Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 – 48 (Minta tolong dengan solat dan sabar)

Ayat 43: Ayat ini adalah sebagai rawatan/penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan seperti yang disebut dalam ayat-ayat sebelum ini.

Dalam agama, kalau tidak mencintai Allah ‎ﷻ tetapi sebaliknya lebih mencintai dunia, maka kita tidak akan ke mana-mana. Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Bila sudah ada hubungan rapat, barulah senang untuk menerima segala arahan dari Allah ‎ﷻ. Kalau jauh dengan Allah ‎ﷻ, maka akan ada yang sanggup untuk meninggalkan arahan. Kalau rapat dengan Allah ‎ﷻ, tentu tidak berani untuk meninggalkan arahan-Nya.

Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ ingin merawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ia adalah arahan daripada ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Sahih International

And establish prayer and give zakah and bow with those who bow [in worship and obedience].

Malay

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Kenalah memperbaiki sifat hubbul jah (cinta kepada kedudukan) yang ada di dalam diri mereka. Caranya adalah dengan menghinakan diri di hadapan Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Mengaku lah hina dina di hadapan Allah ‎ﷻ. Maka, falsafah solat itu adalah: meninggikan Allah ‎ﷻ dan menghinakan diri kita. Lihatlah kita merendahkan kepala kita dalam rukuk sama tinggi dengan binatang yang berkaki empat. Kemudian dalam sujud, kita merendahkan lagi kepala kita sehingga ke tanah, lagi rendah dari binatang. Maka itu isyarat menghinakan diri kita.

Maka kenalah bersungguh-sungguh dalam melakukannya. Kalau tidak faham konsep ini, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah ‎ﷻ itu tinggi.

Maka kerana kepentingan solat itu, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah ‎ﷻ dengan melakukan solat. Kalau sebelum ini mereka telah pernah mencampur adukkan yang haq dan batil, maka berhentilah dari berbuat kesalahan itu. Hentikan berbuat benda yang salah dan buatlah benda yang benar, iaitu solat.

Allah ‎ﷻ memberikan arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat. Kerana ia adalah amalan yang boleh merapatkan hubungan antara hamba dengan Allah ‎ﷻ. Solat adalah ibadat terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Kerana apabila kita sudah takbir, kita tidak dibenarkan membuat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah ‎ﷻ. Maka kita hanya bermunajat kepada Allah ‎ﷻ sahaja pada waktu itu.

Tidak sama dengan ibadat Puasa, Haji dan sebagainya – masih boleh membuat macam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada yang bercakap dalam telefon lagi, masih ambil gambar lagi. Dan tawaf itu masih lagi sah. Tetapi tidak dengan solat – hendaklah tawajuh kepada Allah ‎ﷻ dari mula sampai habis.

Sungguh malang kalau dalam solat tetapi tidak mengingati Allah ‎ﷻ – ini mafhum dari ayat Qur’an. Oleh itu, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah ‎ﷻ, tidak ada amalan yang sehebat solat.

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

Dan mengeluarkan zakat;

Dan tunaikanlah zakat. Ini adalah titah supaya tidak menzalimi orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah ‎ﷻ iaitu ibadat. Itulah beza di antara ibadat dan adat.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda). Kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam. Maka kenalah menunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu.

Maka kenalah infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi dan mengambil pahala bagi kita. Kita telah mengambil harta dari Allah ‎ﷻ dan kita kenalah memberikannya kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain di dalam harta kita. Ia bukan sepenuhnya harta kita. Allah ‎ﷻ memberikan kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah kasihan belas kepada orang lain, kerana kita berikan harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayangkan harta kita, tetapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga.

Kalau tidak ada belas kasihan terhadap orang lain, maka tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itu, Allah ‎ﷻ mensyariatkan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kita kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan berbuat zalim atau menyusahkan orang lain. Iaitu jangan disebabkan kita, orang lain mendapat susah pula. Yang paling baik adalah kita susah untuk senangkan orang lain. Dan di tengah-tengah, kita sama-sama senang. Dan paling kurang kita kena lakukan adalah dengan mengeluarkan zakat.

 

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Dalam ibadat mereka pun ada mendirikan solat juga sebenarnya, cuma sebab sudah banyak perubahan, maka ramai dari mereka yang sudah tidak solat lagi.

Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberikan peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ sebab baginda adalah Rasul mereka juga. Maka sertailah mereka yang rukuk, iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kenalah rukuk bersama-sama dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat merasakan yang diri kita sama dengan orang lain. Walaupun sudah menjadi seorang khalifah sekalipun, namun tidak meninggi diri kerana masih solat bersama dengan orang lain juga.

Seperti khalifah ar Raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh manusia biasa. Ini adalah kerana mereka menganggapkan diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu dari merasa diri lebih dari orang lain.

Allah ‎ﷻ berkata hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk. Ini maksudnya kenalah solat berjemaah dengan orang lain. Jangan duduk seorang diri tetapi hendaklah bermasyarakat. Dan kalau bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali.

Ia sesuatu yang perlu dilakukan terlebih dahulu daripada perkara-perkara ibadat yang lain. Kalau tidak baik bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar menjadi baik. Jadi, kenalah memulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan mengikut imam. Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan menjadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Inilah cara Allah ‎ﷻ mengajar manusia.

Dalam amalan Yahudi, tidak ada amalan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Jadi, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sudah kena mengikut syariat Nabi Muhammad ﷺ. Barulah mereka akan selamat kalau mereka berbuat begitu. Kalau duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan menjadi.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu hendaklah dibuat di masjid. Tidak boleh buat di rumah. Tetapi malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak dan isteri. Mereka berkata buat macam itu boleh dapat pahala 27 darjat. Padahal, orang lelaki untuk mendapat 27 darjat itu kenalah solat berjemaah di masjid. Tetapi para wanita, solatnya di rumah sahaja. Kepada orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri. Iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah ‎ﷻ tidak adil dengan memberikan kelebihan kepada perempuan? Tidak sama sekali. Keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan menjaga anak dan sebagainya, maka Allah ‎ﷻ menggantikan kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit.

Mereka dapat pahala dengan membuat kerja rumah dan sebagainya. Tuhan itu Maha Adil. Namun itu adalah untuk perempuan. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.


 

Ayat 44: Satu lagi sifat Pendeta Yahudi

۞ أَتَأمُرونَ النّاسَ بِالبِرِّ وَتَنسَونَ أَنفُسَكُم وَأَنتُم تَتلونَ الكِتٰبَ ۚ أَفَلا تَعقِلونَ

Sahih International

Do you order righteousness of the people and forget yourselves while you recite the Scripture? Then will you not reason?

Malay

Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?

 

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ

Patutkah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan;

Iaitu mereka menyuruh orang lain belajar agama. Ini adalah ayat teguran kepada puak Yahudi. Sebelum itu kita kena faham perangai mereka. Ada kalangan puak Yahudi yang datang duduk mendengar ajaran dalam majlis Nabi Muhammad ﷺ. Tentulah mereka akan dengar tentang perkara-perkara baik yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Maka, selepas itu mereka akan pergi menceritakan apa yang mereka dengar kepada pendeta-pendeta mereka. Mereka tanya adakah benar apa yang diajar oleh Muhammad ﷺ itu? Pendeta mereka pun menjawab, memang benar apa yang Muhammad ﷺ ajar, tidak salah.

Maka, pengikut mereka pun bertanya, kalau Nabi Muhammad ﷺ itu betul, kenapa tidak ikut dia sahaja? Pendeta menjawab yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Nabi berbangsa Arab dan mereka adalah bangsa Yahudi jadi mereka tidak ikut kerana bukan Nabi mereka.

 

وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ

Tapi kamu lupa diri kamu sendiri;

Mereka suruh orang lain belajar, tetapi mereka sendiri tidak belajar. Mereka mengaku yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang rasul dan membawa ajaran yang benar. Mereka suruh orang lain mengikut Nabi Muhammad ﷺ tetapi mereka sendiri tidak mengikut Nabi Muhammad ﷺ.

Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka. Itulah sebabnya Allah ‎ﷻ menegur mereka. Mereka suruh orang lain ikut, tetapi mereka sendiri tidak ikut. Mereka tidak memikirkan keselamatan iman mereka sendiri.

Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Takut kita termasuk dalam golongan macam ini. Kita berikan nasihat kepada orang lain, tetapi kita sendiri tidak menjaga perbuatan kita. Contohnya, kita mungkin tetap dalam menjalankan ibadat sembahyang dan puasa, namun dalam masa yang sama, kita juga ada menipu orang lain.

Kita hanya melakukan perkara yang pada zahirnya nampak Islam, tetapi kita tidak membuat perkara-perkara lain yang disuruh oleh agama. Contohnya, mengambil rasuah. Berapa banyak negara Islam yang rakyatnya yang berpangkat mengambil rasuah? Kalau hendak cepat berurusan dengan kerajaan di negara Islam, kenalah bagi rasuah sikit, baru jalan kerja itu. Di negara kita ini pun banyak juga.

Walaupun kita beragama Islam, tetapi malangnya akhlak kita buruk. Inilah yang menyebabkan orang bukan Islam tidak memandang tinggi kepada agama Islam. Kepada mereka, kalau agama itu baik, tentulah orang yang beragama itu pun menjadi baik juga, bukan?

Jadi, kita kenalah ingat yang kita adalah duta kepada agama Islam. Tetapi malangnya kita menjadi duta yang teruk untuk Islam. Kerana akhlak kita yang buruk, orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Realiti ini kita terpaksa terima, walaupun pahit.

 

وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتٰبَ

sedangkan kamu baca Kitab;

Allah ‎ﷻ menegur lagi mereka. Sedangkan mereka itu membaca kitab Taurat, tetapi tidak mahu belajar dengan Nabi Muhammad. Mereka sebenarnya kaum yang telah diberikan Kitab Taurat, dan memang mereka baca kitab itu, oleh itu sepatutnya mereka tahu apakah kebenaran.

Tapi mereka telah salah fahaman. Mereka sangka mereka diamanahkan untuk jaga Taurat sahaja. Sedangkan anak murid mereka, mereka suruh pula pergi belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Maknanya, mereka pun tahu yang Islam itu adalah agama yang benar juga. Cuma mereka sangka, mereka sebagai pendeta yang tidak layak untuk menerima Islam.

Begitulah ada dalam kalangan orang-orang agama di negara kita ini. Mereka sepatutnya sudah tahu banyak tentang Islam, tetapi mereka masih tidak belajar tafsir Qur’an lagi. Kalau kita tanya kepada guru-guru itu, adakah elok kalau belajar tafsir, mereka akan kata elok. Tetapi mereka sendiri tidak belajar.

Maka, anak-anak murid mereka pun, apabila melihat guru mereka sendiri tidak mementingkan pembelajaran tafsir, mereka pun tidak mahu pergi belajar juga. Oleh itu, ayat ini ditujukan kepada guru-guru yang bersifat seperti pendeta Yahudi.

Macam kita juga, Allah ‎ﷻ telah takdirkan kita bernasib baik kerana kita ada Qur’an. Namun ramai antara kita tidak pakai ajaran yang ada dalam Qur’an pun. Padahal, dari kecil lagi kita telah diberitahu yang Qur’an ini adalah sumber pedoman kita. Tetapi sampai ke tua, sampai mati tidak belajar apakah yang disampaikan oleh Qur’an ini. Ini amat-amat menyedihkan. Tidak tahulah macam mana kita hendak jawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti.

Antara sebab kita tidak mengikuti ajaran dalam Qur’an adalah kerana kita sendiri tidak belajar apakah yang Qur’an suruh kita buat sebab kita tidak belajar tafsir. Padahal, tafsir ini wajib dipelajari. Kalau hanya membaca sahaja Qur’an tetapi tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Qur’an, bagaimana kita hendak beramal sebagaimana yang disarankan oleh Qur’an?

Ramai yang kata mereka baca terjemahan ayat-ayat Qur’an itu. Tetapi soalannya, adakah dengan membaca terjemahan itu sahaja, mereka sudah faham apakah yang hendak disampaikan oleh ayat-ayat Quran itu? Saya rasa tidak. Kerana kalau kita baca terjemahan pun, kita tidak faham kerana ia memerlukan penjelasan dari orang yang tahu tentang tafsir.

 

أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Tidakkah kamu memikirkan?

Allah ‎ﷻ menegur lagi golongan Yahudi itu: Tidakkah kamu memikirkan betapa teruknya kamu dan betapa jauhnya kamu dari kebenaran?

Perkataan ‘aqal’ dalam bahasa Arab asalnya adalah dari perkataan ‘ikat’. Iaitu orang Arab akan mengikat unta mereka supaya tidak lari. Dan tali itu pula ada yang diikat di kepala mereka apabila tidak digunakan. Maka, dari situ datang perkataan ‘aqal’. Iaitu keupayaan mengikat nafsu kita. Orang yang berakal akan berupaya untuk mengawal nafsu mereka. Orang yang tidak menggunakan akal akan mengikut sahaja kehendak nafsunya.

Mereka berfikir tanpa dipengaruhi oleh nafsu. Masalahnya kalau kita tidak dapat mengawal nafsu, tingkah laku kita bukan berdasarkan kepada fikiran yang waras, tetapi hasil dari ikutan nafsu kita. Orang yang tidak menggunakan akal, adalah mereka yang mengikut nafsu mereka.


 

Ayat 45: Ayat ini adalah sebagai penawar bagi kesalahan-kesalahan yang telah disebut di atas tadi.

Kenapa mereka boleh jadi sampai begitu? Kerana mereka mengejar keduniaan. Sebelum Nabi Muhammad ﷺ ‎datang, mereka mempunyai ramai anak murid dan ramai orang yang rujuk kepada mereka.

Tetapi kalau mereka sekarang kena belajar pula dengan Nabi ﷺ, masuk majlis Nabi ﷺ, tentulah mereka pula yang kena menjadi anak murid dan tidak ada yang datang belajar dengan mereka lagi. Mereka sudah tidak menjadi guru yang menjadi tempat rujukan lagi. Mereka tidak boleh terima kalau jadi macam itu. Mereka tidak bersedia untuk menjadi anak murid semula.

Ini adalah masalah dalam hati dan kenalah dirawat secepat mungkin masalah hati itu. Kenalah minta pertolongan dengan solat dan sabar. Sabarlah dengan kata-kata manusia yang mengejek mereka – kalau ada yang mengejek mereka dengan berkata: “Dulu jadi guru, sekarang jadi anak murid pula?”

Mintalah bantuan dengan Allah ‎ﷻ dengan sifat sabar, sebab sabar itu menerima seadanya dalam segala keadaan, apa sahaja kata-kata orang terhadap mereka atau perbuatan orang terhadap kita. Jangan pedulikan mereka.

 

وَاستَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلَوٰةِ ۚ وَإِنَّها لَكَبيرَةٌ إِلّا عَلَى الخٰشِعينَ

Sahih International

And seek help through patience and prayer, and indeed, it is difficult except for the humbly submissive [to Allah ]

Malay

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

 

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

Dan hendaklah kamu meminta pertolongan kepada Allah dengan bersabar;

Pertamanya, kita kenalah bersabar dengan apa yang terjadi kepada kita. Kita kenalah sedar yang apa-apa sahaja yang terjadi kepada kita adalah dalam taqdir Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah terima dengan redha dan rela.

Ada satu lagi sabar yang penting, iaitu sabar dalam belajar. Kerana belajar itu bukanlah sesuatu yang mudah. Berapa ramai yang mulanya bersemangat untuk belajar tetapi lama kelamaan mereka tidak sanggup lagi hendak meneruskan. Asal kelas penuh tetapi seorang demi seorang tidak datang kerana mereka sangka sehari dua belajar terus jadi pandai agaknya. Hendaklah kita bersabar dalam mempelajari agama ini sampai kita faham sungguh-sungguh apakah yang agama ini hendak dari kita.

Hendaklah kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk berikan kita kesanggupan untuk belajar. Kerana pembelajaran akan mengambil masa yang lama. Kalau kita tidak diberi kesanggupan itu, kita tidak sanggup untuk menempuhinya. Hendak datang kelas dan hendak faham pun memerlukan usaha dari kita.

Jadi kita kena minta dengan Allah ‎ﷻ. Kalau Allah ‎ﷻ tidak tolong kita dan memberi taufik kepada kita, tentulah kita hanyut. Mula-mula mungkin bersemangat, tetapi lama-lama layu. Ini biasa sahaja kita lihat. Ramai yang belajar ‘tidak habis’. Dan amat bahaya kalau kita tahu agama ini sedikit-sedikit sahaja. Kita kenalah mendalaminya. Belajarlah sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukan belajar untuk menjadi ustaz.

Perkataan اسْتَعِينُوا itu bermaksud ‘meminta pertolongan’. Lebih tepatnya lagi, ia bermaksud kita meminta pertolongan apabila kita tidak mampu melakukan sesuatu seorang diri. Tetapi semasa kita meminta pertolongan itu, kita juga melakukan usaha kita sendiri. Bukanlah kita meminta pertolongan kepada seseorang, tetapi kita tidak melakukan apa-apa pun.

Contohnya, kita meminta tolong orang untuk menukar tayar kereta kita yang pecah di jalanraya, takkan kita duduk dalam kereta sambil orang yang tolong kita itu sedang menukarkan tayar itu, bukan? Tentulah kita pun kenalah buat sama. Begitulah dalam kita meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Kita kenalah ada usaha kita juga. Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ telah membantu tentera Badr dengan menghantar malaikat untuk menolong mereka. Tetapi para sahabat tidak duduk diam menunggu sahaja malaikat yang berperang dengan orang kafir.

Pertolongan yang sebenarnya adalah dari Allah ‎ﷻ. Maka kita hendaklah bersabar dalam semua perkara. Kerana pertolongan Allah ‎ﷻ itu mungkin tidak serta merta.

Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah ‎ﷻ. Kerana Allah ‎ﷻ akan membantu kita, bukannya orang. Lambat laun Allah ‎ﷻ akan bantu kita. Kerana kalau kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah ‎ﷻ tidak bantu kerana kita sudah meletakkan pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada Allah ‎ﷻ. Maka pilih-pilihlah untuk menceritakan masalah kepada orang. Letakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَالصَّلَوٰةِ

Dan mendirikan bersembahyang;

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar kita cara untuk mendapatkan pertolongan, dan salah satunya adalah dengan melakukan solat.

Mintalah pertolongan kepada Allah ‎ﷻ dengan amalan solat. Kerana solat itu adalah amalan di mana kita memberitahu dan mengadu keadaan kita kepada Allah  ‎ﷻ. Waktu itu kita boleh luahkan segala perasaan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk memberikan kekuatan kepada kita. Allah ‎ﷻ tidak akan menghampakan permintaan hamba-Nya. Dia boleh meredakan keadaan buruk yang ada pada diri kita.

Allah ‎ﷻ beritahu kepada puak ahli Kitab, kalau mereka menghadapi masalah seperti yang disebutkan, maka mengadulah kepada Allah ‎ﷻ dengan sabar dan dengan solat.

 

وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ

Dan sesungguhnya ini adalah perkara yang besar;

Maksudnya, sabar dan solat itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Amat payah untuk sabar dalam belajar dan juga menjaga sembahyang. Kalau kita melihat solat itu sebagai satu ibadat biasa sahaja, maka ia akan menjadi susah. Tetapi kalau kita tahu bahawa dengan solat itu adalah cara untuk memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ, dan kita memang memerlukan pertolongan Allah ‎ﷻ dalam semua hal, maka kita akan rasa mudah untuk mendirikan solat. Kita akan tertunggu-tunggu untuk mengadu kepada Allah ‎ﷻ.

Satu pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan sukar itu adalah solat. Dan ada yang berpendapat meminta pertolongan itu pun sukar juga. Iaitu ada orang yang tidak nampak kepentingan dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ dalam setiap perkara.

Padahal, sepatutnya kita sentiasa kena berdoa dan mengharap bantuan kepada Allah ‎ﷻ. Memang kita kadang-kadang ada meminta tolong kepada orang lain, dan kita juga ada usaha kita juga, bukan? Tetapi sebelum kita berusaha dan sebelum kita meminta tolong kepada orang lain, kita kenalah meminta pertolongan kepada Allah ‎ﷻ terdahulu. Inilah adab kita dalam menguruskan hidup kita.

 

إِلَّا عَلَى الْخٰشِعِينَ

Melainkan kepada orang-orang yang takut patuh

Dan sifat sabar dan solat ini adalah sangat berat untuk diamalkan. Kecuali kepada mereka yang ada sifat ‘khusyuk’. Orang yang khusyuk sahaja yang boleh buat. Hanya orang sebegitu yang boleh sabar dan berdoa selepas solat dengan mudah.

Siapakah orang yang khusyuk? Orang yang sentiasa fikirkan akhirat. Dia tahu dan sedar yang dia akan dibalas segala perbuatannya di akhirat nanti. Maka hatinya sentiasa ingat dan fikir tentang akhirat. Hendak buat apa-apa sahaja, dia akan fikirkan tentang kesannya di akhirat. Maka, Allah ‎ﷻ jelaskan siapakah yang ada sifat khusyuk itu di dalam ayat seterusnya.

Khusyuk bermaksud orang yang takut dan patuh kepada Allah ‎ﷻ. Dia takut memikirkan apakah yang akan dihadapinya kelak di akhirat. Oleh itu, dia akan patuh kepada arahan Allah ‎ﷻ. Apabila dia takut dan patuh, maka dia akan menjadi orang yang khusyuk dalam sembahyang dan juga dalam belajar.

Dan kita kena takjub kepada Allah ‎ﷻ. Apabila kita berasa gerun dan takjub dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan mendapat khusyuk dalam solat. Tetapi kalau kita tidak berasa gerun berhadapan dengan Allah ‎ﷻ, maka kita akan berasa biasa sahaja solat itu.

Allah ‎ﷻ menjelaskan lagi siapakah mereka yang ada sifat khusyuk itu dalam ayat seterusnya.


 

Ayat 46: Allah ‎ﷻ memberitahu apakah definisi orang yang khusyuk. Begitulah Qur’an, mulanya akan diberitahu tentang sesuatu, kemudian di ayat yang lain akan diterangkan dengan lebih jelas lagi.

Maka dalam ayat ini kita dapat tahu apakah maksud khusyuk. Kalau pemahaman orang kita, mungkin khusyuk dalam solat itu adalah tidak sedar langsung apa yang terjadi di luar sampai kena gigit semut pun tidak terasa. Adakah begitu? Maka mari kita lihat definisi yang Allah ‎ﷻ sendiri beri.

الَّذينَ يَظُنّونَ أَنَّهُم مُّلاقو رَبِّهِم وَأَنَّهُم إِلَيهِ رٰجِعونَ

Sahih International

Who are certain that they will meet their Lord and that they will return to Him.

Malay

(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

 

الَّذِينَ يَظُنُّونَ

Orang-orang yang percaya dengan yakin;

Lafaz ‘dzan’ dalam ayat ini bermaksud ‘assume’ (menganggap), tetapi dalam masa yang sama, ia juga bermaksud ‘convinced’ – yakin.

 

أَنَّهُمْ مُّلَاقُو رَبِّهِمْ

bahawa sesungguhnya mereka akan berjumpa Tuhan mereka;

Mereka yakin dan sedar bahawa hakikat kehidupan ini, akhirnya akan dikembalikan untuk bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Kita ingat yang kita tidak kekal dalam dunia ini. Bila-bila masa sahaja kita boleh dimatikan oleh Allah ‎ﷻ. 

 

وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رٰجِعُونَ

Dan bahawasanya kepada Allah lah kembalian mereka semua;

Kita kena sentiasa ingat yang kita semua akan kembali bertemu Tuhan. Namun ramai antara kita menjalani kehidupan di dunia ini seolah-olah melupakan hakikat itu. Bagaikan tidak ingat pula untuk mati. 

Orang yang khusyuk adalah mereka yang sentiasa yakin yang mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka di akhirat. Apa sahaja yang terjadi sekarang di dunia adalah bersifat sementara sahaja. Kalau kita jumpa Tuhan nanti, semuanya akan menjadi ringan dan tidak ada apa-apa. Segala masalah itu akan dihilangkan. Mungkin masalah nampak besar semasa di dunia ini, tetapi ia tiada apa-apa di akhirat kelak.

Mereka tahu yang mereka akan dikembalikan kepada Tuhan untuk menerima balasan. Mereka akan menerima balasan baik dari kesabaran dan amalan mereka yang baik.

Maka tahulah kita sekarang inilah sifat khusyuk. Bukannya tidak sedar langsung apa yang terjadi semasa kita sedang solat. Itu cerita wali-wali yang entahkan benar ataupun tidak. Maka kalau begini sifat khusyuk, maka kita semua ada peluang untuk mendapat khusyuk di dalam solat.

Kalau hendak dijelaskan lagi sifat khusyuk, kita semua pernah ada sifat khusyuk ini (mungkin bukan dalam solat). Bayangkan seorang anak yang sedang main game. Dia terlalu khusyuk main sampai makan pun dia tidak ingat. Dan emaknya pun memanggil-manggilnya mengajak makan. Dia dengar emaknya memanggil tetapi dia lebih khusyuk bermain maka dia jawab: “Tunggu mak, sikit lagi saya nak habis, emak makan dulu”.

Maknanya, dia bukan khusyuk tidak dengar apa yang berlaku di sekelilingnya, tetapi dia tidak endahkan kerana dia lebihkan permainan game bodoh itu. Begitu jugalah kita dengan solat. Bukannya tidak dengar langsung apa berlaku, tetapi kita lebih mementingkan solat kita.


 

Ayat 47: Allah ‎ﷻ memperingatkan kepada Bani Israil zaman Nabi dan juga zaman sekarang, tentang segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Ayat 47 & 48 diberikan kepada Ahli Kitab supaya mereka kenangi nikmat Allah dan takutlah ancaman azab jika mengingkari ayat-ayat Allah.

يٰبَني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَنّي فَضَّلتُكُم عَلَى العٰلَمينَ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor that I have bestowed upon you and that I preferred you over the worlds.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).

 

يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ

Wahai Bani Israil,

Allah ‎ﷻ menyeru kepada semua sekali golongan bani Israil. Sekali lagi Allah ‎ﷻ memujuk mereka dengan memanggil mereka dengan gelaran yang dihormati.

 

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

Ingatlah tentang nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu;

Iaitu diberikan kepada bangsa mereka beribu-ribu Nabi dan rasul yang telah diutuskan kepada mereka. Mereka juga diberikan kecerdikan yang luar biasa. Dan rupa paras yang elok. Dan juga kekayaan yang berlimpah-ruah.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini bahawa Dia lah yang memberikan segala nikmat dan kelebihan itu kepada mereka. Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini kerana bangsa Bani Israil sangka yang mereka dapat segala kelebihan itu kerana mereka bangsa terpilih, bangsa yang lain dari bangsa lain.

Allah ‎ﷻ hendak kata yang fahaman itu tidak benar, bukan mereka ada kelebihan sendiri tetapi Allah ‎ﷻ yang pilih sendiri untuk berikan kepada mereka. Bukanlah mereka mendapat kelebihan itu kerana diri mereka tetapi kerana Allah ‎ﷻ yang pilih. Oleh kerana Allah ‎ﷻ yang pilih, maka Allah ‎ﷻ boleh sahaja mengambil balik kelebihan yang telah diberikan kepada mereka itu dan boleh diberikan kepada orang lain.

Allah ‎ﷻ mengulangi semula perkara pertama yang disebutkan sebelum ini dalam ayat 40, sebagai menambahkan galakan kepada puak Yahudi. Galakan ini diberikan supaya mereka cepat-cepat beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jangan lengahkan masa lagi.

 

وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعٰلَمِينَ

Dan Kami telah berikan kamu kurniaan yang lebih melebihi penduduk alam (pada zamannya);

Allah ‎ﷻ berkata: Aku telah melebihkan kamu melebihi penduduk alam zaman kamu dahulu. Kamu lebih mulia dari semua golongan dari segi keagamaan dan kekayaan. Oleh kerana kamu pernah jadi orang yang baik-baik, orang yang hebat-hebat, maka jangan pula hari ini kamu jadi orang yang ketinggalan.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat adalah bermaksud ‘dahulu’ (past tense). Dahulu memang mereka dilebihkan dari penduduk alam yang lain. Tetapi kerana mereka telah banyak melakukan kesalahan, sampai membunuh nabi-nabi mereka, Allah ‎ﷻ tukarkan kedudukan itu kepada orang Muslim.

Makna ayat ini memang wajib ditafsirkan berdasar pengertian tersebut, mengingat umat sekarang ini (umat Nabi Muhammad ﷺ) lebih utama daripada mereka, kerana berdasarkan firman Allah ‎ﷻ yang berkhitab kepada umat ini, iaitu:

كُنتُم خَيرَ أُمَّةٍ أُخرِجَت لِلنّاسِ تَأمُرونَ بِالمَعروفِ وَتَنهَونَ عَنِ المُنكَرِ وَتُؤمِنونَ بِاللهِ

Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. (Ali Imran: 110)

Maka jangan kita sangka mereka itu mulia zaman berzaman. Kalau zaman sekarang tidak lagi kerana mereka sudah menjadi hina sekarang.


 

Ayat 48: Ayat ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi. Ayat ini diberikan supaya mereka menjadi takut dan supaya mereka cepat-cepat beriman kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kepada Al-Qur’an. Setelah dipujuk namun masih degil lagi, maka ajakan telah menjadi sedikit keras dengan diberikan dengan ancaman. Begitulah kita dengan anak kita: kalau diajak dengan baik tidak mahu dengar, maka kita beri ancaman pula kepada mereka, bukan?

Allah ‎ﷻ mengingatkan yang dunia ini sementara sahaja. Semua orang akan mati akhirnya. Akhiratlah sahaja tempat yang akan kekal selama-lamanya. Tidak ada rawatan lagi di sana, jadi kena memperbetulkan diri kita semasa di dunia.

وَاتَّقوا يَومًا لّا تَجزي نَفسٌ عَن نَّفسٍ شَيئًا وَلا يُقبَلُ مِنها شَفٰعَةٌ وَلا يُؤخَذُ مِنها عَدلٌ وَلا هُم يُنصَرونَ

Sahih International

And fear a Day when no soul will suffice for another soul at all, nor will intercession be accepted from it, nor will compensation be taken from it, nor will they be aided.

Malay

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikit pun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.

 

وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ

Dan takutlah kamu pada hari yang tidak boleh satu jiwa membela;

Sebelum ini Allah ‎ﷻ sudah memerintahkan untuk takut kepada-Nya. Tetapi mereka tidak takut kepada-Nya. Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ perli, kalau tidak takut kepada-Nya, maka sekurang-kurangnya takutlah kepada Hari Kiamat nanti. Seumpama Allah ‎ﷻ hendak perli: kalau kau boleh, kau selamatkan dirimu dari hari itu.

Pada hari itu tidak ada sesiapa yang boleh menyelamatkan orang lain. Jangan mereka sangka mereka itu hebat sangat sampai para Nabi mereka akan selamatkan mereka pula.

عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

jiwa yang lain;

Ingatlah, tidak ada sesiapa yang boleh menolong orang lain. Pada hari akhirat kelak, seorang emak akan meninggalkan anak, suami akan meninggalkan isteri, anak tidak teringat langsung kepada emaknya, dan semua sekali hubungan tidak akan diingati pada hari itu.

Semua akan sibuk dengan diri masing-masing sahaja pada hari itu. Sampaikan seorang emak yang menyusu anaknya pun akan membuang anaknya pada hari itu. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Abasa:37

لِكُلِّ امرِئٍ مِنهُم يَومَئِذٍ شَأنٌ يُغنيهِ

Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Hendaklah berjaga-jaga pada hari di akhirat. Hari yang seorang pun tidak dapat menyelamatkan mana-mana orang lain walau sedikit pun. Walaupun seorang Nabi, ataupun wali atau apa-apa sahaja, tidak dapat menyelamatkan orang lain.

Kalau di dunia, masih boleh tolong lagi kerana ada dalam usaha kita. Di akhirat, tidak akan diterima syafaat (bantuan sokongan). Hendak tolong tidak boleh, hendak jamin orang lain pun tidak boleh.

شَفٰعَةٌ

syafaat;

Syafaat dalam ayat ini yang dimaksudkan adalah ‘syafaat kasih sayang’. Atau dalam bahasa Arabnya adalah ‘Syafaat Qahriyah’. Contohnya, kita ambil perumpamaan seorang raja yang sayangkan isterinya. Jadi, ada orang yang membodek isteri yang disayangi oleh raja itu untuk mendapatkan sesuatu.

Jadi, kerana raja sayangkan isterinya itu, dan isteri itu telah meminta tolong bagi pihak orang lain, mungkin raja itu akan tolong. Maknanya, dia berikan pertolongan bukan kerana orang yang meminta itu, tetapi kerana yang meminta itu adalah orang yang disayanginya iaitu isterinya. Padahal, mungkin orang yang meminta itu tidak layak untuk diberikan pertolongan.

Itu adalah perumpamaan tentang apakah yang terjadi dalam dunia. Tetapi kerajaan Allah ‎ﷻ tidak begitu. Jangan samakan kerajaan Allah ‎ﷻ dengan kerajaan manusia.

Maka, orang yang disayangi oleh Allah ‎ﷻ seperti malaikat, Nabi dan wali-wali tidak boleh memohon kepada Allah ‎ﷻ untuk menyelamatkan seseorang. Katakanlah orang-orang itu memang sudah sepatutnya masuk neraka, Allah ‎ﷻ tidak akan selamatkan dia walaupun yang memohon adalah orang kesayangan-Nya. Ini tidak akan berlaku. Jangan kita samakan kerajaan di dunia dengan kerajaan Allah ‎ﷻ.

Orang-orang kafir memang tidak akan mendapat syafaat. Perihalnya sama dengan makna yang terkandung di dalam firman Allah ‎ﷻ yang lainnya, iaitu:

فَما تَنفَعُهُم شَفاعَةُ الشّافِعينَ

Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat dari orang-orang yang memberi syafaat. (Al-Muddatsir. 48)

Maknanya, orang mukmin masih akan mendapat syafaat dari mereka yang boleh memberi syafaat. Tetapi orang kafir tidak akan ada harapan itu. Begitu juga dengan firman Allah ‎ﷻ kepada penghuni neraka:

فَما لَنا مِن شافِعينَ* وَلا صَديقٍ حَميمٍ

Maka kami tidak mempunyai pemberi syafaat seorang pun, dan tidak pula mempunyai teman yang akrab. (Asy-Syu’ara: 100- 101)

Bani Israil sangka mereka akan diberikan syafaat kerana mereka sangka mereka adalah bangsa terpilih. Tetapi Allah ‎ﷻ berkata, tidak begitu, jangan perasan. Kita pun jangan sangka sebegitu juga hanya disebabkan kita adalah umat Nabi Muhammad ﷺ, maka kita secara automatik akan mendapat syafaat dari Nabi ﷺ. Ingatlah yang bukan semua akan mendapat syafaat. Contohnya, kalau kita mengamalkan amalan syirik dan bidaah, kita pun tidak mendapat syafaat dari Nabi ﷺ.

وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا

Dan tidak akan diterima daripadanya

Kalau di dunia, banyak perkara kita boleh gunakan duit untuk bayar dan dapatkan sesuatu. Ada orang sampai menggunakan rasuah untuk mendapatkan sesuatu. Mereka mungkin rasuah di sana dan di sini. Tetapi di akhirat, tidak boleh begitu. Tidak akan diambil rasuah dari sesiapa pun. Kalau sesiapa yang ada emas sebesar bumi atau sekali ganda lagi pun tidak akan dapat menebus dirinya.

عَدْلٌ

imbuhan;

Imbuhan seperti rasuah tidak akan diterima. Tidak boleh hendak rasuah sesiapa di Mahsyar nanti. Tidak akan boleh untuk melepaskan diri dengan cara begitu. Tidak akan diterima langsung. Tidak boleh rasuah sesiapa pun pada hari itu untuk merayu bagi pihak mereka kepada Allah .

Ia mungkin boleh terjadi di dunia tapi ia tidak akan terjadi di akhirat. Ini sama seperti yang Allah ‎ﷻ sebut dalam Ali Imran:91

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا وَماتوا وَهُم كُفّارٌ فَلَن يُقبَلَ مِن أَحَدِهِم مِلءُ الأَرضِ ذَهَبًا وَلَوِ افتَدىٰ بِهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mati sedang mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang diantara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.

Persoalan mungkin timbul: Apakah yang boleh diberikan sebagai rasuah pada hari itu? Sedangkan semua sekali tidak ada harta lagi waktu itu, pakaian pun tidak ada. Yang mereka akan beri sebagai rasuah adalah: mereka akan menawarkan keluarga mereka nanti.

Contohnya, mereka akan menawarkan supaya emak mereka dimasukkan ke dalam neraka asalkan mereka boleh masuk syurga. Begitu sekali mereka akan buat.

وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Dan mereka tidak boleh ditolong oleh sesiapa pun.

Semua sekali mengharap hanya belas kasihan Allah ‎ﷻ sahaja. Dan mereka tidak akan ditolong dari mana-mana arah pun. Tidak ada cara apa pun untuk membantu mereka lagi. Tidak ada harapan langsung. Melainkan kalau mendapat bantuan dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Mungkin mereka sangka, Tuhan kasihankan mereka – tetapi itu tidak akan berlaku. Kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk memberikan balasan kepada mereka di atas kesalahan yang dilakukan.

Dari ayat ini, kita boleh faham bahawa akan ada makhluk yang mendapat bantuan. Cuma *mereka* sahaja yang tidak mendapat bantuan.

Semua cara-cara yang digunakan semasa di dunia ini sekarang tidak boleh digunakan di akhirat nanti untuk menyelamatkan diri. Yang kita boleh harapkan hanya amalan kita semasa di dunia dan iman kita.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

7 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 43 – 48 (Minta tolong dengan solat dan sabar)”

  1. PEMBETULAN PERKATAAN..

    “Satu lagi sabar yang penting adalah sabar dari menceritakan kepada makhluk tentang masalah yang dihadapi. Sebaliknya hendaklah mengadu hal kita kepada Allah taala. Kerana Allah akan bantu kita, bukannya orang. Lambat laun Allah akan bantu kita. Kerana kalau kita mengadu sangat kepada orang, maka Allah tidak bantu kerana kita sudah letak pengharapan kita kepada makhluk, bukan kepada MANUSIA.”

    MANUSIA atau ALLAH?

    Like

  2. salam ustaz. nak tanya pasal ayat 48 tafsir bagI kalimah وَلا هُمْ يُنْصَرونْ. Orang akan minta allah masukkan maknya ke neraka tu ada tak ayat quran sebutkan mengenai perkara ini? jazakallahukhairan

    Like

Leave a Reply to Zambri Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s