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ
Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas
Mereka jadi begitu kerana degil tidak mahu ikut nasihat. Mereka tidak mahu menerima hidayah dan petunjuk yang diberikan kepada mereka. Mereka nak buat ikut nafsu mereka sendiri. Mereka melanggar batas-batas yang Allah telah tetapkan kepada mereka.
Semua yang mereka lakukan itu berasal dari sifat mereka yang menderhakai – tidak buat apa yang disuruh.
Dan mereka selalu buat perkara yang dilarang. Yang disuruh mereka tak buat, yang dilarang pula yang mereka buat. Lama kelamaan, Nabi mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh. Lama kelamaan, ayat Allah pun mereka sanggup putar belit.
Inilah perangai Yahudi sebenar yang Allah sampaikan kepada bangsa Arab yang mulanya sangka mereka itu hebat, tapi rupanya mereka itu amat teruk. Allah nak puak Arab Madinah berhenti dari menjadikan Yahudi itu sebagai tempat rujukan.
Habis Ruku’ 7 dari 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.
Kemaskini: 15 November 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain